Permulaan kuatkuasa: 29hb Julai 1929
Satu Akta untuk memperasyaratkan hukuman bagi kesalahan-kesalahan kecil yang tertentu.
UNDANG-UNDANG NEGARA BRUNEI DARUSSALAM EDISI SEMAKAN PENGGAL 30 KESALAHAN-KESALAHAN KECIL SUSUNAN BAB-BAB Bab BAHAGIAN I PERMULAAN 1. Gelaran pendek 2. Tafsiran 3. Bunga api 4. Beranda jalan raya awam BAHAGIAN II PERINTAH POLIS MENGENAI BUNGA API 5. Perintah dengan kenyataan awam bagi lesen bunga api MEMBAKAR BAHAN ATAU MELEPASKAN TEMBAKAN SENJATA API DI JALAN RAYA AWAM 6. Kesalahan dan hukuman BINATANG BERBAHAYA 7. Kewajipan pegawai polis mengenai binatang berbahaya 8. Anjing yang mengejar orang, dsb 9. Anjing-anjing yang ganas berkeliaran 10. Melepaskan anjing atau binatang lain KACAU-GANGGU 11. Takrif kacau-ganggu dan hukuman KESALAHAN-KESALAHAN BERKAITAN DENGAN PENGOTORAN DI TEMPAT-TEMPAT AWAM DAN PEMBUANGAN SAMPAH SARAP TANPA KEBENARAN 12. Larangan terhadap pelonggokan sampah, dsb. di sebarang tempat awam KESALAHAN-KESALAHAN BERKENAAN DENGAN BINATANG DAN KENDERAAN 13. Binatang yang merosakkan harta 14. Binatang yang dibawa atau dipandu di atas jalan raya awam pada waktu malam HALANGAN, DSB. 15. Menyebabkan halangan di atas jalan raya awam; bermain kikik, dsb 16. Halangan di terusan, dsb 17. Meletakkan mayat atau orang yang sedang nazak BAHAGIAN III KESALAHAN-KESALAHAN LAIN 18. Memiliki secara haram barang-barang angkatan laut, tentera atau polis 19. Perkataan-perkataan lucah atau kasar, dsb 20. Alat yang mengeluarkan bunyi bising 21. Pencerobohan ke atas harta dengan senghaja 22. Penangkapan orang-orang yang disyaki 23. Membawa masuk arak dsb. ke dalam hospital awam 24. Kemalangan bot 25. Menzalimi binatang BAHAGIAN IV KUTURAYAU 26. Penilikan nasib dan bentuk kekuturayauan yang lain BAHAGIAN V KANDANG 27. Kandang awam hendaklah disediakan BAHAGIAN VI MEMILIKI HARTA SECARA HARAM 28. Memiliki harta secara haram 29. Peniaga barang-barang terpakai dan penukar wang hendaklah melaporkan harta yang telah dicuri atau diperolehi secara haram 30. Jika benda-benda yang telah dicuri atau diperolehi secara tipuan dicacatkan oleh peniaga selepas mendapat maklumat maka dia adalah melakukan kesalahan BAHAGIAN VII RAMPAIAN 31. Kuasa menangkap 32. Cap jari pesalah BAHAGIAN VIII KESALAHAN-KESALAHAN BERKENAAN DENGAN BANGUNAN DI KAMPONG AYER 33. Kesalahan membina bangunan di Kampong Ayer tanpa persetujuan Pegawai Daerah 34. Kesalahan memajakkan atau menyewakan bangunan di Kampong Ayer tanpa persetujuan Pegawai Daerah 35. Hukuman 36. Amaran hendaklah diberikan sebelum mendakwa 37. Penguatkuasaan 38. Tafsiran Bahagian VIII
Akta ini boleh digelar sebagai Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.
Dalam Akta ini, kecuali jika maksudnya berkehendakkan makna yang lain — “lembu” termasuk lembu jantan, lembu betina, lembu kembiri, kerbau, kambing biri-biri, kambing, babi dan binatang ternakan; “kuda” termasuk baghal dan keldai; “di atau berdekatan dengan sebarang jalan raya awam” termasuk semua tempat di jalan raya awam, dan semua tempat dalam lingkungan 10 ela darinya yang tidak dipisahkan dengan berkesan dari jalan raya dan tertutup dari jalan raya oleh suatu tembok ataupun tidak; “jalan raya awam” termasuk tiap-tiap jalan raya, lorong, laluan, kaki lima atau medan di mana orang ramai mempunyai hak lalu-lalang.
Bunga api adalah dikatakan dipasang “berdekatan dengan suatu jalan raya awam” apabila dipasang di suatu beranda di tepi suatu jalan raya awam, atau dari pintu atau tingkap sesebuah rumah yang menghadap ke suatu jalan raya awam atau menghala dari tempat tinggi ke arah suatu tempat di atau berdekatan dengan suatu jalan raya awam.
Beranda-beranda rumah yang terbuka yang bersempadan dengan jalan raya awam adalah jalan raya awam bagi pejalan kaki tertakluk kepada segala hak harta pemilik-pemilik rumah itu.
Pesuruhjaya Polis boleh, dengan kebenaran Menteri, mengeluarkan perintah untuk diisytiharkan dengan kenyataan awam yang membenarkan pemasangan bunga api pada hari-hari tertentu yang ditetapkan, dan pada masa-masa tertentu yang ditetapkan di tempat-tempat yang berdekatan dengan suatu jalan raya awam, dan boleh mengeluarkan lesen pada masa-masa tertentu bagi memasang bunga api di tempat-tempat yang berdekatan dengan suatu jalan raya awam.
