로고

UNDANG-UNDANG MALAYSIA VERSI ATAS TALIAN TEKS CETAKAN SEMULA YANG KEMAS KINI Akta 267

Suatu Akta untuk membuat peruntukan bagi mengawal selia dan mengatur perancangan yang teratur dalam Wilayah Persekutuan, bagi melevi caj pembangunan, dan bagi maksud yang berkaitan atau bersampingan dengannya. MAKA INILAH DIPERBUAT UNDANG-UNDANG oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat dan persetujuan Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang bersidang dalam Parlimen, dan dengan kuasa daripadanya, seperti yang berikut:

SUSUNAN SEKSYEN Bahagian I PERMULAAN Seksyen 1. Tajuk ringkas, pemakaian dan permulaan kuat kuasa 2. Tafsiran Bahagian II TUGAS DAN KUASA DATUK BANDAR 3. Dasar perancangan am 4. Lembaga Penasihat Perancangan 5. Datuk Bandar menjalankan tugas dan kuasa yang diberikan dan kewajipan yang dikenakan oleh Akta ini 6. Tugas Datuk Bandar Bahagian III PELAN PEMBANGUNAN 7. Draf pelan struktur, tatacara notis awam dan pendengaran bantahan 8. Kelulusan atau penolakan draf pelan struktur oleh Menteri 9. Penyiaran notis awam mengenai draf pelan struktur yang diluluskan 10. Perubahan, penambahan, penyemakan atau penggantian pelan struktur Seksyen 11. Kebenaran Menteri dan penyiaran notis 12. Perisytiharan dan pembatalan kawasan tindakan 13. Penyediaan draf pelan tempatan 14. Publisiti berkenaan dengan draf pelan tempatan 15. Penyiasatan dan pembicaraan berkenaan dengan draf pelan tempatan 16. Penerimaan draf pelan tempatan 17. Perubahan, pemansuhan, dan penggantian pelan tempatan 18. Penggantungan pelan pembangunan oleh Menteri Bahagian IV KAWALAN PERANCANGAN 19. Kegunaan tanah dan bangunan 20. Larangan mengenai pembangunan tanpa kebenaran perancangan 21. Permohonan untuk kebenaran perancangan 22. Perintah pembangunan 23. Rayuan terhadap keputusan Datuk Bandar 24. Luputnya perintah pembangunan 25. Pembatalan dan pengubahsuaian perintah pembangunan, kebenaran dan kelulusan 26. Kesalahan berhubung dengan pembangunan yang tidak dibenarkan 27. Notis penguatkuasaan berhubung dengan pembangunan yang dijalankan yang melanggar undang-undang 28. Kesan notis penguatkuasaan yang disampaikan menurut seksyen 27 29. Penalti kerana tidak mematuhi notis penguatkuasaan yang disampaikan menurut seksyen 27 30. Notis permintaan Bahagian V PEMELIHARAAN DAN PENANAMAN POKOK Seksyen 31. Peruntukan untuk pemeliharaan dan penanaman pokok 32. Datuk Bandar boleh menyebabkan pokok ditanam dengan betul 33. Pembayaran balik deposit apabila kerja selesai 34. Pembayaran balik deposit jika kerja bangunan tidak dimulakan 35. Perintah pemeliharaan pokok 36. Larangan memotong pokok yang lilitannya melebihi satu meter 37. Penggantian pokok 38. Penalti kerana tidak mematuhi perintah pemeliharaan 39. Penguatkuasaan kewajipan mengenai perintah pemeliharaan pokok Bahagian VI CAJ PEMBANGUNAN 40. Caj pembangunan dan tanggungannya 41. Penentuan caj pembangunan 42. Rayuan terhadap taksiran caj pembangunan 43. Caj pembangunan adalah suatu caj ke atas tanah 44. Pembayaran wang ke dalam kumpulan wang Bahagian VII LEMBAGA RAYUAN 45. Lembaga Rayuan Bahagian VIII NOTIS PEMBELIAN DAN PENGAMBILAN TANAH 46. Notis menghendaki pembelian tanah dalam hal tertentu Bahagian IX KAWASAN TINDAKAN DAN KAWASAN PEMBANGUNAN Seksyen 47. Penyampaian perintah kawasan tindakan 48. Kuat kuasa perisytiharan 49. Datuk Bandar boleh menggaji ejen, membuat perkiraan dan menubuhkan perbadanan 50. Kuasa meminjam wang 51. Kuasa melupuskan tanah dan harta Bahagian X PERUNTUKAN PELBAGAI 52. Kuasa masuk 53. Penyampaian dokumen 54. Pengesahan dokumen 55. Bukti dokumen 56. Sekatan terhadap menyaman Datuk Bandar, pegawai yang diberi kuasa dan ejen 57. Pendakwaan 58. Pelupusan barang yang dipindah oleh Datuk Bandar 59. Penalti kerana menggangu tanda 60. Pekhidmat awam 61. Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 62. Ganti rugi dan pengecualian daripada tanggungan, dsb. 63. Pengecualian daripada fi dan caj 64. Kuasa untuk membuat kaedah-kaedah 65. Pemansuhan dan kecualian 66. Akta Perbadanan Pembangunan Bandar 1971

Bahagian I

PERMULAAN

Tajuk ringkas, pemakaian dan permulaan kuat kuasa

1.

(1)

Akta ini bolehlah dinamakan Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982.

(2)

Tanpa menyentuh subseksyen (3), Akta ini hendaklah terpakai bagi Wilayah Persekutuan sahaja.

(3)

Akta ini hendaklah mula berkuat kuasa pada tarikh yang akan ditetapkan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta: Dengan syarat bahawa Menteri boleh menetapkan tarikh yang berlainan untuk Akta ini mula berkuat kuasa bagi bahagian yang berlainan dalam Wilayah Persekutuan atau bagi peruntukan yang berlainan dalam Akta ini.

Tafsiran

2. Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain―

―bangunan‖ termasuklah sesuatu rumah, pondok, bangsal atau kepungan tertutup sama ada sementara atau kekal dan sama ada digunakan atau tidak digunakan bagi maksud kediaman manusia, dan juga sesuatu tembok, pagar, pelantar, pentas, pintu get, tiang wayarles, aerial dan antena yang digunakan bagi maksud pemancaran, tiang, pancang, bingkai, dinding adang, limbungan, kolam mandi dan kolam renang, dok, dermaga, tambangan, jeti, pelantar mendarat atau jambatan, atau apa-apa struktur, topang atau asas yang disambungkan pada atau dengan mana-mana yang tersebut sebelum ini; ―caj pembangunan‖ ertinya caj pembangunan yang dilevi di bawah seksyen 40; ―Datuk Bandar‖ ertinya Datuk Bandar yang dilantik di bawah Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 [Akta 190]; ―jalan‖ ertinya mana-mana jalan sama ada jalan awam atau jalan persendirian dan termasuklah sesuatu lebuh, medan, halaman, jalan kecil, lorong, jambatan, siar kaki, haluan jejak, jalan enam kaki, laluan, atau lebuh raya, sama ada jalan tembus atau tidak yang orang awam berhak lalu; ―kawasan pembangunan‖ ertinya suatu bahagian atau keseluruhan sesuatu kawasan tindakan yang diperoleh mengikut seksyen 47; ―kawasan plinth‖ ertinya kadar kawasan sesuatu lot yang diliputi oleh bangunan; ―kawasan tindakan‖ ertinya sesuatu kawasan atau kawasan-kawasan sebagaimana yang dinyatakan dalam mana-mana pelan pembangunan atau yang telah diisytiharkan sedemikian mengikut peruntukan Akta ini untuk memudahkan pembangunan baru, pembangunan semula atau pembaikan; ―kebenaran perancangan‖ ertinya kebenaran yang diberikan dengan atau tanpa syarat dalam sesuatu perintah pembangunan untuk menjalankan apa-apa pembangunan yang dinyatakan dalam perintah itu; ―kediaman‖ ertinya menggunakan sebagai tempat kediaman manusia sesuatu tanah atau bangunan atau sebahagiannya termasuklah taman, perkarangan, garaj, kandang, dan rumah luar yang menjadi sebahagian bangunan itu; ―kegunaan‖, berhubungan dengan sesuatu tanah, ertinya apa-apa kegunaan tanah selain semata-mata untuk menyimpan atau menstor bahan dan kelengkapan yang bertujuan untuk digunakan bagi membina atau mendirikan sesuatu bangunan di atas tanah tersebut, atau sebagai tapak untuk bangunan sementara untuk menempatkan pekerja yang terlibat dalam membina atau mendirikan bangunan tersebut; ―kegunaan perdagangan‖ ertinya kegunaan sesuatu tanah atau bangunan atau sebahagian daripadanya bagi maksud perdagangan; ―kegunaan perindustrian‖ termasuklah kegunaan sesuatu tanah atau bangunan atau sebahagiannya bagi maksud perindustrian; ―kemudahan awam‖ termasuklah jalan, bekalan air dan elektrik, perkhidmatan telefon, lampu jalan, pembetungan, perparitan, kerja raya, dan perkhidmatan dan kesenangan awam lain yang serupa itu; ―kepadatan‖ ertinya keamatan menggunakan tanah yang dihitung atau dikira mengikut bilangan orang, unit kediaman, atau bilik yang boleh dihuni, atau apa-apa gabungan daripada faktor itu, bagi satu unit kawasan tanah; ―kerja bangunan‖ ertinya meruntuh, mendirikan, mendirikan semula, atau meluaskan sesuatu bangunan atau struktur atau apa-apa bahagiannya dan termasuklah― (a) apa-apa tambahan pada ketinggian atau ruang lantai sesuatu bangunan; (b) apa-apa tambahan atau perubahan pada sesuatu bangunan yang menyentuh atau mungkin menyentuh perparitan atau susunan kebersihan atau keteguhannya; (c) apa-apa tambahan atau perubahan pada sesuatu bangunan, sama ada dibuat sebelum atau selepas bangunan itu siap, yang menyimpang dengan apa-apa butir daripada mana-mana pelan atau penentuan berkenaan dengan bangunan itu yang diluluskan pada bila-bila masa oleh pihak berkuasa yang diberi kuasa di bawah mana-mana undang-undang bertulis untuk meluluskan pelan atau penentuan itu; (d) apa-apa tambahan atau perubahan pada sesuatu bangunan yang secara material menyentuh atau mungkin secara material menyentuh sesuatu bangunan mengikut apa-apa cara; dan (e) apa-apa kerja lain yang biasanya dikendalikan oleh seseorang yang menjalankan urusan pembinaan bangunan; ―kerja kejuruteraan‖ termasuklah membentuk atau meratakan tanah, membentuk atau membina jalan masuk ke sesuatu jalan dan menyusun kabel, sesalur bekalan air, pembetungan atau perparitan; ―keselesaan‖ ertinya apa-apa kualiti atau keadaan sesuatu tempat atau kawasan yang turut menyebabkan tempat atau kawasan itu menjadi selesa, harmoni dan dapat dinikmati dengan lebih baik, dan termasuklah tanah lapang, taman, taman rekreasi dan taman permainan; ―Lembaga Rayuan‖ ertinya Lembaga Rayuan yang ditubuhkan di bawah seksyen 45; ―luas lantai‖ ertinya jumlah luas ruang lantai dalam sesuatu bangunan yang diukur dari dinding sebelah luar dan berkenaan dengan dinding berkongsi, diukur dari tengah-tengah dinding berkongsi itu; ―nisbah plot‖ ertinya nisbah antara jumlah luas lantai sesuatu bangunan dan luas plot bangunan itu; ―notis pembelian‖ ertinya notis pembelian yang disebut dalam seksyen 46; ―notis penguatkuasaan‖ ertinya notis penguatkuasaan yang disampaikan menurut seksyen 27; ―notis permintaan‖ ertinya notis permintaan yang disebut dalam seksyen 30; ―pegawai yang diberi kuasa‖, berhubungan dengan sesuatu peruntukan, ertinya seseorang pegawai yang dilantik secara bertulis oleh Datuk Bandar sebagai seseorang pegawai yang diberi kuasa bagi maksud peruntukan tersebut; ―pelan pembangunan‖, berhubungan dengan sesuatu kawasan, ertinya― (a) pelan tempatan bagi kawasan itu; atau (b) jika tiada pelan tempatan bagi kawasan itu, pelan struktur bagi kawasan itu; dan, berhubungan dengan sesuatu tanah atau bangunan, ertinya pelan pembangunan, sebagaimana yang ditakrifkan, bagi kawasan yang tanah atau bangunan itu terletak; ―Pelan Pembangunan Lengkap‖ ertinya pelan pembangunan lengkap yang disebut sebagai pelan No. 1039, 1040 dan 1041 dalam *Akta (Perancangan) Bandaraya Kuala Lumpur 1973 [Akta 107]; ―pelan struktur‖, berhubungan dengan sesuatu kawasan, ertinya sesuatu pernyataan bertulis yang disertai dengan gambar rajah, gambaran dan bahan perihalan lain yang mengandungi dasar dan cadangan mengenai pembangunan dan kegunaan tanah dalam kawasan itu dan boleh menunjukkan kawasan tindakan; dan ―draf pelan struktur‖ hendaklah ditafsirkan sebagaimana yang dikehendaki oleh konteksnya; ―pelan tempatan‖, berhubungan dengan sesuatu kawasan, ertinya pelan tempatan sebagaimana yang disediakan di bawah seksyen 13; ―pembangunan‖ ertinya menjalankan sesuatu kerja bangunan atau kejuruteraan, perlombongan atau perindustrian atau apa-apa kerja lain yang serupa itu di dalam, di atas, atau di bawah tanah, dan termasuklah sesuatu pertukaran tentang kegunaan tanah atau bangunan atau mana-mana bahagian tanah atau bangunan itu, atau pemecahan sempadan atau penyatuan tanah; ―pemunya‖, berhubungan dengan sesuatu tanah atau bangunan, ertinya― (a) tuan punya berdaftar tanah itu; (b) pemegang pajak berdaftar bagi sesuatu pajakan termasuk seseorang pemegang pajak kecil berdaftar; (c) ejen atau pemegang amanah bagi mana-mana orang yang diperihalkan dalam perenggan (a) dan (b) jika Datuk Bandar berpendapat bahawa mana-mana orang tersebut tidak dapat dijumpai; * CATATAN – Akta (Perancangan) Bandaraya Kuala Lumpur 1973 [Akta 107] telah dimansuhkan oleh Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 [Akta 267] – lihat subseksyen 65(1) Akta 267. (d) wakil dirinya di sisi undang-undang bagi mana-mana orang yang diperihalkan dalam perenggan (a) dan (b) jika mana-mana orang itu telah mati; (e) orang yang pada masa itu menerima sewa premis yang berkenaan dengannya perkataan itu digunakan sama ada bagi pihaknya sendiri atau sebagai ejen atau pemegang amanah bagi mana-mana orang lain atau sebagai seorang penerima atau orang yang akan menerima sewa itu jika premis itu disewakan kepada seseorang penyewa; ―penduduk‖, berhubungan dengan sesuatu tanah atau bangunan, termasuklah― (a) seseorang penyewa tanah atau bangunan; (b) seseorang pemunya tanah atau bangunan yang menduduki atau secara lain menggunakan tanah atau bangunan itu; (c) seseorang yang sebenarnya menduduki tanah atau bangunan itu atau menjaga, mengurus, atau mengawal tanah atau bangunan itu, sama ada bagi pihaknya sendiri atau sebagai ejen bagi orang lain; tetapi tidak termasuk seseorang yang menumpang; ―perdagangan‖ ertinya menjalankan sesuatu dagangan, perniagaan atau profesion dan termasuklah pembekalan atau tawaran untuk membekalkan barang-barang atau perkhidmatan, penyimpanan atau pertukaran barang-barang daripada apa-apa jua jenis bagi maksud dagangan, perniagaan atau profesion, pengurusan hospital persendirian, rumah rawatan, rumah orang uzur, sanatorium, institusi pelajaran, rumah tumpangan dan penubuhan pejabat; ―perindustrian‖ termasuklah menjalankan sesuatu pengilangan, perekaan, pembaikan, pemasangan atau memproses keluaran pertanian atau proses pengemasan; ―perintah pembangunan‖ ertinya perintah pembangunan yang dikeluarkan di bawah Akta ini yang memberi kebenaran perancangan dengan atau tanpa syarat bagi apa-apa pembangunan yang dinyatakan dalam perintah itu; ―pertanian‖ termasuklah perkebunan, perladangan, bercucuk tanam buah-buahan, tanam-tanaman, sayur-sayuran, atau pokok-pokok, menanam apa-apa tanaman untuk digunakan sebagai makanan ternak, tenusu, membiak dan menyimpan ternak, ikan, atau lebah, dan kegunaan tanah bagi maksud tambahan kepada mana-mana aktiviti tersebut atau bagi mana-mana aktiviti pertanian yang lain tetapi tidak termasuk kegunaan tanah sebagai taman untuk digunakan bersama dengan sesuatu bangunan yang bercantum dengan tanah itu; ―tanah‖ termasuklah― (a) permukaan bumi, dan segala benda yang menjadikan permukaan bumi itu; (b) segala benda di bawah permukaan bumi; (c) segala tumbuhan dan keluaran semulajadi lain, sama ada memerlukan kegunaan buruh secara berkala atau tidak untuk mengeluarkannya, dan sama ada di atas atau di bawah permukaan bumi; (d) segala benda, sama ada di atas atau di bawah permukaan bumi, yang bercantum kepada bumi atau yang terpasang secara kekal pada sesuatu benda yang tercantum dengan bumi; (e) tanah yang dilitupi air; dan (f) apa-apa harta atau kepentingan mengenai tanah atau hak ke atas tanah; ―tanah lapang‖ ertinya sesuatu tanah sama ada dikepung atau tidak yang dikhaskan (atau dirizab untuk dikhaskan) keseluruhannya atau sebahagiannya sebagai suatu taman, taman bunga awam, padang sukan dan padang rekreasi awam atau tempat makan angin awam, atau tempat jalan kaki awam, atau sebagai suatu tempat awam; ―tempat awam‖ termasuklah sesuatu tempat, bangunan atau jalan yang terbuka untuk digunakan dan dinikmati oleh orang awam atau yang orang awam boleh atau dibenarkan masuk sama ada dengan bayaran atau selainnya; ―Wilayah Persekutuan‖ ertinya kawasan sebagaimana yang ditunjukkan dalam pelan simpanan yang dikenali melalui rujukan kepada Pelan Warta No. 383.

