로고

UNDANG-UNDANG MALAYSIA CETAKAN SEMULA Akta 129

Tarikh Perkenan Diraja … … … 8 Mac 1974 Tarikh penyiaran dalam Warta… … … 14 Mac 1974

Suatu Akta bagi mengatur dan mengawal penyiasatan kaji bumi, bagi menubuhkan arkib kaji bumi dan bagi mengadakan peruntukan berkenaan dengan perkara yang bersampingan dengannya. MAKA INILAH DIPERBUAT UNDANG-UNDANG oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat dan persetujuan Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang bersidang dalam Parlimen, dan dengan kuasa daripadanya, seperti yang berikut:

SUSUNAN SEKSYEN Bahagian I PERMULAAN Seksyen 1. Tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa 2. Tafsiran Bahagian II PENTADBIRAN 3. Pelantikan, kuasa dan kewajipan pegawai 4. Kuasa Menteri untuk mengeluarkan arahan 5. Perundingan oleh Pegawai Penyiasatan Kaji Bumi Bahagian III PENYIASATAN KAJI BUMI OLEH PEGAWAI PENYIASATAN KAJI BUMI 6. Kuasa untuk penyiasatan kaji bumi 7. Kuasa dan notis untuk memasuki tanah 8. Kuasa seseorang Pegawai Penyiasatan Kaji Bumi 9. Menuntut pampasan terhadap kerosakan Bahagian IV KEWAJIPAN AM YANG BERHUBUNGAN DENGAN PENYIASATAN KAJI BUMI, DLL. 10. Pemakaian Bahagian IV 11. Notis kepada orang yang mencari gali Seksyen 12. Jumpaan bahan berfosil hendaklah diberitahu 13. Kemajuan telaga tertentu hendaklah diberitahu 14. Korekan tertentu hendaklah diberitahu Bahagian V ARKIB DAN KUMPULAN PENYIASATAN KAJI BUMI 15. Penubuhan arkib dan kumpulan 16. Pelantikan Penyimpan Arkib dan Kurator Kumpulan 17. Penyimpanan dan pelupusan spesimen dan contoh Bahagian VI AM 18. Penalti am 19. Kesalahan oleh kumpulan orang dan oleh pekhidmat dan ejen 20. Siapa yang boleh mendakwa 21. Tindakan pegawai menjadi kesalahan 22. Peraturan-peraturan

Bahagian I

PERMULAAN

Tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa

1.

(1)

Akta ini bolehlah dinamakan Akta Penyiasatan Kaji bumi 1974 dan hendaklah terpakai di seluruh Malaysia.

(2)

Akta ini hendaklah mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta; dan Menteri boleh menetapkan tarikh yang berlainan untuk permulaan kuat kuasa peruntukan yang berlainan dalam Akta ini dan tarikh yang berlainan boleh ditetapkan bagi Negeri-Negeri atau bahagian- bahagian Malaysia yang berlainan: Dengan syarat bahawa tiada tarikh boleh ditetapkan di bawah seksyen ini mengenai Sabah dan Sarawak melainkan jika Kerajaan bagi Negeri-Negeri itu telah dirundingi.