Tiap-tiap lesen yang dikeluarkan di bawah bab ini hendaklah menyatakan tempat di mana dan masa-masa bunga api itu boleh dilepaskan atau dipasang dan perihalan bunga api yang hendak digunakan.
Tiada kebenaran yang diberitahu, atau lesen yang dikeluarkan demikian, boleh dianggap sebagai melepaskan mana-mana orang dari tanggungan jika berlaku sebarang kerosakan, kerugian atau kecederaan kepada orang atau harta yang disebabkan oleh pelepasan atau pemasangan bunga api itu.
Mana-mana orang yang memasang sebarang bunga api di atau berdekatan dengan sebarang jalan raya awam, kecuali pada masa-masa dan tempat-tempat dan mengikut cara sebagaimana yang dibenarkan dari masa ke semasa di bawah ceraian (1) adalah melakukan kesalahan: Hukuman, denda sebanyak $250.
Penghuni sebarang rumah dari atau di dalam rumah itu, atau dari atau di dalam beranda rumah itu, dalam mana sebarang perlanggaran ceraian (4) berlaku, boleh dikenakan hukuman yang ditetapkan begitu juga dengan orang yang melakukan kesalahan itu, jika orang lain.
Mana-mana orang yang menyalakan api pada atau membakar sebarang bahan sehingga menimbulkan kegusaran, kesusahan atau bahaya kepada orang ramai, atau melepaskan sebarang belon api atau roket di atau berdekatan dengan sebarang jalan raya awam adalah melakukan kesalahan: Hukuman, denda sebanyak $250.
Tiap-tiap pegawai polis hendaklah mengawal sebarang binatang yang disyaki gila atau berbahaya dan sebarang binatang liar yang dijumpai berkeliaran di atau berdekatan dengan sebarang jalan raya awam dalam keadaan yang membahayakan orang ramai.
Jika ada alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa sebarang binatang yang gila, berbahaya, atau liar itu tidak boleh diatasi tanpa risiko kecederaan kepada orang atau pegawai polis yang cuba mengawalnya, maka pegawai polis itu boleh menembak ataupun memusnahkan binatang itu.
Jika terbukti sehingga memuaskan hati Mahkamah Majistret bahawa sebarang anjing mempunyai tabiat mengejar orang atau kenderaan, kuda atau lembu yang melalui suatu jalan raya awam, maka tuanpunya anjing itu adalah melakukan kesalahan: Hukuman, denda sebanyak $250.
Mana-mana orang yang dengan cuai membiarkan sebarang anjing yang ganas berkeliaran tanpa berangus adalah melakukan kesalahan: Hukuman, denda sebanyak $250, dan jika anjing itu telah menggigit atau cuba menggigit mana-mana orang, maka anjing itu boleh dibunuh dengan perintah Mahkamah Majistret.
Mana-mana orang yang menggalak atau mendorong sebarang anjing atau binatang lain supaya menyerang, menimbulkan kebimbangan atau ketakutan kepada mana-mana orang, kuda atau binatang lain, adalah melakukan kesalahan: Hukuman, denda sebanyak $500.
Mana-mana orang yang — (a) tanpa kebenaran dalam hal harta awam, atau tanpa persetujuan tuanpunya atau penghuni dalam hal harta persendirian, meletakkan atau menyebabkan supaya dilekatkan sebarang iklan, surat sebaran atau notis, atau sebarang kertas di atau pada sebarang bangunan, dinding atau pagar, atau menulis pada, mencacatkan atau menanda sebarang bangunan, dinding atau pagar itu dengan kapur tulis atau cat atau dalam apa jua cara lain; atau (b) mandi atau membasuh dirinya, atau mana-mana orang lain, binatang atau barang di atas sebarang jalan raya awam, atau di dalam, di atas atau di tepi sebarang tangki awam, kolam air, alur air atau sungai, yang penggunaannya untuk mandi adalah dilarang oleh Pesuruhjaya Polis; atau (c) menghalang atau mengacau seseorang yang mandi di sebarang tempat yang disediakan sebagai tempat mandi dengan mengganggu secara senghaja, atau dengan membersihkan sebarang binatang di atau berdekatan dengan tempat itu, atau dalam apa jua cara lain; atau (d) mendedahkan dirinya dengan senghaja atau secara lucah, atau melakukan suatu gangguan dengan merehat-rehatkan dirinya di dalam atau di tepi, atau berdekatan dengan sebarang jalan raya awam atau tempat awam; atau (e) sebagai tuanpunya atau orang yang menjaga sebarang binatang, jika binatang itu mati, tidak membuang bangkainya dalam keadaan yang tidak akan menjadi gangguan umum; atau (f) meletakkan di atas atau berdekatan dengan sebarang jalan raya awam sebarang binatang yang telah mati; atau (g) meludah di atas lantai sebarang bangunan sekolah, panggung, bangunan awam, atau tempat hiburan atau perhimpunan awam yang lain, atau di dalam sebarang kenderaan awam yang berlesen, atau di dalam sebarang tren atau gerabak kereta api, atau di atas sebarang dermaga atau jeti, atau di atas sebarang lorong kaki lima atau kaki lima jalan awam; atau (h) memelihara babi di sebarang perkampungan Melayu, adalah melakukan kesalahan: Hukuman, denda sebanyak $250.