(2)

Bagi mengelakkan keraguan dalam mentafsirkan bidang sesuatu pertukaran tentang kegunaan tanah bagi maksud Akta ini, maka adalah dengan ini ditetapkan bahawa― (a) kegunaan tanah sebagai suatu tempat untuk membuang sampah sarap atau bahan buangan adalah melibatkan suatu pertukaran tentang kegunaan tanah itu, walaupun tanah itu mengandungi sesuatu tapak yang sudahpun digunakan bagi maksud itu jika keluasan permukaan atau longgokan itu adalah dengan itu bertambah; (b) apa-apa kegunaan tanah atau kegunaan sebahagian daripadanya yang melanggar atau tidak konsisten atau berlawanan dengan mana-mana peruntukan pelan pembangunan adalah melibatkan suatu pertukaran tentang kegunaan tanah itu.

(3)

Bagi mengelakkan keraguan dalam mentafsirkan bidang sesuatu pertukaran tentang kegunaan bangunan bagi maksud Akta ini, maka adalah dengan ini ditetapkan bahawa― (a) apa-apa tambahan pada bilangan unit dalam suatu bangunan lebih daripada bilangan yang diluluskan pada mula-mulanya oleh sesuatu pihak berkuasa yang diberi kuasa di bawah mana-mana undang-undang bertulis untuk memberi kelulusan bagi bangunan itu adalah melibatkan suatu pertukaran tentang kegunaan bangunan itu; (b) kegunaan sesuatu bangunan yang bukan pada mula-mulanya dibina untuk kediaman manusia sebagai rumah tempat tinggal adalah melibatkan suatu pertukaran tentang kegunaan bangunan itu; (c) apa-apa perubahan atau tambahan kepada bahagian bangunan itu (sama ada bahagian itu di sebelah dalam bangunan itu atau bercantum kepada bahagian luar bangunan itu) yang bersempadan dengan sesuatu garisan aturan jalan sebagaimana yang ditetapkan atau ditakrifkan dalam mana-mana undang-undang bertulis berhubungan dengan jalan, perparitan dan bangunan melibatkan suatu pertukaran tentang kegunaan bangunan itu; (d) apa-apa kegunaan sesuatu bangunan atau sebahagian daripadanya yang melanggar atau tidak konsisten atau berlawanan dengan mana-mana peruntukan pelan pembangunan adalah melibatkan suatu pertukaran tentang kegunaan bangunan itu; (e) kegunaan sesuatu bangunan atau sebahagian daripadanya yang pada mula-mulanya dibina sebagai rumah tempat tinggal bagi maksud lain adalah melibatkan suatu pertukaran tentang kegunaan bangunan itu.

Bahagian II

TUGAS DAN KUASA DATUK BANDAR

Dasar perancangan am

3. Menteri hendaklah bertanggungjawab bagi dasar am berkenaan dengan perancangan pembangunan semua tanah dalam Wilayah Persekutuan dan (tertakluk kepada Fasal

(5)

dan (6) Perkara 91 Perlembagaan) kegunaan tanah dan bangunan itu dan bagi maksud itu Menteri boleh memberi arahan secara am atau tertentu yang tidak bertentangan dengan peruntukan Akta ini dan Datuk Bandar hendaklah menguatkuasakan arahan itu.

Lembaga Penasihat Perancangan

4.

(1)

Maka hendaklah ditubuhkan bagi maksud Akta ini suatu badan yang dinamakan Lembaga Penasihat Perancangan Wilayah Persekutuan, yang disebut sebagai ―Lembaga Penasihat‖ dalam Akta ini, untuk menasihati Menteri mengenai― (a) draf pelan struktur; (b) draf pelan tempatan; (c) perisytiharan dan pembatalan kawasan tindakan; (d) perisytiharan kawasan pembangunan; atau (e) perkara lain yang dirujuk dari semasa ke semasa oleh Menteri kepada Lembaga Penasihat.

(2)

Lembaga Penasihat hendaklah terdiri daripada― (a) Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar yang hendaklah menjadi Pengerusi; (b) wakil daripada Jawatankuasa Kerja Tanah yang ditubuhkan di bawah Kanun Tanah Negara [Akta 56 tahun 1965]; (c) Ketua Pengarah Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA); (d) Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Persekutuan; dan (e) tiga orang ahli yang dilantik oleh Menteri.

(3)

Seseorang ahli Lembaga Penasihat yang dilantik di bawah perenggan (2)(e) hendaklah, melainkan jika dia meletakkan jawatannya lebih awal atau pelantikannya ditarik lebih awal, memegang jawatan selama suatu tempoh tidak lebih daripada tiga tahun dan adalah layak dilantik semula.

(4)

Seseorang ahli Lembaga Penasihat boleh dibayar apa-apa elaun yang ditetapkan oleh Menteri dengan persetujuan Menteri Kewangan.

(5)

Tertakluk kepada Akta ini dan mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya, mesyuarat dan tatacara Lembaga Penasihat hendaklah ditetapkan oleh Lembaga Penasihat itu sendiri.

(6)

Seseorang ahli Lembaga Penasihat yang mempunyai suatu kepentingan dalam apa-apa perkara di hadapannya, hendaklah menzahirkan fakta kepentingannya dan jenis kepentingan itu dan penzahiran itu hendaklah direkodkan dan ahli itu tidak boleh mengambil apa-apa bahagian dalam apa-apa prosiding Lembaga Penasihat berkenaan dengan perkara itu.

(7)

Semua ahli Lembaga Penasihat hendaklah disifatkan sebagai pekhidmat awam bagi maksud Kanun Keseksaan [Akta 574].

(8)

Menteri tidak terikat untuk bersetuju dengan pendapat Lembaga Penasihat mengenai apa-apa perkara yang dirujuk kepadanya.

Datuk Bandar menjalankan tugas dan kuasa yang diberikan dan kewajipan yang dikenakan oleh Akta ini

5.

(1)

Datuk Bandar adalah dengan ini dilantik untuk menjalankan segala tugas dan kuasa yang diberi dan melaksanakan kewajipan yang dikenakan ke atasnya oleh Akta ini.

(2)

Pada menjalankan tugas dan kuasa yang diberikan atau pada melaksanakan sesuatu kewajipan yang dikenakan oleh Akta ini, Datuk Bandar tidak tertakluk kepada seksyen 5 Akta Ibu Kota Persekutuan 1960; dan mana-mana peruntukan dalam Akta itu yang menyebut mengenai Lembaga Penasihat Kuala Lumpur yang ditubuhkan di bawah seksyen 5 itu tidak terpakai bagi Datuk Bandar pada menjalankan tugas dan kuasanya dan pada melaksanakan kewajipannya di bawah Akta ini.

(3)

Jika oleh atau di bawah Akta ini Datuk Bandar diberi kuasa untuk menjalankan apa-apa kuasa atau melaksanakan apa-apa kewajipan, dia boleh secara bertulis mewakilkan, tertakluk kepada had dan syarat sebagaimana yang dinyatakan dalam perwakilan bertulis itu, penjalanan kuasa atau pelaksanaan kewajipan itu kepada mana-mana orang yang diperihalkan mengikut nama atau jawatan: Dengan syarat bahawa tiada apa-apa jua dalam subseksyen ini terpakai bagi apa-apa kuasa untuk membuat perundangan subsidiari yang diberi kepada Datuk Bandar oleh atau di bawah Akta ini.

(4)

Jika Datuk Bandar mewakilkan penjalanan apa-apa kuasa atau pelaksanaan apa-apa kewajipan kepada mana-mana orang menurut subseksyen (3), orang yang diwakilkan sedemikian itu hendaklah dalam Akta ini disebut sebagai pegawai yang diberi kuasa.

(5)

Datuk Bandar boleh melantik dengan kelulusan Menteri dan tertakluk kepada terma dan syarat sebagaimana yang dinyatakan dalam surat pelantikan, ejen untuk menjalankan apa-apa urusan atau melakukan apa-apa perbuatan yang dikehendaki dijalankan atau dilakukan dalam melaksanakan tugas, kuasa dan kewajipannya atau bagi melaksanakan maksud Akta ini dengan cara lebih baik; dan ejen yang dilantik sedemikian itu hendaklah dalam Akta ini disebut sebagai ejen yang diberi kuasa.

Tugas Datuk Bandar

6.

(1)

Tertakluk kepada peruntukan Akta ini, tugas Datuk Bandar ialah mengatur, mengawal dan merancang pembangunan semua tanah dalam Wilayah Persekutuan dan kegunaan tanah dan bangunan itu dan melaksanakan apa-apa tugas lain sebagaimana yang diberikan oleh Menteri kepadanya.

(2)

Secara khusus dan tanpa menyentuh keluasan peruntukan di atas, Datuk Bandar boleh, dan hendaklah jika diarahkan oleh Menteri― (a) menyediakan dan melaksanakan pelan pembangunan; (b) mengusahakan, membantu dan menggalakkan pemungutan, penyenggaraan dan penyiaran perangkaan, buletin dan penyiaran lain yang berhubungan dengan perancangan bandar; (c) menyediakan dan mengemukakan laporan berhubungan dengan perjalanan Akta ini; dan (d) melaksanakan apa-apa tugas lain yang menjadi tambahan kepada, bersampingan dengan atau berbangkit daripada apa-apa tugas yang tersebut di atas atau yang mungkin diberikan oleh Menteri.

(3)

Datuk Bandar boleh menjalankan semua kuasa sebagaimana yang perlu atau suai manfaat bagi maksud menjalankan tugasnya di bawah Akta ini.

Bahagian III

PELAN PEMBANGUNAN

Draf pelan struktur, tatacara notis awam dan pendengaran bantahan

7.

(1)

Pada tarikh Akta ini mula berkuat kuasa atau dengan seberapa segera yang boleh selepas itu, Datuk Bandar hendaklah mengemukakan draf pelan struktur yang disediakan olehnya kepada Menteri untuk mendapat kebenaran Menteri supaya disiarkan suatu notis awam dalam Warta dan dalam akhbar tempatan sebagaimana yang ditentukan oleh Datuk Bandar mengenai penyediaan draf pelan struktur bagi Wilayah Persekutuan.

(2)

Notis awam di bawah subseksyen (1) hendaklah mengandungi― (i) butir-butir mengenai tempat atau tempat-tempat di mana salinan draf pelan struktur boleh diperiksa dan di mana salinan itu boleh dibeli dengan membayar fi yang ditetapkan; (ii) pelawaan untuk membuat bantahan secara bertulis menyatakan alasan bantahan itu daripada mana-mana orang berhubungan dengan draf pelan struktur; dan (iii) tempoh dalam mana, tetapi tidak boleh kurang daripada satu bulan dari tarikh notis itu disiarkan, bantahan itu boleh dibuat, dengan syarat bahawa tempoh bantahan boleh dilanjutkan oleh Datuk Bandar jika dia fikirkan perlu.

(3)

Bagi maksud menimbangkan dan melaporkan apa-apa bantahan yang dibuat menurut subseksyen (2) Menteri hendaklah melantik suatu Jawatankuasa yang kemudian dari ini disebut sebagai ―Jawatankuasa‖ yang terdiri tidak kurang daripada tiga orang yang akan dilantik oleh Menteri.

(4)

Jika tiada apa-apa bantahan diterima, Datuk Bandar hendaklah, apabila tamat tempoh membuat bantahan, mengemukakan draf pelan struktur itu kepada Menteri untuk keputusannya menurut seksyen 8.

(5)

Jika sesuatu bantahan diterima, Datuk Bandar hendaklah memberitahu Jawatankuasa yang akan menimbang dan membuat laporan mengenai bantahan itu.

(6)

Pada menimbangkan sesuatu bantahan Jawatankuasa itu hendaklah dengan seberapa segera yang praktik mendengar mana-mana orang yang termasuk wakil Jabatan Kerajaan atau badan berkanun yang telah membuat suatu permintaan untuk didengari semasa memfailkan bantahan itu.

(7)

Selepas Jawatankuasa itu mendengar dan menimbangkan bantahan itu ia hendaklah, dalam masa yang munasabah tetapi tidak lewat daripada enam bulan atau apa-apa tempoh yang dilanjutkan sebagaimana yang dibenarkan oleh Menteri selepas tarikh pendengaran yang akhir, membuat suatu laporan kepada Datuk Bandar dan Datuk Bandar hendaklah menimbangkan laporan Jawatankuasa itu dan boleh membuat apa-apa pindaan kepada draf pelan struktur sebagaimana yang difikirkannya patut dan hendaklah mengemukakan draf pelan struktur itu dengan atau tanpa pindaan berserta dengan laporan Jawatankuasa itu kepada Menteri tidak lewat daripada tiga bulan dari tarikh laporan itu diterima daripada Jawatankuasa atau apa-apa tempoh lanjutan lain sebagaimana yang dibenarkan oleh Menteri.

