UNDANG-UNDANG MALAYSIA VERSI ATAS TALIAN TEKS CETAKAN SEMULA YANG KEMAS KINI Akta 16
Pertama kali diperbuat … … … … 1960 (Akta No. 6 tahun 1960)
Suatu Akta untuk mengadakan peruntukan bagi pembancian dari semasa ke semasa .
SUSUNAN SEKSYEN Seksyen 1. Tajuk ringkas 2. Tafsiran 3. Kuasa untuk mengarahkan pembancian 4. Pelantikan pegawai 5. Pegawai banci hendaklah membawa bukti pelantikan 6. Peraturan-peraturan 7. Penghuni hendaklah memberi akses dan membenarkan penampalan nombor 8. Soalan oleh pegawai banci 9. Menyerahkan dan mengisi jadual 10. Jadual kolektif hendaklah diisi oleh orang yang menjaga institusi, dll. 11. Pembancian angkatan tentera laut, darat dan udara dan pengembara 12. Majikan buruh boleh dikehendaki menjadi pembanci 13. Pekhidmat Kerajaan hendaklah membantu pembancian 14. Penyerahan jadual dan penyata 15. Ringkasan hendaklah dibuat dan disiarkan 16. Kesalahan oleh pegawai banci 17. Kesalahan lain 18. Tiada pendakwaan tanpa sanksi Pendakwa Raya 19. Penyata individu tidak boleh didedahkan 20. Rekod banci adalah rahsia dan tidak boleh diterima sebagai keterangan
Akta ini bolehlah dinamakan Akta Banci 1960.
Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain— “ditetapkan” ertinya ditetapkan di bawah Akta ini; “jadual” ertinya suatu jadual dalam borang yang ditetapkan yang di dalamnya dicatatkan atau akan dicatatkan butir-butir yang ditetapkan yang dikehendaki bagi maksud suatu banci; “pegawai banci” ertinya mana-mana orang yang dilantik di bawah Akta ini sebagai Pesuruhjaya, Timbalan Pesuruhjaya, Penolong Pesuruhjaya, Penguasa Daerah, Penyelia, penombor rumah atau pembanci, yang menjalankan tugas dalam lingkungan tempatan mana-mana kawasan yang baginya dia mungkin telah dilantik sedemikian; “Pesuruhjaya” termasuk Timbalan Pesuruhjaya.
Menteri boleh, dari semasa ke semasa, melalui pemberitahuan dalam Warta, melantik Timbalan Pesuruhjaya, Penolong Pesuruhjaya, Penguasa Daerah dan jawatankuasa sebagaimana yang difikirkannya suai manfaat dalam dan bagi Malaysia atau mana-mana bahagiannya, dan dengan apa-apa gelaran berhubung dengan jenis banci yang berkenaannya mereka dilantik, sebagaimana yang difikirkannya perlu bagi maksud apa-apa arahan di bawah seksyen 3.
Pesuruhjaya, mana-mana Penolong Pesuruhjaya, Penguasa Daerah, dan pegawai banci yang diberi kuasa oleh Pesuruhjaya bagi maksud itu, boleh dengan surat yang ditandatangani olehnya melantik mana-mana orang sebagai penyelia, penombor rumah atau pembanci untuk menyelia atau mengambil atau membantu sesuatu pembancian dalam sesuatu kawasan yang ditentukan.
Tiap-tiap pegawai banci hendaklah disifatkan sebagai pekhidmat awam mengikut pengertian Kanun Keseksaan [Akta 574].
Tiap-tiap pegawai banci, selain pegawai banci yang dilantik melalui pemberitahuan dalam Warta, hendaklah, apabila menjalankan tugas banci, sentiasa membawa bersamanya surat yang ditandatangani oleh Pesuruhjaya, Penolong Pesuruhjaya, Penguasa Daerah atau pegawai banci lain yang diberi kuasa oleh Pesuruhjaya bagi maksud itu yang melantiknya sebagai pegawai banci di bawah subseksyen 4(2), dan hendaklah mengemukakan surat itu untuk diperiksa oleh mana-mana orang yang boleh dengan suci hati menyoal kuasanya sebagai pegawai banci.