Mana-mana orang yang — (a) meletak, melonggok atau mencampakkan sebarang debu, habuk, kertas, abu, bangkai binatang, sampah, kotak, tong, karung atau benda atau barang lain di sebarang tempat awam; (b) menyimpan atau meninggalkan sebarang benda atau barang apapun di sebarang tempat di mana ianya atau butir-butir benda atau barang itu telah beralih atau mungkin beralih ke sebarang tempat awam; (c) mencampak, meletak, menumpah atau menghamburkan sebarang darah, air garam, makanan babi, cecair beracun atau bahan lain yang busuk atau kotor dari apapun jenisnya dalam keadaan yang akan menyebabkan mengalir atau jatuh ke sebarang tempat awam; (d) menggugur, menumpah atau menghamburkan sebarang habuk, pasir, tanah, batu kerikil, tanah liat, tanah gembur, batu, rumput, jerami, tatal, habuk kayu, abu, kotoran kebun, kotoran bangsal, kotoran perniagaan, baja, sampah atau apajua barang atau bahan lain di sebarang tempat awam, sama ada dari sesebuah kenderaan yang bergerak atau tidak atau dalam apajua cara lain; (e) mencampak atau meninggalkan sebarang botol, kaca, tin, bekas makanan, pembungkus makanan, butir-butir makanan atau sebarang benda atau barang lain di sebarang tempat awam; (f) tanpa kebenaran yang sah, meninggalkan, di atas mana-mana bahagian jalan raya atau di atas sebarang tanah lapang — (i) sesebuah kenderaan; atau (ii) apajua barang lain, iaitu suatu barang yang telah dibawa olehnya ke tanah itu bagi maksud meninggalkannya di situ, adalah melakukan kesalahan di bawah Akta ini dan boleh ditangkap tanpa waran oleh mana-mana pegawai polis dan dibawa di hadapan Mahkamah Majistret dan boleh apabila sabit kesalahan dikenakan denda sebanyak $1,000, dan dalam hal penyabitan kesalahan yang kedua atau berikutnya denda sebanyak $3,000.
Mahkamah Majistret boleh, apabila menyabitkan kesalahan mana-mana orang di bawah ceraian (1), memerintahkan supaya gambarnya diambil oleh seseorang jurugambar polis atau jurugambar lain. Sebarang gambar itu boleh disimpan dan dikemukakan kepada mana-mana mahkamah bagi maksud menentukan identiti atas penyabitan kesalahan yang berikutnya.
Dalam ceraian (1) — “jalan raya” bermakna sebarang lebuhraya dan sebarang jalan raya lain di mana orang ramai boleh memasukinya, dan termasuk jambatan di mana suatu jalan raya melaluinya; dan “kenderaan” bermakna sebarang kenderaan, sama ada ianya dalam keadaan yang sesuai untuk digunakan di atas jalan raya atau tidak, dan termasuk sebarang chassis atau badan, dengan roda atau tidak, yang ternyata merupakan sebahagian dari kenderaan seumpama itu, dan sebarang muatan yang dibawa oleh dan apa-apa yang terpasang pada kenderaan seumpama itu.
Bagi maksud-maksud ceraian (1)(f), seseorang yang meninggalkan apajua barang di atas mana-mana bahagian jalan raya atau di atas sebarang tanah lapang dalam keadaan atau suatu tempoh yang mungkin dianggapnya dengan munasabah telah meninggalkannya atau tidak. membawanya ke situ bagi maksud meninggalkannya di situ hendaklah dianggap telah meninggalkannya di situ atau, mengikut mana yang berkenaan, telah membawanya ke situ bagi maksud itu melainkan jika dibuktikan sebaliknya.
Jika, pada bila-bila masa, sesebuah kenderaan dijumpai ditinggalkan dengan melanggar ceraian (1)(f)(i), mana-mana orang yang, pada waktu itu, didaftarkan di bawah Bahagian II dari Akta Lalulintas Jalan Raya (yang mempersyaratkan pendaftaran kenderaan bermotor) sebagai tuanpunya kenderaan yang ditinggalkan itu atau sesebuah kenderaan dalam mana kenderaan yang ditinggalkan itu ternyata merupakan sebahagian darinya, hendaklah dianggap bersalah melakukan perlanggaran itu jika orang yang sebenarnya melakukan perlanggaran itu (bukannya pemilik berdaftar) tidak diketahui atau tidak dapat dipastikan atau dijumpai.
Barangsiapa iaitu tuanpunya atau seseorang yang menjaga sebarang kuda, lembu, kambing biri-biri, kambing atau babi membiarkan binatang itu merayau di atas sebarang jalan raya awam atau di atas sebarang harta awam atau persendirian adalah melakukan kesalahan: Hukuman, denda sebanyak $1,000 berkaitan dengan tiap-tiap ekor binatang, dan segala kerosakan yang dilakukan oleh binatang itu hendaklah ditaksirkan oleh seseorang Majistret, dan boleh didapatkan kembali mengikut cara yang dipersyaratkan oleh undang-undang bagi mendapatkan kembali wang denda di hadapan Majistret-Majistret, berserta dengan sebarang jumlah yang akan dikenakan sebagai wang denda, daripada tuanpunya binatang itu.
Dalam hal kerosakan ke atas harta persendirian, jumlah ganti-rugi yang didapatkan kembali itu hendaklah dibayar kepada orang sebagaimana yang mungkin diarahkan oleh Majistret.