Kelulusan atau penolakan draf pelan struktur oleh Menteri

8. Dengan seberapa segera yang boleh selepas menerima draf pelan struktur menurut subseksyen 7

(4)

atau (7) Menteri boleh― (i) meluluskannya; atau (ii) meluluskannya dengan apa-apa ubah suaian, sebagaimana yang dia fikirkan perlu; atau (iii) mengembalikannya kepada Datuk Bandar untuk pertimbangan selanjutnya sebelum memberi kelulusannya; atau (iv) menolak pelan itu.

Penyiaran notis awam mengenai draf pelan struktur yang diluluskan

9.

(1)

Selepas sahaja draf pelan struktur diluluskan oleh Menteri, Datuk Bandar hendaklah menyiarkan suatu notis awam dalam Warta dan dalam mana-mana akhbar tempatan sebagaimana ditentukan oleh Datuk Bandar mengenai kelulusan draf pelan struktur itu dengan atau tanpa pindaan atau ubah suaian dan tempat atau tempat-tempat di mana salinan pelan itu boleh diperiksa dan di mana salinan itu boleh dibeli dengan membayar fi yang ditetapkan.

(2)

Dari tarikh penyiaran notis awam dalam Warta di bawah seksyen ini, pelan struktur itu sebagaimana disiarkan hendaklah mula berkuat kuasa.

Perubahan, penambahan, penyemakan atau penggantian pelan struktur

10.

(1)

Pada bila-bila masa selepas suatu pelan struktur bagi Wilayah Persekutuan mula berkuat kuasa, Datuk Bandar boleh mengemukakan kepada Menteri dan hendaklah, jika diarahkan sedemikian oleh Menteri, mengemukakan kepadanya dalam tempoh yang ditetapkan dalam arahan itu, cadangan bagi perubahan, penambahan, penyemakan atau penggantian bagi keseluruhan atau sebahagian daripada pelan itu sebagaimana yang difikirkan suai manfaat oleh Datuk Bandar atau sebagaimana yang diarahkan oleh Menteri, mengikut mana-mana yang berkenaan.

(2)

Bagi maksud membuat cadangan untuk menjalankan apa-apa perubahan, penambahan, penyemakan atau penggantian bagi keseluruhan atau sebahagian daripada pelan struktur, Datuk Bandar boleh mengikut kehendaknya sendiri dan hendaklah, jika diarahkan sedemikian oleh Menteri, memulakan suatu kajian sebagaimana yang perlu untuk memeriksa perkara yang dijangka mungkin menjejaskan pembangunan atau perancangan yang sesuai bagi pembangunan Wilayah Persekutuan.

(3)

Tanpa menyentuh keluasan am subseksyen (1) dan (2) perkara yang hendak dikaji adalah termasuk― (a) ciri-ciri utama fizikal, ekonomi, persekitaran, dan sosial yang termasuk kegunaan utama tanah Wilayah Persekutuan, dan setakat mana ciri-ciri utama itu dijangka akan memberi kesan kepada Wilayah Persekutuan dan kawasan yang berhampiran; (b) saiz, komposisi dan taburan penduduk Wilayah Persekutuan sama ada menetap atau tidak; (c) tanpa menyentuh perenggan (a), perhubungan, sistem pengangkutan, dan lalu lintas Wilayah Persekutuan, dan setakat mana ia dijangka akan memberi kesan kepada Wilayah Persekutuan dan kawasan yang berhampiran; (d) apa-apa perkara yang tidak disebut dalam mana-mana perenggan terdahulu yang dijangka akan memberi kesan kepada apa-apa perkara yang disebut; (e) perkara lain yang ditetapkan atau dalam sesuatu kes tertentu sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri; dan (f) apa-apa pertukaran yang telahpun diunjurkan dalam sesuatu perkara yang disebut dalam mana-mana perenggan terdahulu dan kesan yang mungkin timbul disebabkan oleh pertukaran itu ke atas pembangunan, atau perancangan pembangunan Wilayah Persekutuan.

(4)

Pada membuat dasar dan cadangan amnya untuk perubahan, penambahan, penyemakan atau penggantian bagi keseluruhan atau sebahagian daripada pelan struktur, Datuk Bandar hendaklah memberi perhatian kepada dasar semasa berkenaan dengan perancangan dan pembangunan sosial dan ekonomi, perlindungan alam sekitar negara dan wilayah dan perkara lain sebagaimana yang diarahkan oleh Menteri supaya diambil kira.

Kebenaran Menteri dan penyiaran notis

11. Apabila cadangan telah disediakan di bawah seksyen 10 Datuk Bandar hendaklah dengan seberapa segera yang boleh tetapi dalam apa-apa hal tidak lewat daripada masa, jika ada, yang ditetapkan oleh Menteri, mengemukakan kepada Menteri untuk

mendapatkan kebenarannya untuk menyiarkan suatu notis awam mengenai cadangan itu, dan subseksyen 7(2), (3), (4), (5), (6) dan (7) dan seksyen 8 dan 9 hendaklah terpakai, dengan apa-apa ubah suaian yang perlu berhubungan dengan draf pelan struktur.

Perisytiharan dan pembatalan kawasan tindakan

12. Datuk Bandar dengan kelulusan Menteri boleh pada bila-bila masa melalui pemberitahuan dalam Warta dan dalam akhbar tempatan sebagaimana yang ditentukan oleh Datuk Bandar, mengisytiharkan mana-mana kawasan yang tidak ditunjukkan sebagai kawasan tindakan dalam pelan pembangunan sebagai kawasan tindakan atau boleh membatalkan mana-mana kawasan tindakan yang ditunjukkan dalam pelan pembangunan.

Penyediaan draf pelan tempatan

13.

(1)

Datuk Bandar dalam masa menyediakan draf pelan struktur bagi Wilayah Persekutuan atau sebelum Menteri meluluskan atau menolak draf pelan struktur yang telah disediakan oleh Datuk Bandar, boleh, jika difikirkannya wajar, menyediakan draf pelan tempatan bagi mana-mana bahagian kawasan itu.

(2)

Jika pelan struktur bagi Wilayah Persekutuan telah mula berkuat kuasa, Datuk Bandar hendaklah dengan seberapa segera yang praktik menimbangkan, dan kemudian dari itu sentiasa memberi perhatian kepada keperluan menyediakan draf pelan tempatan bagi mana-mana bahagian atau bagi keseluruhan Wilayah Persekutuan dan, jika difikirkannya perlu dan dia belum lagi berbuat demikian, hendaklah menyediakan draf pelan tempatan itu.

(3)

Suatu draf pelan tempatan hendaklah mengandungi suatu peta dan suatu pernyataan bertulis dan hendaklah― (a) menyatakan, dengan secara terperinci sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Datuk Bandar, cadangannya untuk pembangunan dan kegunaan tanah dalam kawasan pelan tempatan, yang termasuk langkah yang difikirkan patut oleh Datuk Bandar untuk pembaikan alam sekitar dari segi fizikal dan membaiki pengangkutan; dan (b) mengandungi apa-apa perkara sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri dalam sesuatu kes tertentu.

(4)

Suatu draf pelan tempatan bagi sesuatu kawasan hendaklah disertakan dengan gambar rajah, gambaran, dan bahan perihalan sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Datuk Bandar bagi maksud menjelaskan atau menerangkan cadangan dalam pelan itu dan gambar rajah, gambaran dan bahan perihalan itu hendaklah disifatkan menjadi sebahagian daripada pelan itu.

(5)

Jika sesuatu kawasan ditunjukkan sebagai suatu kawasan tindakan dalam pelan struktur atau diisytiharkan sebagai kawasan tindakan di bawah seksyen 12, Datuk Bandar hendaklah, dengan seberapa segera yang praktik selepas pelan struktur itu mula berkuat kuasa, menyediakan suatu draf pelan tempatan bagi kawasan itu.

(6)

Pada membuat cadangannya dalam draf pelan tempatan, Datuk Bandar hendaklah memastikan bahawa cadangan itu adalah pada amnya menurut pelan struktur sebagaimana keadaannya pada masa itu, sama ada ia telah berkuat kuasa atau tidak, dan hendaklah memberi perhatian kepada apa-apa maklumat dan pertimbangan lain yang pada fikirannya berkaitan, atau yang boleh ditetapkan atau yang Menteri boleh dalam sesuatu kes tertentu mengarahkannya supaya diambil kira.

Publisiti berkenaan dengan draf pelan tempatan

14. Apabila Datuk Bandar telah menyediakan draf pelan tempatan, dia hendaklah, sebelum menerimanya di bawah seksyen 16 tetapi tidak sebelum pelan struktur mula berkuat kuasa, menyiarkan suatu notis awam dalam Warta dan dalam akhbar tempatan sebagaimana yang ditentukan oleh Datuk Bandar mengenai penyediaan draf pelan tempatan dan subseksyen 7

(2)

hendaklah terpakai dengan apa-apa ubah suaian sebagaimana yang perlu.

Penyiasatan dan pembicaraan berkenaan dengan draf pelan tempatan

15. Datuk Bandar hendaklah dengan seberapa segera yang praktik mendengar mana-mana orang yang termasuk wakil jabatan Kerajaan atau badan berkanun yang telah membuat suatu permintaan untuk didengar semasa memfailkan bantahan atau membuat representasi dan jika hal keadaan memerlukan dia boleh mengadakan penyiasatan tempatan.

Penerimaan draf pelan tempatan

16.

(1)

Selepas tamat tempoh yang diberikan untuk membuat bantahan terhadap atau representasi berkenaan dengan draf pelan tempatan atau, jika bantahan dan representasi itu telah dibuat dengan sewajarnya dalam tempoh itu selepas menimbangkan bantahan atau representasi itu, Datuk Bandar dengan kelulusan Menteri boleh, tertakluk kepada subseksyen (2) menerima pelan itu sama ada sebagaimana disediakan pada mulanya atau sebagaimana diubahsuaikan dengan tujuan untuk mengambil kira bantahan dan representasi itu atau apa-apa perkara yang berbangkit daripadanya, dan dengan itu pelan tersebut hendaklah berkuat kuasa.

(2)

Datuk Bandar hendaklah menyebabkan fakta penerimaannya mengenai suatu draf pelan tempatan disiarkan dalam Warta dan dalam akhbar tempatan sebagaimana yang ditentukan oleh Datuk Bandar, dan tempat atau tempat-tempat di mana salinan pelan itu boleh diperiksa dan di mana salinan itu boleh dibeli dengan membayar fi yang ditetapkan.

Perubahan, pemansuhan dan penggantian pelan tempatan

17.

(1)

Datuk Bandar boleh pada bila-bila masa membuat cadangan untuk mengubah, menambah, menyemak, memansuh atau menggantikan keseluruhan atau sebahagian daripada pelan tempatan itu.

(2)

Tanpa menyentuh subseksyen (1), Datuk Bandar hendaklah jika Menteri memberi arahan bagi maksud itu berkenaan dengan sesuatu pelan tempatan, dengan seberapa segera yang praktik menyediakan cadangan dari jenis yang dinyatakan dalam arahan itu, iaitu cadangan untuk mengubah, menambah, menyemak, memansuh atau menggantikan keseluruhan atau sebahagian daripada pelan tempatan itu.

(3)

Subseksyen 13(6) dan seksyen 14, 15 dan 16 hendaklah terpakai berhubungan dengan membuat cadangan untuk mengubah, menambah, menyemak, memansuh atau menggantikan keseluruhan atau sebahagian daripada pelan tempatan itu.

Penggantungan pelan pembangunan oleh Menteri

18.

(1)

Menteri boleh mengikut kehendaknya sendiri atau atas syor Datuk Bandar dan melalui perintah yang disiarkan dalam Warta dan mana-mana akhbar tempatan sebagaimana yang ditentukan olehnya menggantung pelan pembangunan atau sebahagian daripadanya bagi apa-apa tempoh dan berkenaan dengan kawasan dalam Wilayah Persekutuan sebagaimana yang difikirkan patut oleh Menteri jika dia berpuas hati bahawa dengan memberi perhatian kepada hal keadaan yang istimewa adalah suai manfaat berbuat demikian.

(2)

Jika Menteri membuat sesuatu perintah di bawah subseksyen (1), dia boleh mengadakan peruntukan dalam perintah itu bagi membuat apa-apa penyesuaian atau pengubahsuaian kepada peruntukan Akta ini sebagaimana yang perlu untuk menyelaraskannya dengan penggantungan pelan pembangunan atau mana-mana bahagian daripada pelan itu bagi kawasan yang berkenaan dengannya penggantungan itu berkaitan.

Bahagian IV

KAWALAN PERANCANGAN

Kegunaan tanah dan bangunan

19.

( 1) Tertakluk kepada peruntukan Akta ini tiada seorangpun boleh menggunakan atau membenarkan untuk digunakan sesuatu tanah atau bangunan atau memulakan, mengusahakan atau menjalankan apa-apa pembangunan melainkan menurut pelan pembangunan atau sesuatu kebenaran perancangan yang dibenarkan di bawah Akta ini berkenaan dengan pembangunan itu.

(2)

Walau apa pun peruntukan subseksyen (1), Datuk Bandar boleh membenarkan atas apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang dinyatakan dalam permit itu pelanjutan selama sesuatu tempoh sebagaimana yang dinyatakan dalam permit itu mengenai kegunaan sesuatu tanah atau bangunan bagi maksud dan setakat mana ia telah digunakan sebelum tarikh Akta ini mula berkuat kuasa.

Larangan mengenai pembangunan tanpa kebenaran perancangan

20.

(1)

Tanpa menyentuh subseksyen 19(2), tiada seseorang boleh memulakan, mengusahakan atau menjalankan apa-apa pembangunan tidak kira sama ada pembangunan itu mengikut pelan pembangunan atau tidak melainkan jika― (a) suatu perintah pembangunan yang memberi kebenaran perancangan berkenaan dengan pembangunan itu telah dikeluarkan kepadanya di bawah Akta ini; dan (b) berkenaan dengan sesuatu pembangunan yang peruntukan seksyen 40 terpakai, dia telah mematuhi peruntukan seksyen 41.

(2)

Walau apa pun peruntukan yang terkandung dalam subseksyen (1), tiada kebenaran perancangan akan diperlukan― (a) bagi menjalankan apa-apa kerja yang perlu bagi penyenggaraan, pembaikan atau apa-apa perubahan lain bagi sesuatu bangunan yang menjejaskan hanya bahagian dalam bangunan itu dan yang tidak― (i) melibatkan apa-apa pertukaran tentang kegunaan tanah atau bangunan; (ii) secara material menjejaskan rupa bentuk bahagian luar bangunan; (iii) melibatkan apa-apa tambahan pada ketinggian atau luas lantai bangunan itu; (iv) melibatkan apa-apa tambahan atau perubahan kepada sesuatu bangunan yang menjejaskan atau mungkin menjejaskan perparitan, sistem kebersihan atau keteguhannya; atau (v) melanggar atau tidak konsisten dengan mana-mana peruntukan dalam pelan pembangunan itu; (b) bagi sesuatu kerja kecil atau bagi pembinaan kajang atau sambungan daripada apa-apa bentuk dan bahan sebagaimana yang boleh dikecualikan oleh Datuk Bandar mengikut keputusan dasar; (c) bagi menjalankan oleh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri atau Bandaraya apa-apa kerja yang dikehendaki untuk membuat, menyenggara atau memperbaik sesuatu lebuh raya, jalan atau lebuh awam; (d) bagi menjalankan oleh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri atau Bandaraya atau mana-mana pihak berkuasa yang ditubuhkan oleh undang-undang untuk mengadakan keselesaan untuk menjalankan apa-apa kerja bagi maksud memasang, memeriksa, membaiki atau membaharui mana-mana parit, pembetung, sesalur, paip, kabel atau radas lain termasuk memecah mana-mana jalan atau tanah lain bagi maksud itu; (e) bagi kerja mengorek (termasuk menggali telaga) yang dibuat dalam penjalanan biasa kerja pertanian; (f) bagi membina jalan yang bertujuan untuk memberi jalan masuk ke tanah yang digunakan semata-mata bagi maksud pertanian; (g) bagi kegunaan mana-mana tanah atau bangunan bagi sesuatu tempoh tidak lebih daripada satu bulan atau bagi apa-apa tempoh selanjutnya sebagaimana yang dibenarkan oleh Datuk Bandar bagi maksud― (i) panggung wayang, panggung atau pertunjukan bergerak yang sementara; (ii) taman hiburan, pasar ria atau pameran sementara; atau (iii) istiadat atau apa-apa keramaian sementara mengenai agama, sosial, atau corak lain, dan apa-apa pembangunan yang perlu untuk memberi kesan bagi kegunaan itu; (h) bagi membina atau mendirikan atas mana-mana tanah, bangunan sementara untuk menempatkan pekerja yang terlibat dalam membina atau mendirikan sesuatu bangunan atas tanah itu, yang baginya kebenaran perancangan telah diberi; (i) bagi kegunaan mana-mana tanah atau bangunan dalam perkarangan sesuatu rumah tempat tinggal bagi apa-apa maksud bersampingan untuk menikmati rumah tempat tinggal itu; atau (j) bagi membuat apa-apa pertukaran tentang kegunaan tanah atau bangunan itu sebagaimana yang ditetapkan oleh Datuk Bandar sebagai pertukaran yang baginya tiada kebenaran perancangan diperlukan.