Tiap-tiap pegawai banci yang dilantik melalui pemberitahuan dalam Warta hendaklah, apabila menjalankan tugas banci, sentiasa membawa bersamanya suatu salinan pemberitahuan dalam Warta yang melantiknya sebagai pegawai banci.
(a) tugas pegawai banci; (b) fungsi mana-mana jawatankuasa yang dilantik di bawah subseksyen 4(1); (c) butir-butir yang mengenainya, orang yang daripadanya, dan cara bagaimana maklumat akan didapati bagi maksud apa-apa banci; (d) borang jadual yang akan digunakan bagi mendapatkan butir-butir itu; (e) bentuk permintaan yang akan dialamatkan kepada majikan buruh di bawah seksyen 12; (f) apa-apa perkara lain sebagaimana yang dikehendaki untuk ditetapkan.
Mana-mana pegawai banci boleh meninggalkan atau menyebabkan ditinggalkan di mana-mana rumah kediaman dalam kawasan yang baginya dia dilantik suatu jadual dalam borang yang ditetapkan untuk diisi oleh penghuni rumah kediaman itu atau penghuni mana-mana bahagian tertentu rumah kediaman itu.
Penghuni itu hendaklah, dalam masa yang disebut di dalam jadual itu, mengisi jadual itu, atau menyebabkannya diisi, mengikut cara yang ditetapkan dan kemudiannya hendaklah menyerahkan jadual yang diisi itu kepada pembanci atau penyelia yang dilantik bagi kawasan tempat rumah kediaman itu terletak atau kepada mana-mana orang lain sebagaimana yang diarahkan oleh Penolong Pesuruhjaya atau Penguasa Daerah.
Jika penghuni itu tidak berupaya mengisi jadual itu mengikut cara yang ditetapkan atau menyebabkan orang lain mengisinya, dia hendaklah memelihara jadual itu seperti dalam keadaan dia menerimanya dan hendaklah menyerahkannya kepada pembanci, penyelia atau orang lain sebagaimana yang tersebut dahulu yang hendaklah kemudiannya menjalankan kuasa yang diberikan kepadanya oleh seksyen 8 dan hendaklah mengisi jadual itu mengikut cara yang ditetapkan.
Pada bila-bila masa sebelum atau dalam masa dua belas bulan (atau dalam tempoh yang lebih lama sebagaimana yang ditetapkan) selepas tarikh yang diarahkan bagi pembancian itu mana-mana pegawai banci boleh, jika diarahkan oleh mana-mana Penolong Pesuruhjaya atau Penguasa Daerah supaya berbuat demikian, melawat mana-mana rumah kediaman dalam kawasan yang baginya dia dilantik bagi maksud menyemak apa-apa maklumat yang didapati atau bagi maksud mendapatkan maklumat selanjutnya bagi maksud banci itu, dalam hal yang sedemikian, selepas menjalankan kuasa yang diberikan kepadanya oleh seksyen 8, dia hendaklah— (a) jika berpuas hati bahawa sesuatu jadual yang berhubungan dengan mana-mana rumah kediaman mengandungi nama mana-mana orang yang tidak berada dalam rumah kediaman itu pada masa pembancian itu, memotong nama, dan semua butir-butir yang berhubungan dengan, orang itu dari jadual itu; (b) jika berpuas hati bahawa mana-mana orang berada di dalam mana-mana rumah kediaman pada masa pembancian itu tetapi namanya tidak tertulis dalam jadual yang berhubungan dengan rumah kediaman itu, memasukkan nama, dan semua butir-butir yang berhubungan dengan, orang itu ke dalam jadual itu atau dalam suatu jadual yang berasingan, sebagaimana yang diarahkan oleh Pesuruhjaya; dan (c) jika berpuas hati bahawa apa-apa jadual tidak betul mengenai apa-apa butir material lain, membuat apa-apa pembetulan yang perlu padanya.