Tiada kuda, lembu, kambing biri-biri, kambing atau babi boleh dibawa atau dipandu di atas sebarang jalan raya awam pada masa antara matahari terbenam dan matahari terbit melainkan jika binatang itu dijaga oleh sekurang-kurangnya seorang dewasa yang membawa suatu cahaya yang boleh dilihat dalam jarak yang munasabah dari kedua-dua arah di mana binatang itu dibawa atau dipandu dan dari arah yang bertentangan.
Jika sebarang binatang itu dibawa atau dipandu di atas sebarang jalan raya awam dengan melanggar syarat-syarat bab ini, tuanpunya atau mana-mana orang yang menjaga binatang itu adalah melakukan kesalahan: Hukuman, denda sebanyak $1,000.
Mana-mana orang yang — (a) meletakkan sebarang batu, bata atau benda lain di atas sebarang jalan raya awam bagi menyebabkan suatu halangan kepadanya, atau bagi menjadikan penggunaan jalan raya itu kurang menyenangkan; atau (b) membiarkan di atas sebarang jalan raya awam sebarang benda yang telah terjatuh dari sebarang kenderaan yang dijaganya; atau (c) menyebabkan atau membiarkan barang-barang atau benda-benda lain diletakkan di atas sebarang kaki lima awam atau bahagian lain suatu jalan raya awam, ataupun menyebabkan atau membiarkan barang-barang atau benda-benda lain itu menjadi halangan atau mendatangkan kesusahan terhadap laluan orang ramai bagi masa yang lebih lama dari yang sebenarnya diperlukan untuk memuat atau memunggah barang-barang atau benda-benda lain itu; atau (d) bermain sebarang kikik, ataupun bermain sebarang permainan, atau melakukan sebarang perbuatan yang menegangkan atau mengganggu lalu lintas di sebarang jalan raya awam, atau penggunaan wayar sebarang telefon: adalah melakukan kesalahan: Hukuman, denda sebanyak $250.
Mana-mana orang yang berada di sebarang sungai atau terusan di mana orang ramai mempunyai hak untuk belayar, tanpa kebenaran bertulis daripada Pesuruhjaya Polis atau Pengarah Laut — (a) meninggalkan sebarang bot atau kapal di sebarang tempat bagi masa yang lebih lama dari yang diperlukan untuk memuat dan memunggah; (b) enggan memindahkan bot atau kapalnya dari tempat itu apabila diarahkan demikian oleh mana-mana pegawai polis atau pegawai Kastam; (c) meninggalkan sebarang rakit atau kayu balak atau kepingan kayu atau papan di sebarang sungai atau terusan itu lebih dari sehari selepas ketibaannya; atau (d) mendirikan sebarang pentas atau aram-aram di sebarang sungai atau terusan itu; adalah melakukan kesalahan: Hukuman, denda sebanyak $250.
Bot, kapal, kayu, rakit atau papan itu boleh dipindahkan oleh pihak polis.
Perbelanjaan pemindahan itu boleh didapatkan kembali sebagai suatu denda daripada tuanpunya atau orang yang menjaganya, dan jika tidak dibayar olehnya boleh didapatkan kembali dengan cara menahan harta dan menjual harta orang itu dan bot, kapal, kayu atau rakit itu.
Mana-mana orang yang meletakkan atau menyebabkan supaya diletakkan mana-mana mayat atau mana-mana orang yang sedang nazak di sebarang tempat awam atau di sebarang tempat persendirian tanpa persetujuan tuanpunyanya adalah melakukan kesalahan: Hukuman, denda sebanyak $2,500 dan penjara selama 6 bulan.
Mana-mana orang yang dengan mengetahui menyimpan, membeli, menukar atau menerima daripada mana-mana kakitangan Kerajaan sebarang peralatan, pakaian, atau barang-barang atau keperluan-keperluan laut atau polis yang lain atau sebarang harta lain yang dimiliki oleh Kerajaan, adalah melakukan kesalahan: Hukuman, denda sebanyak $500 atau penjara selama 6 bulan.
Mana-mana orang yang menggunakan sebarang perkataan lucah, mengugut, kasar atau menghina, atau berkelakuan dengan cara mengugut atau menghina, atau menampal, meletak atau mempamerkan sebarang kertas bertulis atau lukisan yang lucah, mengugut, kasar atau menghina dengan niat hendak membangkitkan suatu keadaan yang tidak aman, atau di mana suatu keadaan yang tidak aman mungkin berlaku, adalah melakukan kesalahan: Hukuman, denda sebanyak $500.
Mana-mana orang yang, tanpa kebenaran secara bertulis daripada Pesuruhjaya Polis, memukul dram atau gendang, atau meniup hon atau trompet, atau memukul atau membunyikan sebarang alat atau perkakas loyang atau logam lain, dalam lingkungan kawasan sebarang bandar atau kampung antara jam 11 malam dan 6 pagi hari berikutnya, atau di sebarang jalan raya awam pada bila-bila masa, adalah melakukan kesalahan: Hukuman, denda sebanyak $500.
Dengan tidak mengirakan bahawa kebenaran secara bertulis itu mungkin telah diberikan, mana-mana pegawai polis yang berpangkat tidak rendah dari pangkat sarjan, atas aduan tuan rumah bahawa bunyi sebarang alat itu adalah berbahaya kepada mana-mana orang sakit yang tinggal berdekatan dengan tempat di mana alat itu dimainkan, atau atas sebab lain yang memuaskan dan mencukupi, boleh memasuki bangunan di mana alat itu dimainkan, dan selepas memberi amaran memberhentikannya, sama ada dengan cara memindahkan alat itu atau menyuraikan orang-orang yang berhimpun di situ.