Permohonan untuk kebenaran perancangan

21.

(1)

Sesuatu permohonan untuk kebenaran perancangan berkenaan dengan sesuatu pembangunan hendaklah dibuat kepada Datuk Bandar dan hendaklah dibuat dalam apa-apa bentuk dan mengandungi apa-apa butir-butir dan disertakan dengan apa-apa dokumen, pelan dan fi sebagaimana yang ditetapkan.

(2)

Jika pemohon itu bukan pemunya tanah yang di atasnya pembangunan hendak dijalankan, kebenaran bertulis pemunya tanah itu mengenai pembangunan yang dicadangkan itu hendaklah diperoleh dan dicatitkan atas permohonan itu.

(3)

Jika pembangunan itu melibatkan pendirian sesuatu bangunan, Datuk Bandar boleh memberi arahan bertulis kepada pemohon berkenaan dengan mana-mana daripada perkara berikut― (a) paras tapak dan tinggi bangunan ini dari paras permukaan laut; (b) garisan bidang hadapan dengan bangunan yang berhampiran; (c) tampakan bangunan itu; (d) kelas, reka bentuk, dan rupa bentuk bangunan itu; (e) anjakan bangunan itu ke suatu garisan bangunan; (f) laluan ke tanah yang di atasnya bangunan itu hendak didirikan; dan (g) apa-apa perkara lain yang difikirkan perlu oleh Datuk Bandar bagi maksud perancangan.

(4)

Pemohon yang diberikan suatu arahan bertulis di bawah subseksyen (3) hendaklah jika dikehendaki oleh Datuk Bandar meminda pelan yang dikemukakan bersama dengan permohonannya itu dengan sewajarnya dan mengemukakan semula pelan itu dalam apa-apa tempoh atau tempoh lanjutan sebagaimana yang ditentukan oleh Datuk Bandar.

(5)

Jika pelan itu tidak dikemukakan semula dalam tempoh atau tempoh lanjutan yang ditentukan itu, permohonan untuk kebenaran perancangan hendaklah disifatkan telah ditarik balik tetapi pemohon boleh mengemukakan suatu permohonan baru.

Perintah pembangunan

22.

(1)

Datuk Bandar hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya untuk memberi kebenaran perancangan atau enggan memberi kebenaran perancangan berkenaan dengan sesuatu pembangunan tidak kira sama ada pembangunan itu adalah menurut pelan pembangunan itu atau tidak; dengan syarat penjalanan budi bicara oleh Datuk Bandar di bawah subseksyen ini hendaklah tertakluk kepada peruntukan subseksyen (4) dan seksyen 23.

(2)

Jika Datuk Bandar memutuskan untuk memberi kebenaran perancangan berkenaan dengan sesuatu pembangunan dia boleh mengeluarkan suatu perintah pembangunan― (a) memberi kebenaran perancangan tanpa apa-apa syarat berkenaan dengan pembangunan; (b) memberi kebenaran perancangan tertakluk kepada apa-apa syarat atau syarat-syarat sebagaimana yang difikirkan patut oleh Datuk Bandar berkenaan dengan pembangunan: Dengan syarat bahawa Datuk Bandar tidak boleh mengeluarkan suatu perintah pembangunan di bawah subseksyen ini melainkan jika dia berpuas hati bahawa peruntukan seksyen 41 berhubungan dengan taksiran caj pembangunan telah dipatuhi.

(3)

Tanpa menyentuh keluasan perenggan 2(b), Datuk Bandar boleh mengenakan mana-mana atau kesemua syarat yang berikut― (a) yang bermaksud bahawa perintah pembangunan yang memberi kebenaran perancangan berkenaan dengan apa-apa pertukaran tentang kegunaan tanah atau bangunan hanya bagi sesuatu tempoh terhad dan selepas tamat tempoh itu kegunaan tanah atau bangunan itu sebagaimana yang dibenarkan di bawah perintah pembangunan itu hendaklah terhenti berkuat kuasa dan tanah atau bangunan itu hendaklah berbalik kepada kegunaannya yang asal; dan (b) untuk mengatur ― (i) pembangunan dan kegunaan mana-mana tanah lain yang ada di bawah kawalan pemohon dan bersambungan dengan tanah yang akan diberi kebenaran perancangan untuk pembangunannya; dan (ii) kerja yang boleh dijalankan atas tanah lain itu mengikut cara dan setakat mana Datuk Bandar fikirkan suai manfaat dengan memandangkan kepada pembangunan yang akan diberi kebenaran perancangan itu.

(4)

Pada menguruskan sesuatu permohonan untuk kebenaran perancangan Datuk Bandar hendaklah memberi perhatian kepada apa-apa perkara yang menurut budi bicaranya adalah suai manfaat atau perlu bagi maksud perancangan yang sepatutnya dan berkenaan dengan ini tetapi tanpa menyentuh budi bicara Datuk Bandar untuk menguruskan permohonan itu, Datuk Bandar hendaklah setakat mana yang praktik memberi perhatian― (a) peruntukan pelan pembangunan dan jika pelan tempatan belum diterima, Pelan Pembangunan Lengkap; dan (b) apa-apa pertimbangan material yang lain: Dengan syarat bahawa dalam hal keadaan di mana tidak terdapat pelan tempatan bagi sesuatu kawasan dan Datuk Bandar berpuas hati bahawa apa-apa permohonan untuk kebenaran perancangan tidak akan dipertimbangkan demi kepentingan perancangan yang sepatutnya sehingga pelan tempatan bagi kawasan itu disediakan dan diterima di bawah Akta ini maka Datuk Bandar boleh menolak atau menggantung permohonan itu.

(5)

Apabila sesuatu permohonan untuk kebenaran perancangan diterima Datuk Bandar hendaklah dalam apa-apa tempoh sebagaimana yang ditetapkan sama ada membenarkan atau menolak permohonan itu dan jika permohonan itu dibenarkan tertakluk kepada syarat atau ditolak, Datuk Bandar hendaklah memberi sebab secara bertulis mengenai keputusannya itu.

(6)

Jika sesuatu perintah pembangunan diberi sama ada dengan syarat atau tanpa syarat, ia hendaklah disampaikan kepada pemohon dalam borang yang ditetapkan.

Rayuan terhadap keputusan Datuk Bandar

23.

(1)

Sesuatu rayuan terhadap keputusan yang dibuat oleh Datuk Bandar di bawah subseksyen 22(1) atau (2) boleh dibuat kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh satu bulan dari tarikh keputusan itu disampaikan kepadanya, oleh seseorang pemohon yang terkilan dengan keputusan Datuk Bandar menolak permohonannya untuk kebenaran perancangan atau seseorang yang terkilan dengan apa-apa syarat yang dikenakan oleh Datuk Bandar dalam memberikan kebenaran perancangan berkenaan dengan permohonannya.

(2)

Pada menimbangkan sesuatu rayuan Lembaga Rayuan hendaklah mendengar perayu dan Datuk Bandar.

(3)

Selepas mendengar rayuan itu, Lembaga Rayuan boleh membuat suatu perintah― (a) mengesahkan keputusan Datuk Bandar dan menolak rayuan itu; atau (b) membenarkan rayuan itu dengan mengarahkan Datuk Bandar memberi kebenaran perancangan tertakluk kepada apa-apa syarat sebagaimana yang difikirkan patut oleh Lembaga Rayuan; atau (c) membenarkan rayuan dengan mengarahkan Datuk Bandar supaya memotong atau mengubah suai apa-apa syarat yang dikenakan pada memberikan kebenaran perancangan atau supaya menggantikan syarat itu dengan apa-apa syarat lain sebagaimana yang difikirkan patut oleh Lembaga Rayuan.

Luputnya perintah pembangunan

24.

(1)

Sesuatu perintah pembangunan yang dikeluarkan di bawah Akta ini hendaklah sah selama dua belas bulan dari tarikh ia dikeluarkan melainkan jika dilanjutkan dan dalam tempoh itu pembangunan hendaklah dimulakan mengikut cara yang dinyatakan dalam perintah itu atau pelan bangunan berkenaan dengan pembangunan itu hendaklah dikemukakan mengikut mana-mana undang-undang berhubung dengan pendirian bangunan: Dengan syarat bahawa subseksyen ini tidak terpakai berkenaan dengan sesuatu perintah pembangunan yang menyebut dengan nyata di dalamnya bahawa kebenaran perancangan yang diberi itu tidak melibatkan apa-apa kerja bangunan.

(2)

Apabila sesuatu permohonan dibuat bagi maksud itu mengikut cara yang ditetapkan sebelum tamat tempoh yang disebut dalam subseksyen (1) Datuk Bandar boleh, apabila pemohon membayar fi yang ditetapkan, memberi apa-apa pelanjutan atau pelanjutan-pelanjutan kepada perintah pembangunan itu sebagaimana yang difikirkan patut oleh Datuk Bandar.

(3)

Pada memberikan suatu pelanjutan atau pelanjutan seterusnya bagi sesuatu perintah pembangunan di bawah subseksyen (2), Datuk Bandar boleh mengenakan apa-apa syarat pada perintah pembangunan itu sebagaimana yang difikirkannya patut atau mengubah syarat yang mula-mula dikenakan; dan seksyen 23 hendaklah terpakai dengan apa-apa ubah suaian yang perlu kepada syarat yang dikenakan atau diubah di bawah seksyen ini sebagaimana ia terpakai bagi syarat yang dikenakan di bawah subseksyen 22(2).

Pembatalan dan pengubahsuaian perintah pembangunan, kebenaran dan kelulusan

25.

(1)

Jika Datuk Bandar berpendapat bahawa sesuatu perintah pembangunan yang dikeluarkan di bawah Akta ini atau di bawah Bahagian V Akta (Perancangan) Bandaraya Kuala Lumpur 1973 patut dibatalkan atau diubah suai, Datuk Bandar boleh memerintahkan supaya perintah pembangunan atau kebenaran atau kelulusan itu dibatalkan atau diubah suai setakat mana yang difikirkannya perlu.

(2)

Sesuatu perintah yang membatalkan perintah pembangunan atau kebenaran perancangan atau kelulusan pelan bangunan hendaklah menyatakan tempoh dalam mana seseorang yang diberi kebenaran atau kelulusan itu dikehendaki merobohkan sesuatu bangunan yang didirikan menurut kebenaran atau kelulusan itu dan amaun maksimum yang Datuk Bandar sedia membayar balik kepada orang itu berkenaan dengan kos yang ditanggung olehnya dalam menjalankan perobohan itu.

(3)

Jika, dalam tempoh yang dinyatakan dalam perintah pembatalan atau dalam tempoh yang lebih lanjut sebagaimana yang dibenarkan oleh Datuk Bandar, perobohan belum dijalankan atau diselesaikan, Datuk Bandar sendiri dan dengan perbelanjaannya sendiri menjalankan atau menyelesaikan perobohan itu.

(4)

Jika perobohan telah diselesaikan oleh orang yang diberikan perintah pembangunan atau kebenaran perancangan atau kelulusan pelan bangunan telah dikeluarkan, Datuk Bandar hendaklah membayar balik kepada orang itu kos sebenar dan munasabah yang ditanggung olehnya pada menjalankan perobohan itu, tetapi tidak lebih daripada amaun yang dinyatakan dalam perintah pembatalan itu.

(5)

Jika perobohan telah dijalankan separuh oleh orang yang diberikan perintah pembangunan atau kebenaran perancangan atau kelulusan pelan bangunan yang dikeluarkan tetapi diselesaikan oleh Datuk Bandar, Datuk Bandar hendaklah mentaksirkan amaun kos keseluruhannya perobohan itu sekiranya perobohan itu dijalankan oleh Datuk Bandar, dan menentukan amaun kos sebenar dan munasabah yang ditanggung oleh Datuk Bandar dalam menyelesaikan perobohan itu dan hendaklah membayar kepada orang itu mengikut pembayaran balik perbezaan kos antara kedua-dua amaun itu atau kos sebenar dan munasabah yang ditanggung oleh orang itu bagi bahagian perobohan yang dijalankannya, iaitu yang lebih rendah amaunnya, walau bagaimanapun Datuk Bandar tidak terikat untuk membayar sesuatu amaun yang lebih daripada amaun yang dinyatakan dalam perintah pembatalan.

(6)

Jika sesuatu perintah pembangunan atau kebenaran perancangan atau kelulusan sesuatu pelan bangunan dibatalkan di bawah subseksyen (1) dan orang yang diberikan perintah, kebenaran atau kelulusan itu menuntut daripada Datuk Bandar dalam tempoh dan mengikut cara yang ditetapkan, pampasan bagi apa-apa perbelanjaan yang ditanggung olehnya pada menjalankan kerja untuk melaksanakan kebenaran atau kelulusan itu sebelum ia dibatalkan atau diubah suai, Datuk Bandar hendaklah, selepas memberi orang itu peluang yang munasabah untuk didengar, menawarkan kepadanya sesuatu pampasan sebagaimana yang Datuk Bandar fikirkan memadai.

(7)

Jika sesuatu perintah pembangunan atau kebenaran perancangan atau kelulusan sesuatu pelan bangunan diubah suai di bawah subseksyen (1), Datuk Bandar hendaklah membayar balik kepada orang yang diberi perintah, kebenaran atau kelulusan itu kos yang sebenar dan munasabah yang ditanggung olehnya pada melaksanakan ubah suaian itu, sebagai kos yang tidak akan ditanggung olehnya jika ubah suaian itu tidak dijalankan, dan hendaklah memberi pampasan kepadanya bagi apa-apa kerugian akibat ubah suaian itu.

(8)

Jika mana-mana orang terkilan dengan amaun sesuatu pembayaran balik atau pampasan yang ditawarkan atau dibayar kepadanya di bawah seksyen ini, dia boleh dalam tempoh dan mengikut cara yang ditetapkan, merayu kepada Lembaga Rayuan dan Lembaga Rayuan hendaklah mentaksirkan amaun pembayaran balik atau pampasan yang hendak dibayar.

Kesalahan berhubung dengan pembangunan yang tidak dibenarkan

26.

