로고

UNDANG-UNDANG MALAYSIA CETAKAN SEMULA Akta 190

Pertama kali diperbuat … … … 1960 (Akta No. 35 tahun 1960)

Teks ini HANYA TERJEMAHAN oleh Jabatan Peguam Negara bagi Federal Capital Act 1960. Melainkan jika dan sehingga ditetapkan sahih di bawah subseksyen 7(1) Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 [Akta 32], teks ini bukan perundangan. Suatu Akta untuk mengadakan peruntukan bagi kerajaan tempatan Bandaraya Kuala Lumpur dan bagi perkara yang bersampingan dengannya.

SUSUNAN SEKSYEN Seksyen 1. Tajuk ringkas 2. Tafsiran Bahagian I KAWASAN BANDARAYA 3. Kawasan Bandaraya Bahagian II DATUK BANDAR DAN LEMBAGA PENASIHAT 4. Pelantikan Datuk Bandar 5. Datuk Bandar hendaklah menjadi suatu pertubuhan perbadanan 6. Lembaga Penasihat 7. Keanggotaan Lembaga Penasihat 8. Datuk Bandar hendaklah mempengerusikan mesyuarat Lembaga Penasihat 9. Minit 10. Datuk Bandar boleh bertindak berlawanan dengan nasihat Lembaga Penasihat 11. Perlindungan pihak berkuasa awam 12. Kuasa dan kewajipan Datuk Bandar 13. Kuasa Menteri untuk mengeluarkan arahan 14. Laporan tahunan 15. Pegawai undang-undang, dll., yang diberi kuasa untuk hadir bagi pihak Datuk Bandar Bahagian III PERUNTUKAN PERALIHAN Seksyen 16. Undang-undang yang sedia ada, dsb. 17. Perpindahan hakmilik harta, dsb. 18. Kontrak dan prosiding yang sedia ada 19. Penerusan perjanjian perkhidmatan, dsb. 20. Kuasa yang berhubungan dengan Ordinan Perbandaran 21. Pemansuhan

Tajuk ringkas

1. Akta ini bolehlah dinamakan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

Tafsiran

2. Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—

“Bandaraya” ertinya Bandaraya Kuala Lumpur atau, dalam bahasa Inggeris, the City of Kuala Lumpur; “Datuk Bandar” ertinya Datuk Bandar Kuala Lumpur atau, dalam bahasa Inggeris, the Commissioner of the City of Kuala Lumpur, yang dilantik di bawah seksyen 4; dan “Lembaga Penasihat” ertinya Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur atau, dalam bahasa Inggeris, the Advisory Board of the City of Kuala Lumpur, yang ditubuhkan di bawah seksyen 6.

Bahagian I

KAWASAN BANDARAYA

Kawasan Bandaraya

3.

(1)

Mengikut peruntukan Fasal (1) Perkara 154 Perlembagaan, Bandaraya Kuala Lumpur hendaklah menjadi Ibu Kota Persekutuan. *(2) Kawasan Bandaraya Kuala Lumpur hendaklah terdiri daripada kawasan Wilayah Persekutuan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah subseksyen 2(2) Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1973 [Akta A206].

(3)

Yang di-Pertuan Agong boleh, melalui pemberitahuan dalam Warta, dari semasa ke semasa membahagikan Bandaraya kepada daerah atau bahagian kecil lain dan mengecualikan daripada penguatkuasaan Akta ini atau penguatkuasaan mana-mana undang- undang bertulis yang menyentuh Bandaraya, mana-mana tempat atau tempat-tempat dalam sempadan Bandaraya sebagaimana yang dinyatakan dalam pemberitahuan itu.

(4)

Apa-apa pengecualian di bawah subseksyen (3) tidak boleh mengecualikan mana-mana orang yang tinggal dalam mana-mana tempat sedemikian daripada penguatkuasaan mana-mana undang- undang bertulis yang berhubungan dengan kadar atau percukaian.

Bahagian II

DATUK BANDAR DAN LEMBAGA PENASIHAT

Pelantikan Datuk Bandar

4.