Mana-mana orang yang tanpa alasan yang memuaskan dengan senghaja menceroboh masuk atau ke atas sebarang rumah kediaman atau bangunan atau ke atas sebarang tanah atau bumi yang bercantum dengannya, atau ke atas sebarang bot atau kapal, atau ke atas sebarang tanah yang dimiliki oleh Kerajaan atau yang diperuntukkan bagi sebarang maksud awam, adalah melakukan kesalahan: Hukuman, denda sebanyak $1,000.
(a) Mana-mana orang yang didapati antara matahari terbenam dan matahari terbit bersenjatakan dengan sebarang alat berbahaya atau serangan dengan niat hendak melakukan sebarang kesalahan jenayah; atau (b) mana-mana pencuri yang dicurigai yang didapati antara matahari terbenam dan matahari terbit berada di dalam sebarang kapal atau bot, atau berada atau merayau di sebarang bazaar, lorong, jalan raya, pekarangan atau tempat lain yang tidak memberikan penjelasan yang memuaskan mengenai dirinya; atau (c) mana-mana orang yang didapati antara matahari terbenam dan matahari terbit menutup mukanya ataupun didapati menyamar dengan niat hendak melakukan sebarang kesalahan jenayah; atau (d) mana-mana orang yang didapati berada antara matahari terbenam dan matahari terbit di dalam sebarang rumah kediaman atau bangunan lain atau tempat tanpa dapat memberikan penjelasan yang memuaskan mengenai dirinya; atau (e) mana-mana orang yang ada dalam miliknya, tanpa alasan yang sah, bukti alasannya adalah terletak pada orang itu, sebarang alat memecah rumah: boleh ditangkap oleh mana-mana pegawai polis tanpa waran, dan adalah melakukan kesalahan: Hukuman, denda sebanyak $2,000 dan penjara selama 12 bulan, dan sebarang perkakas atau alat yang didapati ada dalam milik orang itu hendaklah dilucutkan.
Mana-mana orang yang membawa atau cuba membawa masuk tanpa kebenaran ke dalam sebarang hospital awam sebarang minuman keras yang memabukkan, dadah atau sediaan, adalah melakukan kesalahan: Hukuman, denda sebanyak $250, atau penjara selama 3 bulan, dan minuman keras, dadah atau sediaan itu dan bekas-bekas yang mengandunginya hendaklah dilucutkan.
Apabila sebarang kemalangan berlaku kepada sesebuah bot yang melibatkan kehilangan nyawa tuanpunya atau orang yang menjaga bot itu hendaklah melaporkan dengan serta-merta hal itu di sesebuah balai polis.
Mana-mana tuanpunya atau orang yang menjaganya, mengikut mana yang berkenaan, yang tanpa alasan yang sah lalai atau lewat untuk membuat laporan itu adalah melakukan kesalahan: Hukuman, denda sebanyak $500.
Mana-mana orang yang memukul dengan zalim, memperlakukan dengan kejam, menganaiya, menyeksa, atau menyebabkan atau mengakibatkan supaya dipukul dengan zalim, diperlakukan dengan kejam, dianiaya, atau diseksa, sebarang binatang boleh bagi tiap-tiap kesalahan itu dikenakan hukuman denda sebanyak $1,000 atau penjara selama 3 bulan.
Dalam bab ini “binatang” termasuk sebarang binatang sama ada liar atau jinak.
Mana-mana orang yang — (a) berpura-pura atau berlagak menjalankan pekerjaan menilik nasib, atau menggunakan sebarang tipu daya, cara atau muslihat yang halus dengan melakukan tilikan tapak tangan, ramalan, firasat, ataupun untuk menipu dan memperdayakan sesiapa sahaja; atau (b) menumpang di dalam sebarang bangsal atau rumah tambahan tanpa kebenaran tuanpunyanya, atau di dalam sebarang bangunan yang ditinggalkan atau tidak didiami, atau di tanah lapang, atau di dalam khemah, atau di dalam atau di bawah sebarang gerabak atau pedati atau tempat berlindung lain yang sama, yang tidak mempunyai sebarang punca mata pencarian yang nyata dan tidak memberikan penjelasan yang memuaskan mengenai dirinya; atau (c) meminta sedekah atau berusaha dengan cara mendedahkan luka, kudis, penyakit kecacatan untuk mendapatkan sedekah; atau (d) berusaha untuk mendapatkan sumbangan khairat dari apa pun jenisnya dengan sebarang dakwaan palsu atau tipuan; atau (e) tidak berupaya mencari nafkah secara fizikal atau tidak mahu bekerja untuk menyara hidupnya sendiri dan tidak mempunyai punca mata pencarian yang nyata; adalah melakukan kesalahan: Hukuman, penjara selama 2 bulan atau denda sebanyak $500, dan boleh dipulangkan ke negara asalnya, dan atas penyabitan kesalahan yang kedua atau berikutnya penjara selama 4 bulan dan denda sebanyak $500.
Mahkamah boleh memerintahkan supaya sebarang buku atau benda lain yang digunakan sebagai alat menilik nasib dilucuthak.
Kandang awam hendaklah disediakan dan penjaga kandang dilantik di tempat-tempat atau di banyak tempat sebagaimana yang diarahkan oleh Menteri dan adalah sah bagi Menteri dari masa ke semasa, dengan kenyataan awam, untuk menetapkan daftar-daftar bayaran mengandang binatang-binatang dan kadar-kadar bayaran memberi makan binatang-binatang itu semasa binatang-binatang itu dikurung di dalam kandang.