(1)

Seseorang yang sama ada mengikut kehendaknya sendiri atau mengikut kehendak seseorang lain― (a) memulakan, mengusahakan atau menjalankan pembangunan yang melanggar subseksyen 19(1) atau menggunakan atau membenarkan untuk digunakan sesuatu tanah yang melanggar seksyen itu; (b) memulakan, mengusahakan atau menjalankan pembangunan yang melanggar subseksyen 20(1); (c) memulakan, mengusahakan atau menjalankan pembangunan yang melanggar apa-apa syarat yang dinyatakan dalam perintah pembangunan yang memberi kebenaran perancangan berkenaan dengan pembangunan tersebut; (d) memulakan, mengusahakan atau menjalankan apa-apa pembangunan jika perintah pembangunan berkenaan dengan pembangunan itu habis tempoh di bawah seksyen 24; (e) memulakan, mengusahakan atau menjalankan apa-apa pembangunan jika perintah pembangunan atau kebenaran atau kelulusan bagi pelan pembangunan itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, berkenaan dengan pembangunan itu telah dibatalkan menurut seksyen 25 atau subseksyen 41(2); atau (f) memulakan, mengusahakan atau menjalankan pembangunan jika perintah pembangunan atau kebenaran atau kelulusan bagi pelan pembangunan, mengikut mana-mana yang berkenaan, berkenaan dengan pembangunan itu telah diubah suai menurut seksyen 25 yang mengakibatkan pembangunan yang dimulakan, diusahakan atau dijalankan sedemikian oleh orang itu tidak konsisten dengan perintah pembangunan atau kebenaran atau kelulusan yang diubah suai itu, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi daripada lima puluh ribu ringgit dan dalam hal kesalahan yang berterusan denda tambahan sehingga lima ratus ringgit bagi tiap-tiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas disabitkan kerana melakukan kesalahan pertama itu.

(2)

Pemunya tanah yang berkenaan dengannya apa-apa perbuatan yang menjadi suatu kesalahan di bawah subseksyen (1) dilakukan hendaklah disifatkan telah membenarkan perbuatan itu dan dia hendaklah bertanggungan atas kesalahan yang sama dan dikenakan penalti yang sama.

(3)

Jika penggunaan tanah atau bangunan dibenarkan oleh Datuk Bandar untuk diteruskan menurut subseksyen 19(2), seseorang yang meneruskan kegunaan itu pada atau selepas tamat tempoh yang dinyatakan dalam permit yang membenarkan kegunaan itu atau yang meneruskan kegunaan itu yang melanggar apa-apa terma atau syarat yang di bawahnya penggunaan itu dibenarkan, melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi daripada dua puluh lima ribu ringgit dan dalam hal kesalahan yang berterusan denda tambahan sehingga lima ratus ringgit bagi tiap- tiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas disabitkan kerana melakukan kesalahan pertama itu.

Notis penguatkuasaan berhubung dengan pembangunan yang dijalankan yang melanggar undang-undang

27. Jika Datuk Bandar berpendapat bahawa sesuatu pembangunan atau kegunaan tanah atau bangunan telah diusahakan atau dijalankan atau sedang dijalankan dan belum diselesaikan yang melanggar seksyen 26, Datuk Bandar boleh pada bila-bila masa menyampaikan kepada pemunya tanah dan penduduk yang berkenaan dengannya suatu notis penguatkuasaan yang menghendaki mana-mana atau kedua-duanya dalam tempoh sebagaimana yang dinyatakan di dalamnya supaya mematuhi kehendak notis penguatkuasaan itu:

Dengan syarat bahawa tiada apa jua dalam seksyen ini boleh ditafsirkan sebagai menghalang pendakwaan terhadap mana-mana orang kerana sesuatu kesalahan di bawah Akta ini.

Kesan notis penguatkuasaan yang disampaikan menurut seksyen 27

28.

(1)

Seseorang yang kepadanya notis penguatkuasaan menurut seksyen 27 telah disampaikan dan terkilan dengan notis itu boleh dalam tempoh dan mengikut cara yang ditetapkan memohon kebenaran perancangan berkenaan dengan pembangunan atau bagi mengekalkan di atas tanah itu apa-apa bangunan atau kerja atau bagi meneruskan penggunaan tanah itu, berkenaan dengan notis penguatkuasaan itu.

(2)

Jika sesuatu permohonan untuk kebenaran perancangan dibuat di bawah subseksyen (1) Datuk Bandar hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya untuk menentukan sama ada hendak menggantungkan notis penguatkuasaan itu atau terus mengambil tindakan mengikut kehendak notis itu. (i) Seksyen 21 hendaklah terpakai bagi sesuatu permohonan untuk kebenaran perancangan di bawah seksyen ini dengan syarat bahawa sebagai tambahan kepada apa-apa fi yang dikehendaki supaya dibayar di bawah seksyen 21 suatu denda tambahan sebagaimana yang diperuntukkan hendaklah dibayar bagi sesuatu permohonan yang dibuat di bawah seksyen ini; (ii) Datuk Bandar hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya untuk memberi kebenaran perancangan atau enggan untuk memberi kebenaran perancangan berkenaan dengan sesuatu permohonan yang dibuat di bawah seksyen ini; dan peruntukan subseksyen 22(2) hingga (6) hendaklah terpakai bagi sesuatu permohonan yang dibuat di bawah seksyen ini; (iii) Jika kebenaran perancangan diberikan berkenaan dengan sesuatu permohonan, notis penguatkuasaan tidak boleh berkuat kuasa atau jika kebenaran perancangan diberikan hanya untuk mengekalkan beberapa bangunan atau kerja atau hanya untuk meneruskan penggunaan hanya sebahagian daripada tanah itu, notis penguatkuasaan tidak boleh berkuat kuasa terhadap bangunan atau kerja atau bahagian tanah itu, tetapi hendaklah berkuat kuasa penuh terhadap bangunan lain, kerja lain atau bahagian lain tanah itu.

Penalti kerana tidak mematuhi notis penguatkuasaan yang disampaikan menurut seksyen 27

29.

(1)

Tanpa menyentuh subseksyen (4), jika dalam tempoh yang dinyatakan dalam notis penguatkuasaan yang disampaikan menurut seksyen 27 atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, dalam apa- apa tempoh sebagaimana yang dinyatakan oleh Datuk Bandar selepas penarikan balik atau penolakan permohonan untuk kebenaran perancangan yang dibuat berkenaan dengannya, notis penguatkuasaan atau setakat mana ia terus berkuat kuasa tidak dipatuhi, Datuk Bandar atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa boleh memasuki dengan atau tanpa pekerja tanah itu dan mengambil langkah yang perlu untuk melaksanakan notis penguatkuasaan termasuk perobohan atau perubahan mana-mana bangunan atau kerja atau memindahkan apa- apa barang, kenderaan atau benda daripada mana-mana bangunan atau tanah.

(2)

Datuk Bandar boleh meminta pegawai penjaga polis daerah di mana tindakan hendak diambil supaya mengadakan pegawai polis untuk memberi bantuan kepada pegawai yang diberi kuasa mengambil apa-apa tindakan menurut kuasa subseksyen (1) dan adalah menjadi tanggungjawab pegawai penjaga polis daerah untuk mematuhi permintaan supaya mengadakan pegawai polis untuk memberi bantuan tersebut.

(3)

Jika Datuk Bandar menjalankan kuasa di bawah subseksyen (1), dia boleh mendapat semula perbelanjaan dan kos yang ditanggung olehnya daripada pemunya tanah mengikut cara yang sama seperti suatu tindakan untuk mendapatkan semula kadar di bawah mana- mana undang-undang bertulis berhubung dengan kerajaan tempatan.

(4)

Mana-mana orang yang tidak mematuhi apa-apa kehendak notis penguatkuasaan yang disampaikan menurut seksyen 27 dalam apa-apa tempoh sebagaimana yang dinyatakan dalamnya atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, dalam apa-apa tempoh yang dinyatakan oleh Datuk Bandar selepas penarikan balik atau penolakan permohonan kebenaran perancangan yang dibuat berkenaan dengannya melakukan suatu kesalahan dan boleh apabila disabitkan didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit dan dalam hal kesalahan yang berterusan, denda tambahan sehingga lima ratus ringgit bagi tiap-tiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas disabitkan kerana melakukan kesalahan pertama itu.

Notis permintaan

30.

(1)

Tanpa menyentuh seksyen 27, jika Datuk Bandar berpuas hati― (a) bahawa apa-apa penggunaan tanah patut dihentikan; atau (b) bahawa syarat patut dikenakan atas kegunaan tanah yang berterusan; atau bahawa mana-mana bangunan atau kerja atas mana-mana tanah patut diubah atau dipindahkan, Datuk Bandar boleh, melalui notis yang disebut ―notis permintaan‖ dalam Akta ini yang disampaikan kepada pemunya tanah itu― (i) meminta dihentikan penggunaan itu; atau (ii) mengenakan apa-apa syarat bagi penggunaan tanah itu yang berterusan sebagaimana yang dinyatakan dalam notis permintaan; atau (iii) meminta supaya langkah sebagaimana yang dinyatakan dalam notis permintaan itu diambil untuk mengubah atau memindahkan bangunan atau kerja, mengikut mana-mana yang berkenaan, dan pemunya hendaklah, dalam apa-apa tempoh sebagaimana yang dinyatakan dalam notis permintaan itu, tidak kurang daripada satu bulan dari tarikh notis itu disampaikan, mematuhi permintaan atau syarat itu.

(2)

Seseorang yang terkilan dengan notis permintaan itu boleh, dalam tempoh yang dinyatakan di dalamnya dan mengikut cara yang ditetapkan, merayu kepada Lembaga Rayuan.

(3)

Jika sesuatu rayuan difailkan di bawah subseksyen (2), notis permintaan hendaklah digantung sehingga rayuan itu diputuskan atau ditarik balik.

(4)

Pada menimbangkan sesuatu rayuan di bawah subseksyen (2), Lembaga Rayuan hendaklah mendengar perayu dan Datuk Bandar.

(5)

Jika pemunya tanah yang dimaksudkan oleh notis permintaan itu telah, kerana mematuhi notis itu, menanggung kerugian dalam bentuk susut nilai tanah atau perbelanjaan atau kos yang ditanggung pada menjalankan kerja bagi mematuhi notis itu, dia boleh menuntut daripada Datuk Bandar, dalam tempoh dan mengikut cara yang ditetapkan, pampasan bagi kerugian, perbelanjaan atau kos.

(6)

Jika sesuatu tuntutan dibuat di bawah subseksyen (5), Datuk Bandar hendaklah, selepas memberi kepada orang yang membuat tuntutan suatu peluang untuk didengar, menawarkan kepadanya sesuatu pampasan yang Datuk Bandar fikirkan memadai.

(7)

Jika seseorang yang kepadanya pampasan ditawarkan di bawah subseksyen (6) terkilan dengan amaun itu, dia boleh, dalam tempoh dan mengikut cara yang ditetapkan, merayu kepada Lembaga Rayuan dan Lembaga Rayuan hendaklah mentaksirkan amaun pampasan yang hendak dibayar.

(8)

Seseorang yang tidak mematuhi sesuatu notis permintaan yang disampaikan kepadanya di bawah subseksyen (1) dalam tempoh yang dinyatakan dalamnya atau, jika sesuatu rayuan dibuat di bawah subseksyen (2), dalam apa-apa tempoh selepas rayuan itu diputuskan atau ditarik balik sebagaimana yang dinyatakan oleh Datuk Bandar melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit dan, dalam hal kesalahan yang berterusan, denda tambahan sehingga lima ratus ringgit bagi tiap- tiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas disabitkan kerana melakukan kesalahan pertama itu.

(9)

Tanpa menyentuh subseksyen (8) jika dalam tempoh yang dinyatakan dalam notis permintaan itu, notis itu tidak dipatuhi, Datuk Bandar atau mana-mana orang yang diberi kuasa sedemikian olehnya, boleh memasuki dengan atau tanpa pekerja tanah itu dan mengambil apa-apa langkah sebagaimana perlu untuk melaksanakan notis permintaan itu termasuk meroboh atau mengubahkan mana-mana bangunan atau kerja atau memindahkan apa-apa barang, kenderaan atau benda daripada mana-mana bangunan atau tanah dan dalam keadaan itu subseksyen 29(2) dan (3) hendaklah terpakai mutatis mutandis.

Bahagian V

PEMELIHARAAN DAN PENANAMAN POKOK

Peruntukan untuk pemeliharaan dan penanaman pokok

31.

(1)

Maka adalah menjadi kewajipan Datuk Bandar apabila sesuai pada masa memberi kebenaran perancangan atau pada bila-bila masa selepas itu untuk mengenakan syarat untuk memelihara atau menanam pokok dan mengadakan tanah lapang.

(2)

Datuk Bandar boleh pada masa memberi kebenaran perancangan dan pada bila-bila masa selepas itu menghendaki pemohon mendeposit atau mendepositkan selanjutnya kepada Datuk Bandar apa-apa amaun sebagaimana yang ditentukan oleh Datuk Bandar untuk memastikan supaya― (a) syarat untuk memelihara atau menanam pokok akan dipatuhi; dan (b) apa-apa tanah lapang dibina mengikut pelan dan penentuan yang diluluskan.

(3)

Amaun yang ditentukan oleh Datuk Bandar hendaklah didepositkan dalam apa-apa tempoh sebagaimana yang dinyatakan oleh Datuk Bandar.

Datuk Bandar boleh menyebabkan pokok ditanam dengan betul

32.

(1)

Jika— (a) syarat bagi memelihara dan menanam pokok tidak dipatuhi; atau (b) tanah lapang tidak dibina mengikut pelan dan penentuan yang diluluskan, dengan memuaskan hati Datuk Bandar dalam sesuatu kes yang deposit telah dibuat di bawah seksyen 31, Datuk Bandar boleh, pada bila-bila masa, selepas menyampaikan notis itu kepada orang yang membuat deposit itu menyebabkan pokok ditanam, atau menjalankan atau menyebabkan dijalankan kerja untuk memastikan supaya tanah lapang dibina mengikut pelan dan penentuan yang diluluskan.

(2)

Kos bagi sesuatu kerja yang hendak dijalankan oleh Datuk Bandar di bawah subseksyen (1) hendaklah didapatkan semula daripada deposit yang dibuat di bawah seksyen 31.

Pembayaran balik deposit apabila kerja selesai

33.

(1)

Jika sesuatu deposit telah dibuat di bawah seksyen 31 dan pokok telah ditanam, atau tanah lapang telah dibina mengikut pelan dan penentuan yang diluluskan, Datuk Bandar boleh, apabila sesuatu permohonan dibuat, membayar balik kepada orang yang membuat deposit itu kesemua atau sebahagian daripada deposit itu.

(2)

Datuk Bandar boleh menahan deposit atau sebahagian daripadanya jika dia berpendapat bahawa— (a) pokok itu tidak ditanam dengan betul; atau (b) tanah lapang tidak dibina dengan betul mengikut pelan dan penentuan yang diluluskan; atau (c) ia dikehendaki bagi sesuatu tempoh penyenggaraan, yang tidak lebih daripada dua belas bulan dari tarikh selesainya kerja itu sebagaimana dinyatakan dalam pelan dan penentuan yang diluluskan.

Pembayaran balik deposit jika kerja bangunan tidak dimulakan

34. Seseorang yang telah membuat deposit di bawah seksyen 31 dan kemudian dari itu tidak meneruskan pelaksanaan kebenaran

perancangan boleh memberitahu Datuk Bandar yang boleh, menurut budi bicaranya, membayar balik deposit itu atau sebahagiannya sebagaimana yang ditentukan olehnya.