Seseorang Penolong Pesuruhjaya atau Penguasa Daerah boleh menyerahkan atau menyebabkan supaya diserahkan kepada— (a) orang yang menjaga mana-mana hospital mental, hospital, rumah kerja, tempat tahanan, penjara, balai polis, tempat pemulihan akhlak atau lokap, atau mana-mana ladang Kerajaan, ladang kerjasama, lading kolektif atau ladang kabilah atau mana-mana institusi atau organisasi khairat, agama, pendidikan atau institusi atau organisasi lain sama ada awam atau persendirian; atau kepada (b) penjaga, setiausaha atau pengurus atau orang lain yang menjaga mana-mana hotel, rumah tumpangan, rumah penginapan, kelab atau tempat kediaman lain, suatu jadual dalam borang yang ditetapkan untuk diisi berkenaan dengan premis itu.
Orang yang kepadanya mana-mana jadual itu diserahkan sedemikian hendaklah mengisinya atau menyebabkannya diisi sepanjang pengetahuan dan kepercayaannya, dengan butir-butir yang ditetapkan berkenaan dengan premis itu pada masa yang tersebut dahulu, dan hendaklah menandatangani jadual itu dan, apabila dikehendaki sedemikian, hendaklah menyerahkan jadual yang diisi dan ditandatangani itu kepada pembanci atau penyelia yang dilantik bagi kawasan tempat terletaknya premis itu atau kepada mana-mana orang lain sebagaimana yang diarahkan oleh Penolong Pesuruhjaya atau Penguasa Daerah.
(a) mana-mana angkatan tentera darat atau udara atau mana-mana kumpulan orang yang menjadi anggota sesuatu vesel perang; dan (b) semua orang yang pada waktu pembancian sedang mengembara, atau berada di kapal, atau yang kerana apa-apa sebab lain tidak tinggal di mana-mana premis yang akan diambil kira dalam banci itu, dan hendaklah termasuk maklumat dalam ringkasan yang hendaklah dibuat olehnya sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 15.
Tiap-tiap majikan— (a) bagi sepuluh orang buruh atau lebih yang tinggal di mana-mana ladang pertanian atau harta lombong, atau dalam mana-mana kilang atau woksyop; atau (b) bagi apa-apa kelas atau jenis buruh lain sebagaimana yang ditetapkan, apabila menerima suatu permintaan bertulis bagi maksud itu dalam borang yang ditetapkan yang ditandatangani oleh seseorang Penolong Pesuruhjaya atau Penguasa Daerah, hendaklah bertindak atau melantik seorang ejen untuk bertindak sebagai pembanci berkenaan dengan semua orang yang bekerja atau tinggal di ladang, harta lombong, kilang atau woksyop itu.
Tiap-tiap majikan atau ejen itu hendaklah mencatatkan atau menyebabkan supaya dicatatkan, dalam jadual yang diserahkan kepadanya bagi maksud itu, butiran yang ditetapkan berkenaan dengan semua orang yang disebut dalam subseksyen (1) dan hendaklah menyerahkan jadual, yang diisi sepanjang pengetahuan dan kepercayaannya, kepada pembanci atau penyelia yang dilantik bagi kawasan tempat terletaknya ladang, harta lombong, kilang atau woksyop itu atau kepada mana-mana orang lain sebagaimana yang diarahkan oleh Penolong Pesuruhjaya atau Penguasa Daerah.
Pesuruhjaya hendaklah, apabila menerima jadual dan penyata yang dikemukakan menurut Akta ini, menyebabkan suatu ringkasan jadual dan penyata itu dibuat bagi setiap Negeri dan suatu ringkasan bagi seluruh Malaysia, dan ringkasan itu hendaklah dicetak dan disiarkan untuk makluman am.
Dalam mana-mana ringkasan yang disediakan di bawah subseksyen (1) dengan merujuk kepada apa-apa perdagangan atau perindustrian, butir-butir dan maklumat yang terkandung dalam ringkasan itu tidak boleh disusun mengikut apa-apa cara yang akan membolehkan mana-mana orang mengenali apa-apa butir atau maklumat yang disiarkan sedemikian sebagai butir-butir atau maklumat yang berhubungan dengan mana-mana orang perseorangan atau mana-mana perniagaan.