Adalah sah bagi semua orang, dan adalah menjadi kewajipan semua pegawai polis, untuk menyita semua kuda, lembu atau binatang-binatang lain yang dijumpai berkeliaran di atas jalan raya, lorong atau laluan, atau menceroboh masuk mana-mana tanah atau harta penghuni, atau Kerajaan, dan untuk mengandang binatang-binatang itu, dan jika binatang-binatang itu masing-masing tidak ditebus oleh tuanpunyanya dalam masa 3 hari selepas binatang-binatang itu dikandang maka binatang-binatang itu boleh dijual dengan cara lelong awam dengan perintah Pesuruhjaya Polis, dan hasil dari penjualan itu selepas ditolak perbelanjaan mengenainya, dan selepas membayar bayaran dan perbelanjaan memberi makan tersebut, hendaklah dibayar kepada tuanpunya binatang itu, dan jika tidak dituntut dalam masa 3 bulan selepas penjualan itu, maka ianya hendaklah disimpan oleh Pesuruhjaya Polis dan dibayar olehnya ke dalam Perbendaharaan.
Tiap-tiap orang yang mengeluarkan sebarang binatang dari kandang demikian tanpa kebenaran daripada Pesuruhjaya Polis adalah melakukan kesalahan: Hukuman, denda sebanyak $500.
Mana-mana orang yang ada dalam miliknya atau membawa dalam apa jua cara pun apa-apa barang yang mungkin disyaki dengan munasabah telah dicuri, atau diperolehi secara haram hendaklah, jika dia gagal memberikan penjelasan dengan memuaskan bagaimana dia memperolehinya, adalah melakukan kesalahan: Hukuman, denda sebanyak $2,000, atau penjara selama 3 bulan.
Jika mana-mana orang yang dituduh mempunyai atau membawa apa-apa barang yang telah dicuri atau diperolehi secara haram mengaku bahawa dia menerimanya daripada orang lain, atau bahawa dia telah digaji sebagai pembawa, agen atau pekerja untuk membawanya bagi pihak orang lain, maka Mahkamah boleh menyebabkan tiap-tiap orang lain itu, dan juga, jika perlu, tiap-tiap pembeli yang dahulu atau yang berpura-pura membeli atau orang lain yang melalui pemilikannya barang itu dipindahkan, dengan syarat bahawa orang lain itu dikatakan ada memilikinya dalam bidang kuasa Mahkamah itu, dibawa di hadapannya dan diperiksa, dan hendaklah memeriksa saksi-saksi dengan mengangkat sumpah berkenaan dengannya.
Jika pada pendapat Mahkamah itu bahawa mana-mana orang yang dibawa di hadapannya ada memiliki barang itu dan mempunyai sebab yang munasabah untuk mempercayai ianya telah dicuri atau diperolehi secara haram, maka orang itu adalah melakukan kesalahan: Hukuman, denda sebanyak $2,500, atau penjara selama 3 bulan.
Perkataan “milikan” dalam ceraian-ceraian (1), (2) dan (3) termasuk milikan di dalam sesebuah rumah, bangunan, kapal, perahu, bot atau tempat lain dan juga milikan di suatu jalan raya atau tempat awam.
Mana-mana orang yang — (a) setelah disabitkan atas suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah bab ini atau di bawah Penggal XII atau XVII dari Kanun Hukuman Jenayah; atau (b) setelah disabitkan atas suatu kesalahan yang sama sifatnya dengan mana-mana kesalahan itu di Republik Singapura atau di Malaysia: kemudiannya disabitkan atas suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah bab ini boleh dikenakan denda sebanyak $10,000, atau penjara selama 2 tahun.
Jika maklumat diberikan dengan mengangkat sumpah kepada Mahkamah Majistret bahawa ada sebab untuk mensyaki bahawa sebarang harta yang mungkin disyaki dengan munasabah telah dicuri atau diperolehi secara haram berada di dalam sebarang rumah, bangunan, kapal, perahu, bot atau tempat lain, maka Mahkamah itu boleh, dengan waran yang ditujukan kepada mana-mana pegawai polis, menyebabkan rumah, bangunan, kapal, perahu, bot atau tempat lain itu dimasuki dan digeledah pada bila-bila masa siang atau malam.
Maklumat yang disebutkan dalam ceraian (6) hendaklah memperihalkan harta yang disyaki dengan munasabah telah dicuri atau diperolehi secara haram, dan hendaklah juga memperihalkan rumah, bangunan, kapal, perahu, bot atau tempat lain di mana harta itu disyaki berada.
Jika apabila membuat pengeledahan itu sebarang harta sebagaimana yang diperihalkan dalam maklumat itu dijumpai di dalam rumah, bangunan, kapal, perahu, bot atau tempat lain itu, maka pegawai polis yang membuat pengeledahan itu atau pegawai polis lain hendaklah membawa harta itu di hadapan Mahkamah Majistret atau mengawalnya di situ atau menempatkannya di suatu tempat yang selamat.
Pegawai polis yang membuat pengeledahan itu atau pegawai polis lain hendaklah juga menangkap dan membawa di hadapan Mahkamah Majistret tiap-tiap orang yang berada di dalam rumah, bangunan, kapal, perahu, bot atau tempat lain itu di mana harta itu dijumpai ada dalam miliknya atau di bawah kawalannya.