Perintah pemeliharaan pokok

35. Jika Datuk Bandar berpendapat bahawa adalah suai manfaat bagi kepentingan keselesaan untuk membuat peruntukan bagi pemeliharaan mana-mana pokok, pokok-pokok atau kelompok pokok dalam Wilayah Persekutuan, dia boleh bagi maksud itu membuat suatu perintah yang dalam Akta ini disebut ―perintah pemeliharaan pokok‖ berkenaan dengan pokok, atau kumpulan pokok sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu, dan khususnya, peruntukan boleh dibuat oleh mana-mana perintah itu―

(a) untuk melarang daripada memotong, memangkas, mencantas atau merosakkan pokok dengan sengaja, kecuali dengan persetujuan Datuk Bandar; dan (b) untuk memastikan penanaman semula mengikut cara sebagaimana yang diarahkan oleh atau di bawah perintah itu: Dengan syarat bahawa seksyen ini tidak terpakai bagi memotong, memangkas, mencantas pokok yang hampir mati atau telah mati atau untuk mengelakkan bencana yang mendesak.

Larangan memotong pokok yang lilitannya melebihi satu meter

36.

(1)

Walau apa pun peruntukan seksyen 35 tiada seorang boleh, tanpa kebenaran secara bertulis daripada Datuk Bandar menebang atau memotong mana-mana pokok yang lilitannya melebihi satu meter yang tumbuh di mana-mana tanah kecuali jika― (a) ia ditebang atau dipotong untuk mengelakkan bencana yang mendesak; atau (b) ia ditebang atau dipotong untuk mematuhi mana-mana undang-undang bertulis.

(2)

Bagi maksud subseksyen (1) lilitan pokok hendaklah diukur setengah meter daripada bumi dengan syarat bahawa lilitan pokok yang berbanir hendaklah diukur di paras atas banir itu.

(3)

Seseorang yang menebang atau memotong pokok yang melanggar subseksyen (1) atau yang dengan sengaja menyebabkan pokok itu mati yang baginya seksyen itu terpakai melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit.

(4)

Dalam mana-mana prosiding bagi sesuatu kesalahan di bawah seksyen ini jika dibuktikan bahawa sesuatu pokok telah ditebang atau dipotong, maka hendaklah dianggap, sehingga dibuktikan sebaliknya bahawa pokok itu telah ditebang atau dipotong oleh penduduk tanah di mana pokok itu tumbuh.

Penggantian pokok

37.

(1)

Jika sesuatu pokok yang berkenaan dengannya sesuatu perintah pemeliharaan pokok adalah pada masa itu berkuat kuasa, diubah atau dibinasakan dan melanggar perintah itu atau diubah atau dibinasakan atau mati, maka adalah menjadi kewajipan pemunya tanah itu, melainkan jika atas permohonannya Datuk Bandar mengecualikan kehendak ini, untuk menanam pokok lain dari saiz dan jenis yang sesuai di tempat yang sama sebagaimana semunasabah yang boleh.

(2)

Kewajipan yang dikenakan oleh subseksyen (1) kepada pemunya tanah hendaklah dikenakan kepada orang yang dari semasa ke semasa adalah pemunya tanah itu dan boleh dikuatkuasakan sebagaimana yang diperuntukkan.

Penalti kerana tidak mematuhi perintah pemeliharaan

38. Jika mana-mana orang yang melanggar perintah pemeliharaan pokok memotong atau dengan sengaja membinasakan pokok atau memangkas atau mencantas pokok dengan apa jua cara yang mungkin membinasakannya, melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit.

Penguatkuasaan kewajipan mengenai perintah pemeliharaan pokok

39. Jika sesuatu perintah pemeliharaan pokok yang menghendaki penggantian pokok atau pokok-pokok tidak dipatuhi, Datuk Bandar boleh terus menggantikan pokok atau pokok-pokok daripada apa-apa saiz dan jenis sebagaimana yang ditetapkan olehnya dan kos serta perbelanjaan yang ditanggung hendaklah dibayar oleh orang yang mungkir atau pemunya.

Bahagian VI

CAJ PEMBANGUNAN

Caj pembangunan dan tanggungannya

40.

(1)

Jika sesuatu pelan tempatan atau sesuatu perubahan sesuatu pelan tempatan melibatkan pertukaran kegunaan, kepadatan, nisbah plot atau luas lantai berkenaan dengan mana-mana tanah dan kerana itu menaikkan nilai tanah itu, suatu caj pembangunan mengikut kadar yang ditetapkan hendaklah dilevi berkenaan dengan apa-apa pembangunan tanah yang dimulakan, diusahakan, atau dijalankan mengikut pertukaran itu.

(2)

Tanpa menyentuh subseksyen (1), suatu caj pembangunan mengikut kadar sebagaimana yang ditetapkan hendaklah juga dilevi oleh Datuk Bandar jika perintah pembangunan yang memberi kebenaran perancangan berkenaan dengan sesuatu pembangunan adalah tertakluk kepada― (a) suatu syarat bahawa pembangunan itu boleh dijalankan hanya jika ruang untuk meletak kereta diperuntukkan mengikut cara dan setakat yang dinyatakan dalam perintah pembangunan itu; dan (b) suatu syarat tambahan bahawa Datuk Bandar boleh menerima pembayaran sesuatu caj pembangunan mengikut kadar yang ditetapkan menggantikan peruntukan bagi ruang untuk meletak kereta.

(3)

Caj pembangunan yang disebut dalam subseksyen (1) dan (2) boleh, menurut budi bicara Datuk Bandar, dilevi terhadap― (a) pemunya tanah yang dimaksudkan oleh caj pembangunan itu; atau (b) orang yang menjalankan pembangunan yang dimaksudkan oleh caj pembangunan itu.

(4)

Datuk Bandar dengan kelulusan Menteri boleh membuat peruntukan melalui kaedah-kaedah mengenai kadar yang akan dicaj, permohonan dan tatacara untuk mentaksir caj pembangunan, pemungutan atau pemulangan caj pembangunan dan pelucuthakan wang yang didepositkan berkenaan dengan caj pembangunan atau pengecualian daripada caj pembangunan.

Penentuan caj pembangunan

41.

(1)

Sebelum memberi kebenaran perancangan bagi apa-apa pembangunan, Datuk Bandar hendaklah menentukan sama ada suatu caj pembangunan kena dibayar berkenaan dengan pembangunan itu dan, jika kena dibayar, kadar amaunnya, dan hendaklah menyampaikan kepada pemohon untuk kebenaran perancangan itu suatu perintah dalam borang yang ditetapkan menuntut pembayaran amaun itu: Dengan syarat bahawa Datuk Bandar boleh membenarkan caj pembangunan itu dibayar secara beransur sebagaimana yang difikirkannya patut bersama dengan bunganya mengikut kadar sebagaimana yang ditetapkan olehnya.

(2)

Walau apa pun peruntukan Akta ini, Datuk Bandar boleh enggan untuk memberi kebenaran perancangan atau boleh membatalkan sesuatu perintah pembangunan yang memberi kebenaran perancangan bagi apa-apa pembangunan pada bila-bila masa jika caj pembangunan atau mana-mana bahagiannya berkenaan dengan pembangunan itu masih belum dibayar; dan seksyen 25 tidak terpakai bagi sesuatu perintah pembangunan yang dibatalkan di bawah subseksyen ini.

(3)

Datuk Bandar boleh pada bila-bila masa mengubah sesuatu perintah yang dikeluarkan di bawah subseksyen (1) jika dia berpuas hati bahawa selepas perintah itu dikeluarkan kepadatan, luas lantai atau nisbah plot yang sebenar adalah berbeza daripada kepadatan, luas lantai atau nisbah plot yang menjadi asas caj pembangunan itu, dan hendaklah menentukan caj pembangunan yang baru dengan sewajarnya dan membuat suatu perintah bagi maksud itu.

(4)

Datuk Bandar hendaklah menyampaikan perintah yang dibuat di bawah subseksyen (3) mengikut cara yang ditetapkan dalam subseksyen (1).

(5)

Datuk Bandar hendaklah― (a) menuntut pembayaran bagi perbezaan amaun caj pembangunan itu jika amaun dalam perintah yang dibuat di bawah subseksyen (3) melebihi amaun yang dinyatakan dalam perintah yang dibuat di bawah subseksyen (1); atau (b) membayar balik perbezaan amaun caj pembangunan itu jika amaun yang dibayar berikutan dengan perintah di bawah subseksyen (1) melebihi amaun yang dinyatakan dalam perintah yang dibuat di bawah subseksyen (3).

Rayuan terhadap taksiran caj pembangunan

42.

(1)

Jika seseorang yang bertanggungan membayar sesuatu caj pembangunan tidak berpuas hati dengan perintah yang dibuat di bawah subseksyen 41(1) atau (3) dia boleh, dalam tempoh dan mengikut cara yang ditetapkan, merayu kepada Lembaga Rayuan.

(2)

Lembaga Rayuan boleh, setelah mendengar Datuk Bandar dan perayu membuat apa-apa perintah sebagaimana yang difikirkannya patut.

Caj pembangunan adalah suatu caj ke atas tanah

43. Jika sesuatu pembangunan dimulakan atau dijalankan tanpa membayar amaun caj pembangunan yang ditentukan di bawah peruntukan Bahagian ini, amaun caj pembangunan itu boleh didapatkan semula mengikut cara yang sama seperti mendapatkan tunggakan kadar di bawah mana-mana undang-undang bertulis berhubungan dengan kerajaan tempatan.

Pembayaran wang ke dalam kumpulan wang

44. Datuk Bandar hendaklah membayar semua wang yang dipungut di bawah Akta ini ke dalam kumpulan wang yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis berhubungan dengan kerajaan tempatan dan walau apa pun peruntukan undang-undang itu berhubungan dengan perbelanjaan wang daripada kumpulan wang itu, Datuk Bandar hendaklah mempunyai kuasa untuk membelanjakan apa-apa wang yang dipungut di bawah Akta ini bagi maksud melaksanakan peruntukan Akta ini:

Dengan syarat bahawa apa-apa wang yang dipungut menurut kuasa subseksyen 40(2) tidak boleh dibelanjakan kecuali bagi maksud mengadakan ruang untuk meletak kereta dalam Bandaraya.

Bahagian VII

LEMBAGA RAYUAN

Lembaga rayuan

45.

(1)

Bagi maksud Akta ini maka hendaklah dilantik suatu Lembaga Rayuan yang terdiri daripada tiga orang ahli, seorang daripadanya hendaklah menjadi Pengerusi, kemudian dari ini disebut ―Pengerusi‖ dalam seksyen ini dan dua orang ahli lain yang akan berkhidmat dalam Lembaga Rayuan menurut subseksyen (5).

(2)

Maka hendaklah juga ada seorang Timbalan Pengerusi Lembaga Rayuan, kemudian dari ini disebut ―Timbalan Pengerusi‖ dalam seksyen ini yang hanya akan berkhidmat dalam Lembaga Rayuan jika Pengerusi tidak dapat menjalankan tugasnya oleh sebab sakit, tidak ada di Malaysia atau atas apa jua sebab lain dan apabila Timbalan Pengerusi berkhidmat dalam Lembaga Rayuan di bawah hal keadaan yang tersebut di atas dia hendaklah menjalankan tugas Pengerusi.

(3)

Pengerusi dan Timbalan Pengerusi adalah orang yang dinamakan oleh Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya, daripada kalangan orang yang menjadi Hakim Mahkamah Tinggi di Malaya tersebut atau orang yang sepuluh tahun terdahulu daripada penamaan itu telah menjadi peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi atau telah menjadi anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan Malaysia.

(4)

Pelantikan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong melalui pemberitahuan dalam Warta daripada kalangan orang yang dinamakan menurut subseksyen (3) dan seseorang yang dilantik itu hendaklah melainkan jika dia terlebih dahulu meletakkan jawatannya atau pelantikannya dibatalkan, memegang jawatan bagi tempoh tidak lebih tiga tahun dan adalah layak dilantik semula.

(5)

(a) Apabila timbul sesuatu keperluan untuk memanggil Lembaga Rayuan untuk bermesyuarat, Pengerusi hendaklah meminta mana-mana dua orang ahli untuk berkhidmat dalam Lembaga Rayuan daripada suatu panel yang dilantik oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta . (b) Pelantikan mana-mana ahli, selain Pengerusi dan Timbalan Pengerusi hendaklah bagi tempoh tiga tahun melainkan jika dia terlebih dahulu meletakkan jawatan atau pelantikannya dibatalkan.

(6)

Yang di-Pertuan Agong boleh membatalkan pelantikan Pengerusi atau Timbalan Pengerusi dan Menteri boleh membatalkan pelantikan ahli lain tanpa memberi sebab.

(7)

Seseorang ahli Lembaga Rayuan yang mempunyai suatu kepentingan dalam apa-apa perkara di hadapan Lembaga Rayuan hendaklah menzahirkan fakta dan jenis kepentingannya itu dan penzahiran itu hendaklah direkodkan dan ahli itu tidak boleh mengambil apa-apa bahagian dalam apa-apa prosiding Lembaga Rayuan berkenaan dengan perkara itu.

(8)

Tiap-tiap keputusan Lembaga Rayuan hendaklah dibuat oleh Pengerusi selepas menimbangkan pendapat dua orang ahli yang lain tetapi pada membuat keputusannya Pengerusi tidak terikat supaya bersetuju dengan pendapat dua orang ahli yang lain itu atau salah seorang daripada mereka dengan syarat bahawa Pengerusi hendaklah merekodkan sebab dia tidak bersetuju dengan pendapat itu.

(9)

Lembaga Rayuan hendaklah, selain semua kuasa yang terkandung di bawah Akta ini mempunyai kuasa untuk memanggil dan memeriksa saksi, menghendaki mana-mana orang itu terikat secara bersumpah untuk menyatakan yang benar, memaksa dikemukakan dan diserahkan apa-apa dokumen yang difikirkannya material bagi prosiding di hadapannya, mengaward kos atau membuat apa-apa perintah berkenaan dengan sesuatu rayuan di hadapannya jika Akta ini tidak mengadakan peruntukan bagi jenis perintah yang hendak dibuat itu.

(10)

Tiap-tiap orang yang disaman oleh Lembaga Rayuan supaya menghadiri prosidingnya adalah terikat di sisi undang-undang untuk hadir di tempat dan pada masa yang dinyatakan dalam saman itu, dan tiap-tiap orang yang dikehendaki oleh Lembaga Rayuan supaya mengemukakan atau menyerahkan apa-apa dokumen kepada Lembaga Rayuan atau kepada mana-mana pekhidmat awam adalah terikat di sisi undang-undang untuk mengemukakan atau menyerahkan dokumen itu.

(11)

Semua saman, notis, award, dan perintah yang dikeluarkan, dibuat atau diberi di bawah tandatangan Pengerusi hendaklah disifatkan telah dikeluarkan, dibuat, atau diberi oleh Lembaga Rayuan.

(12)

Sesuatu perintah yang dibuat oleh Lembaga Rayuan mengenai sesuatu rayuan di hadapannya adalah muktamad, tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah, dan adalah mengikat semua pihak terhadap rayuan itu atau yang terlibat dalam perkara itu.

(13)

Bagi maksud Kanun Keseksaan, Lembaga Rayuan hendaklah disifatkan sebagai suatu mahkamah dan tiap-tiap ahlinya hendaklah disifatkan sebagai seorang pekhidmat awam.

(14)

Menteri boleh membuat kaedah-kaedah untuk menetapkan tatacara rayuan kepada Lembaga Rayuan dan fi yang kena dibayar berkenaan dengannya dan mengatur prosiding Lembaga Rayuan tetapi, sehingga kaedah-kaedah itu dibuat dan berkuat kuasa Lembaga Rayuan hendaklah, bagi maksud prosiding itu, setakat mana yang praktik mengikut Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1980 [P.U. (A) 328/1980].

(15)

Ahli Lembaga Rayuan hendaklah dibayar apa-apa elaun sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri dengan persetujuan Menteri Kewangan.