Tafsiran

2. Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—

“analisis” ertinya penentuan kandungan suatu spesimen atau contoh dengan kaedah fizik atau kimia; “bahan batu-batan” ertinya apa-apa batu-batan, batu, marmar, batu kelikir, pasir, tanah, laterit, tanah gembur, tanah liat, tanah- tanih, lumpur, turf, tanah gambut, karang, cangkerang atau tahi kelawar di dalam atau di atas mana-mana tanah; “bahan berfosil” ertinya apa-apa bahan galian, termasuk bahan batu-batan, yang mengandungi baki atau kesan binatang atau pokok yang telah terpelihara melalui proses semula jadi di dalam kerak bumi; “bijih” ertinya kumpulan galian pepejal yang terjadi dengan cara semula jadi yang mempunyai kepentingan ekonomi yang daripadanya satu juzuk yang berharga atau lebih boleh didapati dengan cara pengolahan; “contoh” ertinya sesuatu pecahan benda yang terjadi dengan cara semula jadi yang merupakan jisim yang daripadanya ia menjadi sebahagian; “galian” ertinya apa-apa bahan sama jenis semula jadi yang mempunyai kandungan tetap kimia dan susunan atom yang tertib; “Ketua Pengarah” ertinya Ketua Pengarah Penyiasatan Kaji Bumi yang dilantik di bawah seksyen 3; “orang yang diberi kuasa” ertinya seseorang yang diberi kuasa oleh seorang Pegawai Penyiasatan Kaji Bumi bagi membuat suatu penyiasatan kaji bumi; “Pegawai Penyiasatan Kaji Bumi” ertinya seseorang yang dilantik di bawah seksyen 3; “Pemungut” ertinya seorang Pentadbir Tanah mengikut pengertian Kanun Tanah Negara [Akta 56 tahun 1965] dan Pemungut Hasil Tanah mengikut pengertian Ordinan Tanah bagi Sabah [Bab 68] dan berhubung dengan Sarawak ertinya Penguasa yang dilantik di bawah seksyen 3 Kanun Tanah bagi Sarawak [Bab 81]; “pengenalan” ertinya menamakan sesuatu contoh dengan menggunakan ujian fizik dan kimia yang senang apabila perlu; “penyiasatan kaji bumi” ertinya apa-apa siasatan yang sistematik mengenai permukaan atau isi bumi dengan atau tanpa bantuan apa- apa sukatan fizik atau kimia; “spesimen” ertinya sesuatu pecahan benda yang terjadi dengan cara semula jadi yang tidak semestinya merupakan jisim yang daripadanya ia menjadi sebahagian.

Bahagian II

PENTADBIRAN

Pelantikan, kuasa dan kewajipan pegawai

3.

(1)

Seorang Ketua Pengarah Penyiasatan Kaji Bumi, seorang Timbalan Ketua Pengarah Penyiasatan Kaji Bumi, dan pegawai Penyiasatan Kaji Bumi lain sebagaimana yang difikirkan perlu hendaklah dilantik untuk menjalankan maksud Akta ini.

(2)

Kewajipan dan kuasa pegawai yang dilantik di bawah seksyen ini ialah kewajipan dan kuasa yang diberikan kepada mereka oleh Akta ini dan mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya.

(3)

Tiap-tiap pegawai yang dilantik di bawah seksyen ini hendaklah dengan pelantikan itu disifatkan sebagai terletak hak dengan semua kuasa mana-mana Pegawai Penyiasatan Kaji Bumi yang berpangkat rendah daripadanya.

(4)

Ketua Pengarah boleh memberi kuasa kepada mana-mana orang secara bertulis untuk menjalankan sesuatu penyiasatan kaji bumi bagi pihaknya.

(5)

Tiap-tiap pelantikan dan pemberian kuasa di bawah seksyen ini hendaklah disiarkan dalam Warta.

(6)

Tertakluk kepada seksyen 4, Ketua Pengarah mempunyai kuasa mengawasi semua pegawai lain yang dilantik atau semua orang yang diberi kuasa di bawah seksyen ini.

(7)

Semua pegawai yang dilantik dan semua orang yang diberi kuasa di bawah seksyen ini hendaklah disifatkan sebagai pekhidmat awam mengikut pengertian Kanun Keseksaan [Akta 574].

Kuasa Menteri untuk mengeluarkan arahan

4. Menteri boleh dari semasa ke semasa memberikan arahan am kepada Ketua Pengarah, dan yang selaras dengan peruntukan Akta ini, mengenai penjalanan kuasa dan budi bicara yang diberikan kepada Ketua Pengarah oleh Akta ini atau oleh mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya, dan penjalanan kewajipan yang dikehendaki supaya dijalankan oleh Ketua Pengarah di bawah Akta ini atau oleh mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya, berhubung dengan segala perkara yang ternyata padanya melibatkan apa-apa penyiasatan kaji bumi, dan Ketua Pengarah hendaklah menguatkuasakan semua arahan itu.