Syarat-syarat Kanun Peraturan Jenayah hendaklah dikenakan kepada pengeledahan-pengeledahan yang dibuat di bawah ceraian-ceraian (6), (7), (8) dan (9).
Apabila sebarang harta telah dicuri atau diperolehi secara tipuan, dan suatu perihal bertulis mengenai harta itu telah diberikan oleh mana-mana pegawai polis kepada mana-mana peniaga barang-barang terpakai atau penukar wang, dan harta yang bersesuaian dengan perihal harta itu ada dalam milik peniaga atau penukar wang itu atau selepas itu menjadi miliknya atau ditawarkan kepadanya untuk dijual atau ditukar, maka dia hendaklah tanpa kelengahan yang tidak sepatutnya memberikan maklumat mengenainya kepada Pesuruhjaya Polis atau di sesebuah balai polis, dan hendaklah pada masa yang sama menyatakan nama dan alamat yang diberikan oleh orang yang daripadanya dia menerima harta itu atau yang menawarkan harta itu kepadanya untuk dijual atau ditukar.
Mana-mana orang yang gagal memberikan maklumat sebagaimana yang dikehendaki untuk diberikan olehnya menurut bab ini adalah melakukan kesalahan: Hukuman, denda sebanyak $500, dengan syarat bahawa apabila, pada pendapat Mahkamah, harta itu dari jenis yang susah hendak dikenal pasti maka tiada denda boleh dikenakan di bawah bab ini melainkan jika Mahkamah berpendapat bahawa harta itu telah disembunyikan dengan senghaja oleh tertuduh.
Jika mana-mana pemegang pajakgadai atau peniaga barang-barang terpakai atau pekerja emas atau perak, selepas menerima maklumat bahawa sebarang logam, barang, atau benda dari apa pun jenisnya telah dicuri atau diperolehi secara tipuan, melebur, mengubah, mencacatkan atau menyimpannya atau menyebabkan ianya dilebur, diubah, dicacatkan atau disimpan tanpa terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada Pesuruhjaya Polis, dan adalah didapati bahawa logam, barang-barang atau benda itu telah dicuri, atau diperolehi secara tipuan, maka pemegang pajakgadai, peniaga atau pekerja itu adalah melakukan kesalahan: Hukuman, denda sebanyak $5,000 atau penjara selama 6 bulan.
Mana-mana pegawai polis boleh menangkap tanpa waran mana-mana orang yang pada pendapatnya melanggar sebarang syarat Akta ini dan membawanya di hadapan Mahkamah untuk dibicarakan menurut undang-undang.
Sebarang binatang, alat pengangkutan atau benda yang mengenainya, dengannya atau baginya suatu kesalahan telah dilakukan boleh disita dan dibawa ke suatu kandang atau balai polis, melainkan jika diserahkan lebih awal dengan perintah Mahkamah, sehingga pertuduhan itu diputuskan mengikut perjalanan undang-undang.
Mana-mana orang yang ditangkap secara sah di bawah bab 22 atau 28 hendaklah, apabila diminta oleh seseorang pegawai polis, membenarkan supaya cap jarinya diambil.
Mana-mana Mahkamah yang menyabitkan seseorang atas suatu kesalahan di bawah salah satu dari bab-bab tersebut, dan dijatuhkan hukuman supaya membayar suatu denda, boleh memerintahkan supaya cap jari orang itu diambil di hadapan pegawai Mahkamah yang ditetapkan.
Suatu pernyataan dalam sebarang sijil yang dikatakan ditandatangani oleh mana-mana pegawai Mahkamah dan dimeterai dengan meterai Mahkamah bahawa seseorang telah disabitkan di bawah salah satu dari bab-bab tersebut, dan bahawa cap jari yang tertera dalam sijil itu adalah cap jari orang yang disabitkan itu adalah keterangan mengenai fakta-fakta yang dinyatakan demikian.
Tiada sesiapa pun boleh membangun, mendirikan, mengubah, menambah atau menyambung sebarang bangunan di Kampong Ayer tanpa terlebih dahulu mendapatkan persetujuan bertulis daripada Pegawai Daerah.
Tiada sesiapa pun iaitu tuanpunya atau penghuni sebarang bangunan di Kampong Ayer boleh — (a) memajakkan, memajakkan lagi, menyewakan atau menyewakan lagi bangunan itu kepada mana-mana orang selain daripada ahli keluarganya; (b) mengizinkan atau membenarkan mana-mana orang untuk menduduki bangunan itu selain daripada ahli keluarganya; tanpa terlebih dahulu mendapatkan persetujuan bertulis daripada Pegawai Daerah.
Jika mana-mana bangunan sedemikian telah disewakan atau disewakan lagi kepada sesiapa pun atau jika seseorang telah diizinkan atau dibenarkan untuk mendiami mana-mana bangunan sedemikian, pemilik atau penghuni bangunan sedemikian hendaklah, sehingga dibuktikan sebaliknya dianggap telah menyewakan atau menyewakan lagi. bangunan sedemikian kepada orang itu atau telah mengizinkan atau membenarkan orang itu untuk mendiaminya dengan mengetahui bahawa dia adalah orang selain dari ahli keluarganya.
Mana-mana orang yang melanggar bab 33 atau 34 adalah melakukan kesalahan: Hukuman penjara selama 6 bulan dan atau denda sebanyak $3,000; atau dalam hal kesalahan yang berterusan denda yang tidak melebihi dari $50 bagi tiap-tiap hari selama kesalahan itu berterusan.