(1)

Hal ehwal perbandaran Bandaraya Kuala Lumpur hendaklah ditadbirkan oleh Datuk Bandar Bandaraya Kuala Lumpur.

(2)

Datuk Bandar hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selama tempoh lima tahun atau, jika Yang di-Pertuan Agong dalam mana-mana hal tertentu menentukan sedemikian, selama apa-apa tempoh yang lebih pendek sebagaimana yang ditentukan sedemikian.

(3)

Tertakluk kepada Akta ini, Datuk Bandar hendaklah memegang jawatan atas apa-apa syarat sebagaimana yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong dari semasa ke semasa.

(4)

Jika, pada bila-bila masa Yang di-Pertuan Agong mendapati bahawa pemecatan mana-mana orang yang memegang jawatan Datuk Bandar daripada jawatannya itu adalah perlu bagi kepentingan pentadbiran hal ehwal Bandaraya yang berkesan, dia boleh, tanpa memberikan apa-apa sebab, memecat orang itu daripada jawatan. *CATATAN—Dipinda berbangkit daripada seksyen 8 Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1973 dan Perintah Ibu Kota Persekutuan (Kawasan Bandaraya) 1974 (P.U. (A) 42/1974).

(5)

Yang di-Pertuan Agong boleh dari semasa ke semasa menerima peletakan jawatan Datuk Bandar.

(6)

Jika melalui atau di bawah Akta ini atau mana-mana undang- undang bertulis yang lain, Datuk Bandar diberi kuasa untuk menjalankan apa-apa kuasa atau melaksanakan apa-apa kewajipan, dia boleh melalui surat cara bertulis mewakilkan, tertakluk kepada apa-apa syarat dan sekatan sebagaimana yang ditetapkan dalam surat cara itu, penjalanan kuasa itu atau pelaksanaan kewajipan itu kepada mana-mana orang yang diperihalkan melalui nama atau jawatan: Dengan syarat bahawa tiada apa-apa jua dalam seksyen ini boleh terpakai bagi apa-apa kuasa untuk membuat apa-apa perundangan subsidiari yang memberikan kepadanya oleh atau di bawah Akta ini atau mana-mana undang-undang bertulis yang lain.

(7)

Jika Datuk Bandar adalah dihalang daripada melaksanakan fungsinya, menjalankan kuasanya atau menunaikan kewajipannya kerana sakit, tidak ada atau apa-apa sebab lain, atau jika jawatan Datuk Bandar kosong selama apa-apa tempoh, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, atau mana-mana pegawai awam lain yang diberi kuasa secara bertulis oleh Menteri, hendaklah melaksanakan fungsi, menjalankan kuasa dan menunaikan kewajipan Datuk Bandar itu.

Datuk Bandar hendaklah menjadi suatu pertubuhan perbadanan

5.

(1)

Datuk Bandar hendaklah bagi segala maksud menjadi suatu perbadanan tunggal dengan nama “Datuk Bandar Kuala Lumpur” atau, dalam bahasa Inggeris, “Commissioner of the City of Kuala Lumpur”.

(2)

Datuk Bandar hendaklah mempunyai suatu meterai rasmi yang hendaklah disahkan dengan tandatangan orang yang pada masa ini memegang jawatan Datuk Bandar, atau oleh mana-mana orang lain yang diberi kuasa oleh Datuk Bandar bagi maksud itu.

(3)

Meterai Datuk Bandar hendaklah diberi pengiktirafan rasmi dan kehakiman, dan tiap-tiap dokumen yang berupa sebagai dikeluarkan atau dibuat oleh Datuk Bandar dan dimeteraikan dengan meterai Datuk Bandar, disahkan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah subseksyen (2), hendaklah dalam mana-mana litigasi atau prosiding disifatkan telah dibuat atau dikeluarkan sedemikian tanpa bukti selanjutnya, melainkan jika ditunjukkan sebaliknya.

(4)

Suatu perakuan yang ditandatangani oleh Datuk Bandar yang memperakui bahawa mana-mana surat cara yang berupa sebagai dibuat atau dikeluarkan olehnya telah dibuat atau dikeluarkan sedemikian hendaklah menjadi keterangan muktamad tentang fakta yang diperakui sedemikian.