Mana-mana pegawai banci dan mana-mana orang yang diambil kerja bagi menyediakan ringkasan yang dikehendaki dibuat di bawah seksyen 15 yang— (a) tanpa sebab yang cukup, enggan atau abai mematuhi apa-apa arahan atau permintaan yang dialamatkan kepadanya oleh Pesuruhjaya, Penolong Pesuruhjaya atau Penguasa Daerah, atau tidak menjalankan usaha yang munasabah dalam melaksanakan apa-apa tugas yang dikenakan ke atasnya; (b) dengan sengaja mengemukakan sesuatu soalan yang menyakitkan hati atau yang tidak patut; (c) dengan disedarinya membuat apa-apa penyata palsu; atau (d) meminta, menerima atau mengambil daripada mana-mana orang, selain pegawai Kerajaan yang diberi kuasa, apa-apa bayaran atau hadiah, adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi satu ratus ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu bulan atau kedua-duanya.
Mana-mana anggota sesuatu jawatankuasa yang dilantik di bawah subseksyen 4(1), mana-mana pegawai banci dan mana-mana orang yang diambil kerja bagi menyediakan ringkasan yang dikehendaki dibuat di bawah seksyen 15 yang mendedahkan atau menggunakan, kecuali bagi maksud Akta ini, apa-apa maklumat yang telah diketahuinya dalam masa menjalankan tugasnya sedemikian adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Mana-mana orang yang— (a) enggan menjawab dengan benar, sepanjang pengetahuan dan kepercayaannya, apa-apa soalan yang ditanyakan kepadanya oleh seseorang pegawai banci yang dia terikat di sisi undang-undang untuk menjawabnya atau dengan sengaja memberikan suatu jawapan palsu baginya; (b) membuat, menandatangani, menyerahkan atau menyebabkan dibuat, ditandatangani, atau diserahkan apa-apa jadual, pernyataan atau penyata yang sengaja dibuat secara palsu atau dengan tidak betul; (c) enggan membenarkan seseorang pegawai banci akses yang munasabah ke dalam mana-mana rumah, tanah, kepungan, vesel, atau tempat lain yang dia dikehendaki oleh Akta ini supaya membenarkannya; (d) membuang, memadamkan, mengubah atau merosakkan, sebelum habis tempoh dua belas bulan dari tarikh pembancian, apa-apa huruf, tanda atau nombor yang telah dicatkan, ditandakan atau ditampalkan bagi maksud banci; atau (e) enggan atau abai untuk mematuhi mana-mana peruntukan Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta ini, adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi satu ratus ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu bulan atau kedua-duanya.
Mana-mana orang yang menyamar sebagai pegawai banci adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Tiada penyata individu yang mengandungi butir-butir atau maklumat, dan tiada bahagian penyata itu yang diberikan berhubung dengan sesuatu perniagaan, pekerjaan atau kerja boleh disiarkan, tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan bertulis orang yang mengawal, menguruskan atau mengawasinya dan, kecuali bagi maksud sesuatu pendakwaan di bawah Akta ini atau kecuali menurut apa-apa syarat sebagaimana yang ditetapkan, tidaklah boleh mana-mana orang yang tidak diambil bertugas berkaitan dengan suatu banci dibenarkan untuk melihat mana-mana penyata individu itu atau mana-mana bahagiannya.
Dalam membuat peraturan dan menetapkan borang di bawah seksyen 6 perhatian yang sewajarnya hendaklah diberikan kepada hal keadaan berbagai-bagai perdagangan dan perindustrian, dan khususnya kepada mustahaknya dielakkan pendedahan dalam apa-apa penyata mengenai apa-apa rahsia perdagangan atau keuntungan perdagangan, atau apa-apa butir atau maklumat lain yang pendedahannya mungkin akan mendatangkan mudarat kepada orang yang memberikan penyata itu.
menandatangani atau menyerahkannya, atau yang telah menyebabkannya dibuat, ditandatangani, atau diserahkan.
SENARAI PINDAAN Undang-undang Tajuk ringkas Berkuat kuasa yang meminda dari P.U. (A) 519/1969 Perintah pengubahsuaian Undang- 19-12-1969 Undang (Banci) (Pengubahsuaian dan Peluasan Ke Malaysia Timur) 1969 Akta 160 Akta Mata Wang Malaysia (Ringgit) 29-08-1975 1975
SENARAI SEKSYEN YANG DIPINDA Seksyen Kuasa meminda Berkuat kuasa dari Akta 160 Akta 160