Perundingan oleh Pegawai Penyiasatan Kaji Bumi

5.

(1)

Ketua Pengarah boleh memberi kuasa kepada seseorang Pegawai Penyiasatan Kaji Bumi untuk menjalankan perundingan, penganalisisan atau perkhidmatan lain untuk seseorang lain.

(2)

Seseorang Pegawai Penyiasatan Kaji Bumi yang diberi kuasa di bawah subseksyen (1) boleh menghendaki orang yang berunding dengannya itu mendapatkan kebenaran bertulis daripada tuan punya atau penduduk segala tanah yang hendak dimasuki olehnya, dan mendapatkan permit dan kuasa sebagaimana yang perlu di bawah mana-mana undang-undang bagi maksud perundingan, penganalisisan atau perkhidmatan lain.

(3)

Sekiranya apa-apa spesimen atau contoh dikemukakan untuk dianalisis, seseorang Pegawai Penyiasatan Kaji Bumi yang diberi kuasa di bawah subseksyen (1) boleh memerintahkan supaya disimpan atau dilupuskan spesimen atau contoh itu atau apa-apa bahagiannya sebagaimana yang difikirkannya patut.

(4)

Bayaran untuk perundingan, khidmat penganalisisan atau khidmat lain di bawah seksyen ini boleh dikenakan pada apa-apa kadar sebagaimana yang ditetapkan.

Bahagian III

PENYIASATAN KAJI BUMI OLEH PEGAWAI PENYIASATAN KAJI BUMI

Kuasa untuk penyiasatan kaji bumi

6. Bilamana ternyata pada Menteri bahawa suatu penyiasatan kaji bumi patut dibuat bagi mana-mana kawasan, dia boleh, dengan persetujuan Pihak Berkuasa Negeri, melalui pemberitahuan dalam Warta, menetapkan kawasan yang akan disiasat (kemudian daripada ini disebut “kawasan yang ditetapkan”) oleh Ketua Pengarah.

Kuasa dan notis untuk memasuki tanah

7.

(1)

Tertakluk kepada seksyen ini, seseorang Pegawai Penyiasatan Kaji Bumi atau seseorang yang diberi kuasa mempunyai kuasa untuk memasuki sesuatu tanah dalam kawasan yang ditetapkan bagi maksud penyiasatan kaji bumi.

(2)

Seseorang Pegawai Penyiasatan Kaji Bumi atau seseorang yang diberi kuasa hendaklah menyebabkan supaya suatu notis disampaikan kepada seseorang yang ialah tuan punya atau penduduk mana-mana tanah, atau penerima pajak jika tanah itu ialah tanah lombong, di dalam kawasan yang ditetapkan, yang memberitahu orang itu tentang cadangannya hendak memasuki tanah itu bagi maksud penyiasatan kaji bumi. Notis itu hendaklah disampaikan tidak kurang daripada 14 hari sebelum tarikh dia bercadang hendak memasuki tanah itu.

(3)

Jika kemasukan ke kawasan yang ditetapkan atau keluar dari kawasan yang ditetapkan tidak boleh dilakukan tanpa melalui sesuatu tanah beri hakmilik, tanah lombong atau tanah yang diduduki di bawah lesen pendudukan sementara, Pegawai Penyiasatan Kaji Bumi atau orang yang diberi kuasa hendaklah menyampaikan suatu notis kepada tuan punya, penerima pajak atau penduduk itu memberitahukan cadangannya hendak memasuki dan memasuki semula tanah itu bagi maksud untuk mendapat masuk ke kawasan yang ditetapkan. Notis itu hendaklah disampaikan tidak kurang daripada 14 hari sebelum tarikh dia bercadang hendak menggunakan tanah itu sebagai jalan masuk.