Lembaga Penasihat

6.

(1)

Suatu badan, yang hendaklah dikenali sebagai “Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur” atau, dalam bahasa Inggeris, “Advisory Board of the City of Kuala Lumpur”, hendaklah ditubuhkan bagi maksud Akta ini untuk menasihati Datuk Bandar tentang apa- apa perkara yang berkaitan dengan pentadbiran Bandaraya sebagaimana yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong, melalui perintah, dan tentang apa-apa soalan yang dirujuk kepada Lembaga Penasihat oleh Menteri atau Datuk Bandar.

(2)

Tertakluk kepada Akta ini dan mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya, mesyuarat dan tatacara Lembaga Penasihat hendaklah ditentukan oleh Lembaga Penasihat.

(3)

Semua anggota Lembaga Penasihat hendaklah disifatkan sebagai pekhidmat awam mengikut pengertian Kanun Keseksaan [Akta 574].

Keanggotaan Lembaga Penasihat

7.

(1)

Lembaga Penasihat hendaklah terdiri daripada orang yang hendaklah dilantik sebagai anggotanya oleh Yang di-Pertuan Agong melalui pemberitahuan dalam Warta. *Dengan syarat bahawa hendaklah dimasukkan di kalangan anggota Lembaga Penasihat yang dilantik sedemikian, dua orang yang dinamakan oleh Raja dalam Mesyuarat Negeri Selangor.

(2)

Yang di-Pertuan Agong boleh, tertakluk kepada Akta ini, melalui peraturan-peraturan mengadakan peruntukan bagi bilangan, jenis, pelantikan, tempoh jawatan, kelayakan, hilang kelayakan, kekananan dan syarat persaraan anggota Lembaga Penasihat, dan bagi mesyuarat dan tatacara Lembaga Penasihat. *CATATAN—Ditambah berbangkit daripada proviso kedua kepada seksyen 8 Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1973 [Akta A206].

Datuk Bandar hendaklah mempengerusikan mesyuarat Lembaga Penasihat

8.

(1)

Datuk Bandar hendaklah, setakat yang dapat dilaksanakan, menghadiri dan mempengerusikan semua mesyuarat Lembaga Penasihat, dan semasa dia tidak hadir, mana-mana anggota Lembaga Penasihat yang dilantik oleh Menteri bagi maksud itu secara bertulis, atau jika mana-mana anggota itu tidak ada, anggota kanan Lembaga Penasihat yang sebenarnya hadir, hendaklah mempengerusikannya.

(2)

Datuk Bandar atau orang lain yang mempengerusikan mana- mana mesyuarat Lembaga Penasihat hendaklah membuang undinya bilamana perlu untuk mengelakkan bilangan undi yang sama banyak, tetapi tidak boleh mengundi dalam apa-apa hal lain.

Minit

9.

(1)

Minit semua perjalanan mesyuarat Lembaga Penasihat hendaklah disimpan.

(2)

Dalam tiap-tiap mesyuarat biasa Lembaga Penasihat, minit mesyuarat sebelumnya hendaklah disahkan, dengan atau tanpa pindaan, mengikut kehendak keadaan, sebelum meneruskan penyegeraan apa-apa urusan lain.

Datuk Bandar boleh bertindak berlawanan dengan nasihat Lembaga Penasihat

10. Datuk Bandar boleh, selepas berunding dengan Menteri, bertindak berlawanan dengan nasihat yang diberikan kepadanya oleh Lembaga Penasihat, jika dalam apa-apa hal yang difikirkannya patut untuk berbuat demikian; tetapi dalam apa-apa hal itu—

(a) dia hendaklah merekodkan dengan sepenuhnya secara bertulis, untuk dimasukkan dalam minit, alasan dan sebab bagi keputusannya; dan (b) adalah berwibawa bagi mana-mana anggota Lembaga Penasihat untuk menghendaki supaya direkodkan dalam minit itu apa-apa nasihat atau pendapat yang mungkin telah diberikannya mengenai soalan yang dipertikaikan, dan alasan baginya.