Bahagian VIII

NOTIS PEMBELIAN DAN PENGAMBILAN TANAH

Notis menghendaki pembelian tanah dalam hal tertentu

46.

(1)

Tanpa menyentuh perjalanan mana-mana undang-undang bertulis yang pada masa itu berkuat kuasa berkenaan dengan pengambilan tanah, tuan punya berdaftar tanah― (a) yang tidak diberi kebenaran perancangan di bawah seksyen 22 untuk memajukan tanahnya atas alasan bahawa tanah itu adalah ditetapkan dalam pelan pembangunan sama ada secara nyata atau tersirat, sebagai tanah yang dicadangkan bagi maksud awam dan yang menuntut bahawa, oleh sebab penolakan itu, tanah itu tidak munasabah boleh digunakan dengan berfaedah; atau (b) yang menuntut bahawa, oleh sebab mematuhi sesuatu notis pengambilan berkenaan dengan tanahnya yang disampaikan kepadanya di bawah seksyen 30, tanah itu tidak munasabah boleh digunakan dengan berfaedah, boleh, mengikut cara yang ditetapkan, menyampaikan kepada Datuk Bandar suatu notis pembelian dalam borang yang ditetapkan, menghendaki supaya kepentingannya mengenai tanah itu dibeli mengikut seksyen ini.

(2)

Maka hendaklah disampaikan bersama notis pembelian suatu pernyataan tentang fakta dan sebab bagi mematutkan tuntutan dalam notis itu, serta salinan apa-apa dokumen yang ada, termasuk affidavit, yang boleh memberi bukti tentang fakta dan sebabnya.

(3)

Datuk Bandar hendaklah menyiasat tuntutan yang dibuat dalam tiap-tiap notis pembelian yang disampaikan di bawah subseksyen (1) dan, jika dia berpuas hati bahawa notis itu adalah dalam borang yang ditetapkan dan telah disediakan dan disampaikan mengikut cara yang ditetapkan, hendaklah menghantar notis itu kepada Menteri bersama-sama dengan pernyataan dan apa-apa dokumen lain yang disampaikan bersama dengan notis itu dan― (a) mengenai sesuatu notis pembelian seseorang yang menuntut di bawah perenggan (1)(a), suatu laporan lengkap berkenaan dengan penolakan kebenaran perancangan yang menyebabkan tuntutan itu timbul, suatu pernyataan tentang maksud tertentu yang dicadangkan untuk tanah itu, dan suatu pernyataan tentang pendapat Datuk Bandar sama ada tanah itu munasabah boleh digunakan dengan berfaedah; dan (b) mengenai sesuatu notis pembelian seseorang yang menuntut di bawah perenggan (1)(b), butir-butir notis permintaan itu yang menyebabkan tuntutan itu timbul dan suatu pernyataan tentang pendapat Datuk Bandar sama ada tanah itu munasabah boleh digunakan dengan berfaedah.

(4)

Jika Datuk Bandar tidak berpuas hati bahawa notis pembelian itu adalah dalam borang yang ditetapkan atau disediakan atau disampaikan mengikut cara yang ditetapkan, dia hendaklah menolak notis pembelian itu, tetapi tanpa menyentuh penyampaian suatu notis pembelian yang lain.

(5)

Menteri, selepas menimbangkan notis pembelian itu dan semua perkara lain yang dihantar oleh Datuk Bandar di bawah subseksyen (3) hendaklah― (a) jika Menteri berpuas hati bahawa tanah yang dimaksudkan oleh notis pembelian itu adalah munasabah boleh digunakan dengan berfaedah, menolak notis pembelian itu; atau (b) jika Menteri tidak berpuas hati bahawa tanah yang dimaksudkan oleh notis pembelian itu adalah munasabah boleh digunakan dengan berfaedah atau berpuas hati bahawa tanah itu tidak boleh digunakan sedemikian mengarahkan Datuk Bandar untuk memulakan langkah untuk mengambil tanah itu mengikut peruntukan Akta Pengambilan Tanah 1960 [Akta 486].

(6)

Bagi maksud Akta Pengambilan Tanah 1960— (a) mana-mana tanah yang dicadang untuk diambil menurut seksyen ini hendaklah disifatkan sebagai diperlukan oleh Datuk Bandar; dan (b) tanah itu hendaklah disifatkan sebagai diperlukan bagi maksud yang disebut dalam perenggan (3)(b) Akta itu.

Bahagian IX

KAWASAN TINDAKAN DAN KAWASAN PEMBANGUNAN

Penyampaian perintah kawasan tindakan

47.

(1)

Jika sesuatu kawasan telah ditunjukkan sebagai suatu kawasan tindakan atas pelan pembangunan atau telah diisytiharkan sebagai suatu kawasan tindakan di bawah seksyen 12, Datuk Bandar hendaklah, sama ada sebelum atau selepas diterima pakai pelan tempatan bagi kawasan itu menyampaikan suatu perintah kawasan tindakan kepada pemunya tanah yang terlibat dan dengan itu memaklumkan kepada mereka― (i) tarikh bila kawasan yang dinyatakan sebagai suatu kawasan tindakan atas pelan pembangunan atau diisytiharkan sedemikian di bawah seksyen 12; (ii) jenis pembangunan, pembangunan semula atau pembaikan yang dibenarkan atau mungkin dibenarkan sama ada melalui satu-satu lot atau sebagai suatu pembangunan lengkap; (iii) tempoh dalam mana sesuatu pembangunan hendak dimulakan dalam kawasan itu dan jika Datuk Bandar fikirkan adalah perlu, meminta supaya suatu permohonan untuk kebenaran perancangan dibuat dalam sesuatu tempoh yang dinyatakan.

Perisytiharan kawasan tindakan

(2)

Jika dalam tempoh yang dinyatakan dalam perintah kawasan tindakan pemunya atau pemunya-pemunya tidak memohon untuk kebenaran perancangan atau, jika tidak terdapat apa-apa tempoh yang dinyatakan dan pemunya tidak memulakan pembangunan dalam tempoh yang dinyatakan dalam perintah itu, Datuk Bandar boleh dengan kelulusan Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta dan mana-mana akhbar tempatan sebagaimana yang ditentukan oleh Datuk Bandar mengisytiharkan kawasan atau mana-mana bahagian daripadanya sebagai kawasan pembangunan.

(3)

Apabila sesuatu kawasan diisytiharkan sebagai kawasan pembangunan, maka adalah menjadi kewajipan Datuk Bandar untuk mengambil, melalui pembelian atau melalui pengambilan paksa di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960, semua tanah yang diberi hakmilik yang terletak dalam kawasan itu, dan memajukan kawasan itu mengikut pelan tempatan.

Kuat kuasa perisytiharan

48.

(1)

Tiap-tiap perisytiharan di bawah seksyen 47 hendaklah berkuat kuasa sebagai suatu perisytiharan pengambilan yang dicadangkan di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 mengenai semua tanah yang diberi hakmilik yang terletak dalam kawasan yang dimaksudkan oleh perisytiharan itu dan mana-mana daripada tanah itu boleh, jika Datuk Bandar tidak berjaya merundingi pembelian tanah itu atas syarat yang dapat diterima oleh Datuk Bandar, diambil dan dibayar mengikut Akta tersebut.

(2)

Bagi maksud Akta tersebut― (a) mana-mana tanah yang dicadang hendak diambil menurut Bahagian ini hendaklah disifatkan sebagai diperlukan oleh Datuk Bandar; (b) Datuk Bandar hendaklah disifatkan sebagai suatu perbadanan yang mengusahakan suatu kerja yang bersifat kemudahan awam; dan (c) tanah itu hendaklah disifatkan sebagai diperlukan bagi maksud yang disebut dalam perenggan 3(b) Akta itu.

Datuk Bandar boleh menggaji ejen, membuat perkiraan dan menubuhkan perbadanan

49.

(1)

Bagi maksud memajukan sesuatu kawasan pembangunan pada menunaikan kewajipannya di bawah Bahagian ini, Datuk Bandar dengan kelulusan Menteri boleh melantik atau menggaji ejen, dan membuat perkiraan untuk bersama mendapat keuntungan, menyatukan kepentingan, bekerjasama, usaha niaga bersama, atau konsesi bersaling dengan mana-mana orang, syarikat atau badan.

(2)

Datuk Bandar dengan kelulusan Menteri boleh menubuhkan suatu perbadanan dengan apa-apa nama yang difikirkan patut oleh Datuk Bandar, untuk memajukan, menjalankan dan mengawal, mengelola dan menguruskan sesuatu projek, skim atau perusahaan yang telah dirancang atau diusahakan oleh Datuk Bandar pada menunaikan kewajipannya di bawah Bahagian ini untuk memajukan sesuatu kawasan pembangunan.

(3)

Tiap-tiap perintah yang dibuat di bawah subseksyen (2) hendaklah membuat peruntukan berkenaan dengan― (a) maksud dan tujuan perbadanan itu ditubuhkan; (b) keanggotaan perbadanan; (c) kewajipan, kuasa, dan hak perbadanan itu; (d) sistem pengurusan perbadanan; (e) pembiayaan perbadanan; (f) akaun yang hendak disimpan oleh perbadanan dan hal mengauditnya; (g) hubungan antara perbadanan dengan Datuk Bandar dan hak kawalannya ke atas perbadanan; dan (h) meterai perbadanan perbadanan.

Kuasa meminjam wang

50. Datuk Bandar boleh, dengan kelulusan Menteri dan juga Menteri Kewangan atas terma dan syarat sebagaimana yang ditetapkan, meminjam apa-apa jumlah wang sebagaimana yang perlu untuk membiayai pembangunan suatu kawasan pembangunan.

Kuasa melupuskan tanah dan harta

51. Datuk Bandar dengan kelulusan Menteri boleh menjual, menyewakan, atau selainnya menguruskan atau melupuskan mana-mana tanah atau harta dalam sesuatu kawasan pembangunan.

Bahagian IX

PERUNTUKAN PELBAGAI

Kuasa masuk

52.

(1)

Pegawai yang diberi kuasa boleh, dengan atau tanpa penolong atau pekerja, memasuki mana-mana tanah atau bangunan bagi maksud― (a) membuat apa-apa penyiasatan, pemeriksaan, ukuran atau kerja ukur atau mengukur aras tanah atau bangunan itu; (b) menetapkan sempadan dan garisan kerja yang dicadangkan; (c) menandakan apa-apa aras, sempadan dan garisan dengan meletakkan tanda dan menggali parit; (d) memeriksa kerja dalam pembinaan dan menentukan haluan pembetung dan parit; (e) menggali atau mengorek tanih bawah; (f) menentukan sama ada apa-apa pembangunan telah dimulakan, diusahakan atau dijalankan melanggar mana- mana peruntukan Akta ini atau kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya; dan (g) melakukan apa-apa perbuatan lain yang perlu untuk mentadbirkan Akta ini dengan cekap.

(2)

Tiada kemasukan boleh dilakukan― (i) mengenai sesuatu bangunan yang digunakan semata-mata sebagai rumah tempat tinggal atau ke dalam mana-mana bahagian atau taman terkepung yang bercantum dengan bangunan itu, melainkan jika persetujuan telah diperoleh terlebih dahulu daripada penduduknya atau notis bertulis mengenai maksud hendak masuk telah diberi kepada penduduknya sekurang-kurangnya dua puluh empat jam sebelum hendak masuk itu; dan (ii) tanpa memberi perhatian yang sewajarnya setakat yang seimbang dengan keperluan kemasukan itu terhadap kelaziman sosial dan agama penduduk tanah atau bangunan itu.

(3)

Mana-mana orang yang dengan sengaja menghalang kemasukan mana-mana orang yang diberi kuasa atau yang berkuasa di bawah subseksyen (1) untuk memasuki mana-mana tanah atau bangunan atau menyerang orang itu selepas kemasukan itu melakukan suatu kesalahan dan boleh apabila disabitkan didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun.

Penyampaian dokumen

53.

(1)

Semua dokumen yang dikehendaki oleh Akta ini atau oleh mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya untuk disampaikan kepada mana-mana orang hendaklah, kecuali sebagaimana selainnya diperuntukkan dalam Akta ini atau kaedah-kaedah, disifatkan sebagai telah disampaikan dengan sempurna― (a) mengenai dokumen yang hendak disampaikan kepada sesuatu jabatan kerajaan, atau pihak berkuasa keretapi atau tempatan atau sesuatu pihak berkuasa berkanun, syarikat, perbadanan, pertubuhan atau badan lain jika dokumen itu dialamatkan kepada ketua jabatan kerajaan itu, pengurus besar perkhidmatan keretapi, setiausaha atau pegawai utama pihak berkuasa tempatan, pihak berkuasa berkanun, syarikat, perbadanan, pertubuhan atau badan lain di pejabat utama, cawangan, tempatan atau berdaftar, mengikut mana-mana yang berkenaan, dan sama ada― (i) dihantar serah di pejabat itu; atau (ii) dihantar dengan pos berdaftar ke pejabat itu; (b) mengenai dokumen yang hendak disampaikan kepada sesuatu perkongsian, jika dokumen itu dialamatkan kepada perkongsian itu di tempat perniagaan biasanya, dengan mengenalinya mengikut nama atau gelaran di bawah mana perniagaannya dijalankan, dan sama ada― (i) dihantar serah di tempat perniagaan tersebut; atau (ii) dihantar dengan pos berdaftar ke tempat tersebut; (c) dalam mana-mana hal lain, jika dokumen itu dialamatkan kepada orang yang hendak disampaikan dokumen itu dan― (i) diberikan atau diserahkan kepadanya; atau (ii) dihantar dengan pos berdaftar kepada orang itu; atau (iii) jika tidak dapat disampaikan kepadanya sendiri atau dengan pos berdaftar, dokumen itu diberikan atau dihantar kepada ahli keluarganya yang dewasa atau dilekatkan pada bahagian yang mudah dilihat di bahagian tanah atau bangunan yang dimaksudkan oleh dokumen itu.

(2)

Apa-apa dokumen yang dikehendaki atau dibenarkan untuk disampaikan kepada pemunya atau penduduk mana-mana tanah atau bangunan boleh dialamatkan sebagai ―pemunya‖ atau ―penduduk‖, mengikut mana-mana yang berkenaan, mengenai tanah atau bangunan itu (menamakan atau memperihalkan tanah atau bangunan itu) tanpa nama atau perihal yang lain, dan hendaklah disifatkan sebagai disampaikan dengan sempurnanya jika dokumen yang dialamatkan sedemikian dihantar atau diserahkan mengikut perenggan (1)(c).

(3)

Jika sesuatu dokumen itu disampaikan kepada sesuatu perkongsian mengikut seksyen ini, dokumen itu hendaklah disifatkan sebagai disampaikan kepada tiap-tiap seorang pekongsi.

(4)

Jika orang yang dokumen itu hendak disampaikan adalah orang belum dewasa, penyampaian dokumen itu kepada penjaga atau ahli keluarganya yang dewasa hendaklah disifatkan sebagai disampaikan kepada orang belum dewasa itu.

(5)

Sesuatu dokumen yang dihantar dengan pos berdaftar hendaklah disifatkan sebagai disampaikan tujuh hari selepas tarikh pendaftaran.

Pengesahan dokumen

54.

(1)

Tiap-tiap pelan termasuk peta, perintah pembangunan, perintah, permit atau notis termasuk notis penguatkuasaan atau notis permintaan, yang disediakan, dikeluarkan, dibuat atau disampaikan oleh Datuk Bandar di bawah, menurut kuasa atau bagi maksud Akta ini hendaklah disahkan dengan tandatangan Datuk Bandar atau seseorang yang diberi kuasa secara bertulis oleh Datuk Bandar.