Jika seseorang didakwa kerana suatu kesalahan di bawah bab 33 atau 34 dia hendaklah tidak disabitkan melainkan jika dia telah diberi amaran tidak kurang dari 3 bulan sebelum suatu aduan sedemikian itu disampaikan kepadanya bahawa persoalan mendakwanya bagi kesalahan itu akan diberi pertimbangan.
Jika seseorang telah disabitkan atas sesuatu kesalahan di bawah bab 33 atau di bawah perenggan (a) dari bab 34 mahkamah boleh memerintahkan supaya bangunan, binaan, perubahan, tambahan atau sambungan sedemikian (mengikut mana yang berkenaan) diturunkan, diroboh dan tapak itu dibersihkan, dan selepas itu Pegawai Daerah hendaklah menyebabkan supaya perintah sedemikian dilaksanakan.
Pegawai Daerah boleh mendapatkan kembali perbelanjaan yang dilakukan olehnya di bawah ceraian (1) daripada tuanpunya atau penghuni bangunan itu.
Dalam Bahagian ini — “bangunan” termasuk sebarang rumah, pondok, bangsal atau ruang bergapar yang beratap, sama ada digunakan bagi maksud tempat kediaman manusia ataupun tidak, dan juga sebarang dinding, pintu pagar, tiang, tunggak, pancang, kerangka, kekayu, gelangsar, limbungan, dermaga, pangkalan, jeti, tempat mendarat, jambatan, sebarang kerangka atau binaan dari apa pun bahannya dan dengan apapun cara ianya dibina atau mana-mana bahagian bangunan; “Pegawai Daerah” bermakna Pegawai Daerah bagi Daerah Brunei dan Muara; “keluarga” bermakna isteri, suami, anak-anak, dan termasuk ibu bapa, datuk-nenek, adik-beradik lelaki dan perempuan; “Kampong Ayer” bermakna sebahagian dari Sungai Brunei yang ditunjukkan dengan garisan merah dalam Pelan *Warta Kerajaan* Bil. 209 yang disimpan di Pejabat Juruukur Agung, yang termasuk kawasan-kawasan dalam lingkungan 500 ela ke arah darat dari tanda paras air pasang; “penghuni” bermakna orang yang menduduki bangunan yang berkaitan dengannya perkataan itu digunakan, atau yang menjaga, mengurus atau mengawalnya sama ada atas tanggungannya sendiri atau sebagai agen orang lain dan termasuk seseorang penyewa atau penumpang; “tuanpunya” bermakna orang yang pada waktu itu menerima sewa bangunan yang berhubung dengannya perkataan itu digunakan sama ada atas tanggungannya sendiri atau sebagai agen atau pemegang amanah bagi pihak mana-mana orang lain, atau yang akan menerimanya jika bangunan disewakan kepada seseorang penyewa; dan dalam sebarang hal dalam mana orang itu tidak mungkin dijumpai termasuk juga penghuni bangunan itu, jika ada.
Kenyataan Kesalahan-Kesalahan Kecil (Bayaran Kandang).
Kenyataan Kesalahan-Kesalahan Kecil Kandang Awam.
Permulaan kuatkuasa: 1hb Julai 1962
Kenyataan ini boleh digelar sebagai Kenyataan Kesalahan-Kesalahan Kecil (Bayaran Kandang).
Bayaran yang dinyatakan dalam Jadual kepada Kenyataan ini hendaklah kena dibayar berkaitan dengan binatang-binatang yang dikandang di dalam kandang awam di bawah syarat-syarat bab 27 dari Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.
Bayaran Kandang Bagi tiap-tiap ekor lembu jantan, lembu betina, lembu kembiri, kerbau atau kuda ................................. 10.00 sehari. Bagi tiap-tiap ekor kambing biri-biri, kambing atau babi ................................................................. 5.00 sehari. Bagi tiap-tiap ekor binatang ternakan ................................ 1.00 sehari. Bayaran Memberi Makan Bagi tiap-tiap ekor lembu jantan, lembu betina, lembu kembiri, kerbau atau kuda .................................. 1.00 sehari. Bagi tiap-tiap ekor kambing biri-biri, kambing atau babi ................................................................. .50 sehari. Bagi tiap-tiap ekor binatang ternakan ................................. .25 sehari.
Permulaan kuatkuasa: 4hb Ogos 1962
Kenyataan ini boleh digelar sebagai Kenyataan Kesalahan-Kesalahan Kecil Kandang Awam.
Tempat-tempat yang disebutkan dalam Jadual kepada Kenyataan ini adalah ditetapkan sebagai Kandang Awam bagi maksud-maksud Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.
Mana-mana Pegawai Yang Menjaga Balai Polis adalah diberi kuasa untuk menetapkan tempat-tempat lain sebagai kandang dan tempat-tempat yang ditetapkan demikian hendaklah dianggap sebagai kandang awam bagi maksud-maksud Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.
Mana-mana Pegawai Yang Menjaga Balai Polis adalah diberi kuasa untuk melantik penjaga-penjaga kandang untuk menjaga dan memberi makan lembu yang dikandang di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil, dan membayar kepada penjaga-penjaga kandang yang dilantik demikian bayaran sebagaimana yang mungkin ditetapkan oleh Pesuruhjaya Polis.
Balai Polis Bandar Seri Begawan Balai Polis Muara Balai Polis Sengkurong Balai Polis Temburong Balai Polis Tutong Balai Polis Panaga Balai Polis Seria Balai Polis Kuala Belait Balai Polis Berakas Balai Polis Lamunin Balai Polis Labi Balai Polis Sungai Liang