Perlindungan pihak berkuasa awam

11. Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 [Akta 198], hendaklah terpakai bagi apa-apa tindakan, guaman, pendakwaan atau prosiding terhadap Datuk Bandar atau Lembaga Penasihat atau terhadap mana-mana anggota, pegawai, pekhidmat atau ejen Datuk Bandar berkenaan dengan apa-apa perbuatan, keabaian atau keingkaran yang dibuat atau dilakukan olehnya atas sifat sedemikian.

Kuasa dan kewajipan Datuk Bandar

12.

(1)

Datuk Bandar hendaklah, tertakluk kepada Akta ini, mempunyai dan boleh menjalankan segala kuasa dan melaksanakan segala kewajipan yang diberikan kepada atau yang dipertanggungkan ke atas Anggota Majlis Perbandaran Kuala Lumpur, Yang Dipertua dan mana-mana Anggota Majlis atau pegawainya sebaik sebelum permulaan kuat kuasa Akta ini.

(2)

Tertakluk kepada Akta ini dan mana-mana perintah yang dibuat di bawah subseksyen 16(2), di mana-mana jua dalam mana- mana undang-undang bertulis, surat ikatan, dokumen atau surat cara lain, yang kuat kuasanya belum lagi luput atau dibatalkan sebelum permulaan kuat kuasa Akta ini, terdapat nama Anggota Majlis Perbandaran Kuala Lumpur, undang-undang, surat ikatan, dokumen atau surat cara lain itu hendaklah, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain, dibaca dan ditafsirkan seolah-olah nama itu telah digantikan dengan nama perbadanan Datuk Bandar.

Kuasa Menteri untuk mengeluarkan arahan

13.

(1)

Menteri boleh dari semasa ke semasa memberi Datuk Bandar yang selaras dengan Akta ini, tentang dasar yang hendaklah diikuti pada menjalankan kuasa yang diberikan kepada dan kewajipan yang dipertanggungkan ke atas Datuk Bandar oleh atau di bawah Akta ini berhubung dengan perkara yang ternyata pada menyentuh kepentingan Bandaraya, dan Datuk Bandar hendaklah dengan seberapa segera yang mungkin menguatkuasakan semua arahan itu.

(2)

Datuk Bandar hendaklah memberi Menteri apa-apa penyata, akaun dan maklumat lain berkenaan dengan harta dan aktiviti Datuk Bandar sebagaimana yang dikehendaki oleh Menteri dari semasa ke semasa.

Laporan tahunan

14.

(1)

Datuk Bandar hendaklah, secepat yang dapat dilaksanakan selepas berakhirnya setiap tahun, menyebabkan dibuat dan dihantar kepada Menteri suatu laporan yang memperkatakan secara am aktiviti Datuk Bandar sepanjang tahun yang sebelumnya, dan mengandungi apa-apa maklumat yang berhubungan dengan dasar Datuk Bandar dan hal ehwal Bandaraya sebagaimana yang diarahkan oleh Menteri dari semasa ke semasa.

(2)

Menteri hendaklah menyebabkan suatu salinan tiap-tiap laporan tersebut dibentangkan dalam Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Pegawai undang-undang, dll., yang diberi kuasa untuk hadir bagi pihak Datuk Bandar

15. Peguam Negara, Peguam Cara Negara, dan mana-mana Peguam Persekutuan boleh hadir dan berguam dan melakukan segala perkara lain yang perlu berkenaan dengan apa-apa litigasi atau prosiding dalam mana-mana mahkamah dalam Malaysia berkenaan dengan apa-apa perkara yang menyentuh Datuk Bandar atau hal ehwal Bandaraya.

Bahagian III

PERUNTUKAN PERALIHAN

Undang-undang yang sedia ada, dsb.

16.