(4)

Sesuatu notis yang hendak disampaikan di bawah seksyen ini boleh disampaikan kepada seseorang atau suatu kumpulan orang mengikut cara yang berikut, iaitu: (a) dengan menyerahkan notis itu kepada orang itu; (b) dengan menyerahkan notis itu— (i) di tempat tinggal atau perniagaan yang biasa atau yang akhir diketahui orang itu kepada orang gajinya atau kepada seorang anggota keluarganya yang dewasa; atau (ii) di pejabat berdaftar atau tempat perniagaan yang biasa atau yang akhir diketahui kumpulan itu kepada orang gaji atau ejennya; (c) dengan menghantar notis itu dengan pos berdaftar yang telah dijelaskan bayarannya kepada orang atau kumpulan itu— (i) di tempat tinggal atau tempat perniagaan yang biasa atau yang akhir diketahui orang itu; atau (ii) di pejabat berdaftar atau tempat perniagaan yang biasa atau yang akhir diketahui kumpulan itu; atau (d) jika Ketua Pengarah berpuas hati bahawa suatu notis di bawah seksyen ini tidak dapat disampaikan sendiri kepada orang itu atau melalui pos (sama ada kerana orang yang hendak disampaikan kepadanya notis itu mengelakkan penyampaian atau kerana sesuatu sebab lain)— (i) dengan menampalkan suatu salinan notis itu di suatu tempat yang mudah dilihat atas tanah itu atau pada suatu mahkamah, masjid atau pejabat penghulu atau di pasar atau tempat awam lain, dalam kawasan yang di dalamnya tanah itu terletak; (ii) dengan menyiarkan suatu salinan notis itu dalam Warta dan jika difikirkannya patut, dalam satu surat khabar atau lebih yang beredar dalam Negeri di mana tanah itu terletak.

(5)

Seseorang yang telah disampaikan notis di bawah subseksyen

(2)

dan (3) hendaklah membenarkan mana-mana Pegawai Penyiasatan Kaji Bumi atau orang yang diberi kuasa untuk memasuki tanah itu atau mana-mana bahagiannya.

Kuasa seseorang Pegawai Penyiasatan Kaji Bumi

8.

(1)

Apabila disampaikan notis di bawah seksyen 7 dan tertakluk kepada peruntukan subseksyen (2), Pegawai Penyiasatan Kaji Bumi atau seseorang yang diberi kuasa boleh, bagi maksud membuat apa-apa penyiasatan sebagaimana yang difikirkan wajar oleh Ketua Pengarah berhubung dengan apa-apa penyiasatan kaji bumi— (a) memasuki mana-mana tanah di dalam kawasan yang ditetapkan; (b) memotong, membuang atau dengan cara lain membersihkan mana-mana tumbuh-tumbuhan yang tidak ditanam sebagaimana yang perlu bagi membolehkan penyiasatan itu dijalankan dengan sepatutnya; (c) mendirikan atau menempatkan apa-apa pancang dan tanda sebagaimana yang perlu bagi membolehkan penyiasatan itu dijalankan dengan sepatutnya; (d) menjalankan sesuatu penyiasatan kaji bumi secara dangkal; (e) menjalankan sesuatu penyiasatan kaji bumi fizik secara artifisial; (f) menggerek, menggerudi, memecah, menggali atau melubangkan tanah itu; (g) mendapatkan dan mengambil apa-apa spesimen atau contoh dari tanah bagi melanjutkan penyiasatan itu dan mengambil dan melupuskan sebagaimana yang difikirkannya patut apa-apa bahan artifisial atau seasal sebagaimana yang perlu untuk mendapatkan spesimen atau contoh itu.

(2)

Seseorang Pegawai Penyiasatan Kaji Bumi atau orang yang diberi kuasa yang memasuki mana-mana tanah bagi maksud sesuatu penyiasatan kaji bumi hendaklah, apabila diminta oleh penduduk tanah itu, menunjukkan kepada penduduk itu surat kuasanya dalam bentuk yang ditetapkan.