(2)

Sesuatu perakuan yang ditandatangani oleh Datuk Bandar memperakui bahawa apa-apa dokumen yang berupa sebagai disediakan, dikeluarkan, dibuat atau disampaikan olehnya telah disediakan, dikeluarkan, dibuat atau disampaikan sedemikian hendaklah menjadi keterangan muktamad mengenai fakta yang diperakui sedemikian itu.

Bukti dokumen

55.

(1)

Tiap-tiap dokumen yang disebut dalam seksyen 54 dan disahkan dan diperakui sewajarnya mengikut cara yang diperihalkan dan tiap-tiap dokumen dalam bentuk resit, permohonan, rekod atau daftar yang dikeluarkan, dibuat atau disenggara di bawah, menurut kuasa atau bagi maksud Akta ini hendaklah jika diperakui sewajarnya oleh Datuk Bandar atau seseorang pegawai yang diberi kuasa yang bagi maksud ini dibenarkan sebagai bukti mengenai kandungan dokumen itu.

(2)

Sesuatu salinan mana-mana dokumen yang disebut dalam subseksyen (1) atau sesuatu cabutan daripadanya, jika diperakui dengan sempurna oleh Datuk Bandar atau seseorang pegawai yang diberi kuasa bagi maksud ini, boleh diterima sebagai keterangan mengenai perkara dan urusan yang dinyatakan di dalamnya dalam hal di mana dan setakat yang sama seperti salinan asal dokumen itu boleh diterima jika dikemukakan bagi membuktikan perkara dan urusan itu.

(3)

Walau apa pun peruntukan mana-mana undang-undang bertulis, dalam mana-mana prosiding di bawah Akta ini, suatu perakuan bagi maksud menentukan tuan punya berdaftar bagi mana-mana tanah, yang berupa sebagai ditandatangani oleh Pendaftar Hakmilik atau Pemungut Hasil Tanah, mengikut mana-mana yang berkenaan, bolehlah melainkan jika dibuktikan sebaliknya, menjadi keterangan mengenai apa-apa fakta yang dinyatakan di dalamnya.

Sekatan terhadap menyaman Datuk Bandar, pegawai yang diberi kuasa dan ejen

56. Datuk Bandar atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa atau ejen tidak boleh dikehendaki dalam mana-mana prosiding undang-undang yang Datuk Bandar bukan satu pihak, mengemukakan apa-apa rekod, daftar atau dokumen yang kandungannya boleh dibuktikan di bawah seksyen 55 dengan suatu salinan yang diperakui, atau hadir sebagai saksi untuk membuktikan perkara dan urusan yang direkodkan di dalamnya, melainkan dengan perintah mahkamah yang dibuat untuk sebab khas.

Pendakwaan

57.

(1)

Datuk Bandar boleh mengarahkan sesuatu pendakwaan bagi sesuatu kesalahan di bawah Akta ini atau mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya dan Datuk Bandar boleh membenarkan secara bertulis untuk menanggung apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi pendakwaan itu.

(2)

Seseorang pegawai yang diberi kuasa atau seseorang pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor boleh menjalankan pendakwaan itu bagi pihak Datuk Bandar.

Pelupusan barang yang dipindah oleh Datuk Bandar

58.

(1)

Apa-apa barang, kereta atau benda yang dipindahkan dari mana-mana bangunan atau tanah oleh Datuk Bandar atau mana- mana pegawai yang diberi kuasa di bawah seksyen 29 hendaklah ditahan atas risiko pemunya atau orang yang menyalahi sehingga perbelanjaan bagi pemindahan dan penahanan dibayar.

(2)

Jika tidak ada tuntutan terhadap barang, kereta atau benda itu maka barang, kereta atau benda itu boleh dijual melalui lelong awam atau, jika pada pendapat Datuk Bandar hal keadaan memerlukan, barang, kereta atau benda itu boleh dijual selainnya atau dilupuskan tanpa dijual.

(3)

Wang yang didapati daripada jualan itu boleh disimpan oleh Datuk Bandar dan digunakan bagi atau terhadap perbelanjaan yang dilakukan dan lebihannya, jika ada, hendaklah dibayar apabila dituntut kepada pemunya barang, kereta atau benda itu.

(4)

Jika lebihan itu tidak dituntut dalam tempoh dua tahun ia hendaklah dibayar ke dalam kumpulan wang Datuk Bandar.

Penalti kerana menggangu tanda

59. Mana-mana orang yang, tanpa kebenaran Datuk Bandar, dengan sengaja memusnahkan, merosakkan, mencemar, mengalih, atau mengganggu secara lain sesuatu tanda yang ditempatkan atau didirikan bagi maksud menunjukkan sesuatu aras atau arah yang perlu untuk menjalankan maksud Akta ini melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan―

(a) boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi daripada satu tahun atau kedua-duanya; dan (b) boleh, selain daripada atau sebagai ganti penalti itu, diperintahkan supaya membayar kepada Datuk Bandar sejumlah wang, yang boleh didapatkan sebagai denda, tidak lebih daripada tiga kali ganda kos bagi memperbaiki atau menempatkan semula tanda itu dan membuat apa-apa kerja ukur yang menjadi perlu oleh sebab perbuatan yang berkenaan dengannya dia disabitkan.

Pekhidmat awam

60. Datuk Bandar dan tiap-tiap pegawai yang diberi kuasa atau ejen di bawah Akta ini hendaklah disifatkan sebagai pekhidmat awam mengikut pengertian Kanun Keseksaan.

Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948

61. Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 [Akta 198], hendaklah terpakai bagi sesuatu tindakan, guaman, pendakwaan atau prosiding terhadap Datuk Bandar, tiap-tiap ahli Lembaga Rayuan atau Jawatankuasa dan tiap-tiap pegawai yang diberi kuasa atau ejen di bawah Akta ini berkenaan dengan apa-apa perbuatan, kecuaian, atau kemungkiran yang dilakukan olehnya atas sifat yang sedemikian.

Ganti rugi dan pengecualian daripada tanggungan, dsb.

62.

(1)

Jika Datuk Bandar, pada menjalankan kuasa yang diberikan di bawah Akta ini telah menanggung perbelanjaan dan kos yang di bawah Akta ini kena dibayar atau boleh dituntut daripada seseorang, maka orang itu hendaklah menanggung rugi dan sentiasa menanggung rugi Datuk Bandar terhadap apa-apa tuntutan, ganti rugi, kerugian atau permintaan yang mungkin dibawa terhadap Datuk Bandar dalam sesuatu tindakan atau prosiding yang terbit daripada dan bersampingan dengan penjalanan kuasa itu.

(2)

Tiada apa-apa perbuatan atau perkara atau benda yang dilakukan oleh Datuk Bandar, ahli Lembaga Rayuan atau Jawatankuasa, dan mana-mana pegawai yang diberi kuasa atau ejen boleh, jika perbuatan, perkara atau benda itu dilakukan bona fide bagi maksud melaksanakan Akta ini, menjadikan mereka sendiri tertakluk kepada apa-apa tindakan, tanggungan, tuntutan atau permintaan.

Pengecualian daripada fi dan caj

63.

(1)

Segala pembangunan yang semata-mata dicadangkan bagi maksud agama, pendidikan, rekreasi, sosial, kebajikan, atau khairat dan bukannya untuk keuntungan wang adalah dikecualikan daripada pembayaran semua caj dan fi di bawah Akta ini.

(2)

Pengecualian di bawah subseksyen (1) tidak terpakai bagi caj pembangunan.

Kuasa untuk membuat kaedah-kaedah

64.

(1)

Datuk Bandar boleh dengan kelulusan Menteri membuat kaedah-kaedah amnya untuk melaksanakan dengan lebih baik peruntukan Akta ini.

(2)

Khususnya dan tanpa menyentuh keluasan kuasa di atas, kaedah-kaedah itu boleh mengadakan peruntukan bagi semua atau mana-mana daripada perkara yang berikut, iaitu― (a) mengawal selia pembangunan tanah berhubungan dengan perancangan yang sepatutnya; (b) kelas kegunaan tanah dan bangunan atau bahagiannya; (c) mengawal kepadatan penduduk, luas lantai, nisbah plot, kawasan plinth, dan kegunaan bangunan atau tanah; (d) mengawal selia ketinggian, reka bentuk, rupa bentuk dan tapak bina bangunan, mengadakan tempat letak kereta, anjakan dan tanah lapang; (e) mengawal jalan masuk ke tanah atau bangunan; (f) melindungi tugu lama dan tanah dan bangunan yang mempunyai kepentingan sejarah atau seni bina; (g) bentuk dan kandungan terperinci pelan struktur dan pelan tempatan, tatacara yang akan diikuti berkenaan dengan menyediakan, mengemukakan, dan meluluskannya, mengikut bentuk dan cara ia akan disiarkan, dan bentuk notis berhubungan dengannya; (h) kelayakan orang yang boleh menyediakan atau mengemukakan pelan bagi maksud Akta ini; (i) mengawal selia dimensi, rupa bentuk dan kedudukan iklan yang boleh dipamerkan, tempat iklan itu boleh dipamerkan, cara bagaimana iklan itu boleh dilekatkan kepada tanah atau bangunan itu, mengeluarkan lesen untuk mempamer iklan itu dan untuk mencegah atau membuang iklan yang tidak dilesenkan; (j) menetapkan apa-apa fi sebagaimana yang dikehendaki untuk dibayar di bawah Akta ini; (k) kadar caj pembangunan dan cara penghitungan caj pembangunan; (l) borang yang permohonan untuk kebenaran perancangan untuk pembangunan boleh dibuat, butir-butir yang perlu diberikan dalam permohonan itu dan dokumen dan pelan yang perlu disertakan dengan permohonan itu; (m) bentuk dan kandungan perintah pemeliharaan pokok; (n) bentuk dan kandungan sesuatu perintah kawasan tindakan; (o) bentuk pendaftaran permohonan dan butir-butir yang akan terkandung dalam daftar itu; (p) cara memfail, dan fi yang kena dibayar bagi, dan tatacara yang akan diikuti bagi, rayuan kepada Lembaga Rayuan; (q) mengawal selia penjalanan rundingan untuk membeli tanah dalam sesuatu kawasan pembangunan dan syarat pembelian itu; (r) mengawal selia pembuatan dan syarat membuat apa-apa perkiraan untuk bersama mendapat keuntungan, menyatukan kepentingan, bekerjasama, usaha niaga bersama, atau konsesi bersaling dengan mana-mana orang, syarikat atau badan di bawah seksyen 49; (s) mendapatkan pelaksanaan yang adil dan saksama terhadap penguatkuasaan seksyen 51; (t) mengadakan peruntukan bagi kesalahan di bawah Akta ini dan mana-mana undang-undang kecil yang boleh dikompaun oleh Datuk Bandar, orang yang boleh mengkompaun, jumlah had wang yang boleh dipungut oleh Datuk Bandar untuk mengkompaun kesalahan itu dan tatacara dan borang yang hendak dipatuhi dalam mengkompaun; dan (u) apa-apa perkara lain bagi melicinkan pelaksanaan pelan pembangunan.

Pemansuhan dan kecualian

65.

(1)

Akta (Perancangan) Bandaraya Kuala Lumpur 1973 [Akta 107] adalah dimansuhkan.

(2)

Walau apa pun pemansuhan undang-undang yang dinyatakan dalam subseksyen (1) yang dalam Akta ini disebut sebagai ―undang-undang yang dimansuhkan‖ ― (a) mana-mana kaedah yang dibuat di bawah undang-undang yang dimansuhkan itu hendaklah setakat mana ia tidak bertentangan dengan peruntukan Akta ini terus berkuat kuasa dan mempunyai kesan yang sama seolah-olah ia telah dibuat di bawah Akta ini; (b) mana-mana perintah, perintah pembangunan, notis, termasuk notis penguatkuasaan dan notis permintaan sesuatu kebenaran perancangan, arahan, pemberitahuan atau permit yang dibuat, diberi, dibenarkan, dikeluarkan, dihantar serah atau disampaikan di bawah, menurut kuasa atau bagi maksud undang-undang yang dimansuhkan dan berkuat kuasa sebelum sahaja tarikh yang ditetapkan hendaklah, tertakluk kepada tempoh sah yang dinyatakan di dalamnya, terus berkuat kuasa dan mempunyai kesan yang sama seolah-olah ia telah dibuat, diberi, dibenarkan, dikeluarkan, dihantar serah atau disampaikan, mengikut mana-mana yang berkenaan, di bawah atau menurut kuasa atau bagi maksud Akta ini: Dengan syarat bahawa seseorang itu boleh dipecat daripada jawatan itu atau pelantikannya dibatalkan atau diubah mengikut peruntukan yang bersamaan dalam Akta ini berhubungan dengannya; (c) mana-mana orang yang dengan sah di sisi undang-undang menjalankan atau memegang sebelum sahaja dari tarikh yang ditetapkan itu apa-apa tugas atau jawatan yang bersamaan dengan yang diberikan oleh Akta ini kepada seseorang ahli Lembaga Rayuan, seorang ahli Jawatankuasa, atau seseorang pegawai yang diberi kuasa atau ejen hendaklah pada tarikh yang ditetapkan itu terus menjalankan apa-apa tugas atau memegang apa-apa jawatan tertakluk kepada terma dan syarat yang di- nyatakan dalam suratcara pelantikannya itu: Dengan syarat bahawa seseorang itu boleh dipecat daripada jawatan itu atau pelantikannya dibatalkan atau diubah mengikut peruntukan yang bersamaan dalam Akta ini berhubungan dengannya.

Akta Perbadanan Pembangunan Bandar 1971

66.

(1)

Walau apa pun seksyen 17 *Akta Perbadanan Pembangunan Bandar 1971 [Akta 46], berhubungan dengan kawasan Wilayah Persekutuan sahaja, jika Menteri yang diperihalkan dalam Akta tersebut mengisytiharkan mana-mana kawasan dalam Wilayah Persekutuan sebagai Kawasan Pembangunan Bandar, melalui pemberitahuan dalam Warta, pengisytiharan tersebut tidak berkuat kuasa dan mempunyai kesan melainkan dengan persetujuan Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan. * CATATAN – Akta Perbadanan Pembangunan Bandar 1971 [Akta 46] telah dimansuhkan oleh Akta Perbadanan Pembangunan Bandar (Pembubaran) 1996 [Akta 547].

(2)

Jika mana-mana kawasan di dalam Wilayah Persekutuan telah diisytiharkan sebagai sedemikian di bawah subseksyen (1), maka tugas dan kuasa yang diberikan di bawah dan kewajipan yang dikenakan oleh Akta ini hendaklah dijalankan dan dilaksanakan oleh Perbadanan Pembangunan Bandar dan Datuk Bandar hendaklah terhenti daripada menjalankan tugas dan kuasa itu dan daripada melaksanakan kewajipan itu.

(4)

Yang di-Pertuan Agong boleh dengan perintah yang disiarkan dalam Warta membuat apa-apa peruntukan sebagaimana yang difikirkan perlu atau suai manfaat bagi maksud menghapuskan apa-apa kesulitan yang disebabkan oleh mula berkuat kuasanya peruntukan seksyen ini dan mana-mana perintah itu boleh dibuat supaya berkuat kuasa daripada mulanya perisytiharan yang disebut dalam subseksyen (1).

UNDANG-UNDANG MALAYSIA Akta 267 AKTA (PERANCANGAN) WILAYAH PERSEKUTUAN 1982

SENARAI PINDAAN Undang-undang yang meminda Tajuk ringkas Berkuat kuasa dari – TIADA –

UNDANG-UNDANG MALAYSIA Akta 267 AKTA (PERANCANGAN) WILAYAH PERSEKUTUAN 1982

SENARAI SEKSYEN YANG DIPINDA Seksyen Tajuk ringkas Berkuat kuasa dari – TIADA –