(3)

Dalam seksyen ini— “penyiasatan kaji bumi fizik secara artifisial” ertinya apa-apa siasatan mengenai permukaan, bawah permukaan atau isi bumi dengan mengukur lencungan daya fizik yang diaruhkan secara artifisial; “penyiasatan kaji bumi fizik secara semula jadi”ertinya apa-apa siasatan mengenai permukaan, bawah permukaan atau isi bumi dengan cara mengukur sifat dasar fiziknya; “penyiasatan kaji bumi kimia” ertinya apa-apa siasatan yang sistematik mengenai permukaan, bawah permukaan atau isi bumi dengan menjalankan penganalisisan kimia ke atas spesimen atau contoh yang diambil dari tanah, air bumi, atau tumbuh-tumbuhan; “penyiasatan kaji bumi secara dangkal” ertinya apa-apa siasatan yang sistematik mengenai permukaan, bawah permukaan atau isi bumi dengan menjalankan penyiasatan kaji bumi fizik semula jadi, penyiasatan kaji bumi kimia atau pemeriksaan fizik; “siasatan yang sistematik” ertinya apa-apa jua siasatan dan termasuklah pemeriksaan permulaan.

Menuntut pampasan terhadap kerosakan

9.

(1)

Jika kerosakan telah dilakukan terhadap sesuatu harta dalam masa suatu penyiasatan kaji bumi, pemunya harta itu boleh dalam masa enam bulan selepas tamatnya penyiasatan kaji bumi ke atas tanah di mana harta itu telah rosak, mengemukakan suatu tuntutan kepada Ketua Pengarah, dan Ketua Pengarah boleh— (a) menolak tuntutan itu; atau (b) menyebabkan supaya kerosakan itu ditaksirkan dan membayar atau menawarkan kepada pihak menuntut kos kerosakan yang ditaksirkan itu.

(2)

Jika pihak menuntut tidak berpuas hati dengan penolakan tuntutan itu atau dengan taksiran itu dia boleh dalam masa satu bulan selepas disampaikan melalui pos surat yang menyatakan penolakan itu atau selepas dibayar atau ditawarkan kos kerosakan yang ditaksirkan di bawah subseksyen (1), merayu kepada Pemungut bagi daerah yang tanah itu terletak.

(3)

Pemungut hendaklah dengan seberapa segera yang boleh mendengar tuntutan itu dan boleh menolak tuntutan itu atau membuat suatu award sebagaimana yang difikirkannya patut.

(4)

Pemungut mempunyai semua kuasa sesuatu Mahkamah bagi memanggil dan memeriksa saksi, mentadbirkan sumpah atau ikrar dan bagi memaksa untuk dikemukakan dan diserahkan kepadanya suratan, termasuk suratan hakmilik keluaran dan suratan lain yang menjadi keterangan tentang hakmilik.

(5)

Sesuatu pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Pemungut boleh dalam masa satu bulan selepas keputusan itu dibuat merayu kepada Lembaga Rayuan yang terdiri daripada orang yang berikut: (a) seorang Pengerusi yang merupakan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan) untuk mendengar rayuan bagi kes yang berbangkit di Semenanjung Malaysia atau Pengarah Tanah dan Ukur bagi Negeri Sabah atau Sarawak untuk mendengar rayuan bagi kes yang berbangkit di Negeri itu masing-masing; dan (b) dua orang lain yang hendaklah dipilih oleh Pengerusi daripada suatu panel orang yang hendaklah dilantik oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta.

(6)

Keputusan Lembaga Rayuan yang disebut dalam subseksyen

(5)

adalah muktamad.

Bahagian IV

KEWAJIPAN AM YANG BERHUBUNGAN DENGAN PENYIASATAN KAJI BUMI, DLL.

Pemakaian Bahagian IV

10. Peruntukan Bahagian ini hendaklah terpakai bagi semua orang kecuali Pegawai Penyiasatan Kaji Bumi dan orang yang diberi kuasa.

Notis kepada orang yang mencari gali

11.

(1)

Ketua Pengarah boleh dengan notis menghendaki seseorang yang mencari gali tanah untuk logam atau galian menurut lesen atau permit yang dikeluarkan di bawah mana-mana undang-undang berhubungan dengan perlombongan yang berkuat kuasa pada masa ini— (a) untuk membuat dan mengemukakan kepadanya suatu rekod perihalan dan tempat dijumpai spesimen bahan batu-batan, galian, bijih, bahan berfosil atau bahan galian lain yang terjadi dengan cara semula jadi dalam bumi; (b) untuk menyerahkan kepadanya spesimen atau contoh yang disebut terdahulu atau bahagian spesimen atau contoh itu bagi maksud pengenalan atau penganalisisan dengan syarat permintaan sedemikian dibuat dalam masa enam bulan selepas tamatnya cari gali itu; (c) untuk memberikan suatu keterangan yang benar mengenai hasil cari gali itu dengan seberapa segera yang boleh selepas tamatnya cari gali itu atau pada sesuatu lat tempoh sebagaimana diarahkan olehnya dalam masa cari gali itu berterusan.

(2)

Ketua Pengarah boleh menyimpan apa-apa spesimen atau contoh yang diserahkan kepadanya di bawah perenggan (1)(b).

Jumpaan bahan berfosil hendaklah diberitahu

12. Jika seseorang yang menjalankan sesuatu penyiasatan kaji bumi atau yang mencari gali menjumpai apa-apa bahan berfosil dia hendaklah dengan segera memberitahu Ketua Pengarah mengenai apa-apa butir sebagaimana yang ditetapkan dari semasa ke semasa.

Pemajuan telaga tertentu hendaklah diberitahu

13.

(1)

Seseorang yang menggerek, menggerudi, menggali atau dengan cara lain memajukan suatu telaga bagi maksud mencari atau mengambil air daripadanya hendaklah memberitahu Ketua Pengarah mengenai apa-apa butir yang ditetapkan dari semasa ke semasa.

(2)

Bagi maksud seksyen ini telaga tidak termasuk sesuatu telaga yang kurang daripada 30 kaki dalam tanpa sampai ke batu hampar atau yang mengeluarkan air kurang daripada 500 gelen sehari dan yang digunakan semata-mata untuk maksud rumah tangga bagi isi rumah orang yang bertanggungjawab bagi memajukannya.

Korekan tertentu hendaklah diberitahu

14. Tertakluk kepada seksyen 13, seseorang yang menggerek, menggerudi, menggali atau dengan cara lain memajukan suatu lubang, syaf, terowong, tarahan atau korekan lain yang mendedahkan batu hampar (berbeza daripada lanar atau serdak batu) hendaklah memberitahu Ketua Pengarah mengenai apa-apa butir sebagaimana yang ditetapkan dari semasa ke semasa:

Dengan syarat bahawa seksyen ini tidak terpakai bagi seseorang yang membuat suatu korekan bersampingan dengan mendirikan suatu bangunan satu tingkat atau dua tingkat atau bagi seseorang yang membuat suatu korekan mengikut peruntukan mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan perlombongan yang berkuat kuasa pada masa itu.

Bahagian V

ARKIB DAN KUMPULAN PENYIASATAN KAJI BUMI

Penubuhan arkib dan kumpulan

15.

(1)

Ketua Pengarah hendaklah menyebabkan supaya ditubuhkan dan disenggarakan rekod mengenai segala maklumat kaji bumi yang didapati olehnya di bawah Akta ini, dan rekod itu hendaklah dikenali dengan nama Arkib Penyiasatan Kaji Bumi.

(2)

Ketua Pengarah hendaklah menyebabkan supaya ditubuhkan dan disenggarakan kumpulan segala batu-batan, galian, bijih, fosil, dan bahan galian lain yang terjadi dengan cara semula jadi dalam bumi yang didapati atau disimpan olehnya di bawah Akta ini, dan kumpulan itu hendaklah dikenali dengan nama Kumpulan Penyiasatan Kaji Bumi.

Pelantikan Penyimpan Arkib dan Kurator Kumpulan

16. Ketua Pengarah boleh melantik seseorang Pegawai Penyiasatan Kaji Bumi sebagai Penyimpan Arkib Penyiasatan Kaji Bumi atau sebagai Kurator Kumpulan Penyiasatan Kaji Bumi, dan boleh mewakilkan tanggungjawab bagi Arkib dan Kumpulan itu kepada seseorang Pegawai Penyiasatan Kaji Bumi yang dilantik sedemikian.

Penyimpanan dan pelupusan spesimen dan contoh

17. Ketua Pengarah boleh menyimpan apa-apa spesimen atau contoh yang dikemukakan kepadanya untuk pengenalan atau penganalisisan dan boleh pada bila-bila masa membuat apa-apa perkiraan bagi melupuskan spesimen atau contoh itu mengikut apa-apa cara yang difikirkannya patut, kecuali bahawa spesimen dan contoh itu hendaklah dikembalikan kepada orang yang mengemukakannya jika permintaan yang bermaksud demikian itu dibuat pada masa ia dikemukakan.

Bahagian VI

AM

Penalti am

18.

(1)

Seseorang yang melanggar sesuatu peruntukan Akta ini atau yang gagal mematuhi sesuatu arahan, notis, syarat atau sekatan yang sah di sisi undang-undang yang dikenakan di bawahnya, melakukan suatu kesalahan terhadap Akta ini dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit dan sebagai tambahan boleh didenda sebanyak lima puluh ringgit sehari bagi tiap-tiap hari pelanggaran atau kegagalan itu berterusan.

(2)

Jika tiada apa-apa penalti lain diperuntukkan secara khusus dalam mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta ini, seseorang yang melanggar peruntukan peraturan itu melakukan suatu kesalahan terhadap Akta ini dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit dan sebagai tambahan boleh didenda sebanyak dua puluh lima ringgit sehari bagi tiap-tiap hari pelanggaran itu berterusan.

Kesalahan oleh kumpulan orang dan oleh pekhidmat dan ejen

19. Jika suatu kesalahan terhadap Akta ini atau terhadap mana- mana peraturan yang dibuat di bawahnya telah dilakukan oleh suatu syarikat, firma, pertubuhan atau kumpulan orang lain, mana- mana orang yang pada masa berlakunya kesalahan itu ialah seorang pengarah, pengurus, setiausaha atau pegawai lain yang seumpamanya atau seorang pekongsi syarikat, firma, pertubuhan atau kumpulan orang lain itu atau adalah berupa sebagai bertindak atas sifat sedemikian hendaklah disifatkan bersalah atas kesalahan itu melainkan jika dia membuktikan bahawa kesalahan itu telah dilakukan tanpa dipersetujui atau dibiarkan olehnya dan bahawa dia telah menjalankan segala usaha bagi mengelakkan berlakunya kesalahan itu sebagaimana yang sepatutnya dijalankan olehnya, dengan mengambil perhatian tentang jenis fungsinya atas sifat yang demikian dan tentang segala hal keadaan.

Siapa yang boleh mendakwa

20. Pendakwaan berkenaan dengan kesalahan yang dilakukan di bawah Akta ini atau di bawah mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya boleh dijalankan oleh Ketua Pengarah atau oleh seorang Pegawai Penyiasatan Kaji Bumi yang diberi kuasa dengan khasnya secara bertulis bagi maksud itu oleh Ketua Pengarah.

Tindakan pegawai menjadi kesalahan

21. Tiada apa-apa jua yang dilakukan dengan suci hati oleh seseorang pegawai mana-mana Kerajaan di Persekutuan yang bertindak dalam menjalankan kewajipannya boleh menjadi suatu kesalahan di bawah Akta ini atau di bawah mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya.

Peraturan-peraturan

22. Menteri boleh membuat peraturan-peraturan bagi menjalankan peruntukan Akta ini dan bagi menetapkan apa-apa yang dikehendaki atau dibenarkan ditetapkan di bawah Akta ini.

UNDANG-UNDANG MALAYSIA Akta 129 AKTA PENYIASATAN KAJI BUMI 1974

SENARAI PINDAAN Undang-undang yang meminda Tajuk ringkas Berkuat kuasa dari Akta 160 Akta Mata Wang Malaysia (Ringgit) 1975

UNDANG-UNDANG MALAYSIA Akta 129 AKTA PENYIASATAN KAJI BUMI 1974

SENARAI SEKSYEN YANG DIPINDA Seksyen Kuasa meminda Berkuat kuasa dari Akta 160