(1)

Tertakluk kepada Akta ini, Ordinan Perbandaran Negeri- Negeri Selat [Bab 133] dan Enakmen Lembaga Bandaran Negeri- Negeri Melayu Bersekutu [Bab 137] yang berkuat kuasa berhubung dengan Bandaraya dan mana-mana undang-undang bertulis lain yang menyentuh Bandaraya, dan berkuat kuasa sebaik sebelum permulaan kuat kuasa Akta ini hendaklah, sehingga dipinda atau dibatalkan oleh pihak berkuasa yang mempunyai kuasa untuk berbuat demikian di bawah Perlembagaan atau Akta ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain, terus berkuat kuasa pada dan selepas permulaan kuat kuasa Akta ini dengan apa-apa ubah suaian sebagaimana yang dibuat dalamnya di bawah seksyen ini; dan, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain, sebutan dalamnya— (a) tentang Anggota Majlis Perbandaran Kuala Lumpur atau tentang Yang Dipertua atau tentang mana-mana Anggota Majlisnya hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan tentang Datuk Bandar; (b) tentang Raja, Raja dalam Mesyuarat, Pihak Berkuasa Negeri atau Dewan Undangan Negeri hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan tentang Menteri, mengikut kehendak hal keadaan.

(2)

Yang di-Pertuan Agong boleh, dalam tempoh dua tahun bermula dengan permulaan kuat kuasa Akta ini, melalui perintah meminda, menyesuaikan atau memansuhkan mana-mana undang- undang bertulis yang menyentuh Bandaraya dan yang berkuat kuasa sebaik sebelum permulaan kuat kuasa Akta ini jika dia menganggapnya suai manfaat atau perlu untuk berbuat demikian bagi maksud menyelaraskan undang-undang bertulis itu dengan Akta ini atau untuk menghapuskan apa-apa kesulitan yang berbangkit berkenaan dengan peruntukan peralihan Akta ini.

Perpindahan hakmilik harta, dsb.

17.

(1)

Tertakluk kepada peruntukan seksyen ini dan kepada apa- apa arahan Yang di-Pertuan Agong, segala harta dan aset yang sebaik sebelum permulaan kuat kuasa Akta ini telah terletak hak pada Anggota Majlis Perbandaran Kuala Lumpur atau pada mana- mana orang bagi pihak Anggota Majlis itu hendaklah, pada permulaan kuat kuasa Akta ini, terletak hak pada Datuk Bandar.

(2)

Segala tanah sebaik sebelum permulaan kuat kuasa Akta ini terletak hak pada atau dirizabkan di bawah mana-mana undang- undang bertulis yang berhubungan dengan tanah bagi maksud Anggota Majlis Perbandaran Kuala Lumpur hendaklah, pada permulaan kuat kuasa Akta ini, terletak hak pada atau disifatkan dirizabkan, mengikut mana-mana yang berkenaan, bagi maksud Datuk Bandar.

Kontrak dan prosiding yang sedia ada

18.

(1)

Tertakluk kepada Bahagian ini, segala surat ikatan, bon, perjanjian, surat cara dan perkiraan kerja yang wujud sebaik sebelum permulaan kuat kuasa Akta ini dan yang menyentuh mana-mana harta yang berpindah hakmiliknya di bawah seksyen 17 hendaklah berkuat kuasa dan berkesan sepenuhnya terhadap atau memihak kepada Datuk Bandar, dan boleh dikuatkuasakan dengan sepenuhnya dan dengan berkesan seolah-olah, sebagai ganti Anggota Majlis Perbandaran Kuala Lumpur, atau mana-mana orang yang bertindak bagi pihak Anggota Majlis itu, Datuk Bandarlah yang dinamakan dalamnya atau menjadi pihak kepadanya.

(2)

Tertakluk kepada Akta ini, apa-apa prosiding atau kausa tindakan yang belum selesai atau yang wujud sebaik sebelum permulaan kuat kuasa Akta ini oleh atau terhadap Anggota Majlis Perbandaran Kuala Lumpur atau mana-mana orang yang bertindak bagi pihak Anggota Majlis itu boleh diteruskan atau dimulakan oleh atau terhadap Datuk Bandar sebagaimana ia boleh diteruskan atau dimulakan oleh atau terhadap Anggota Majlis Perbandaran Kuala Lumpur atau orang sedemikian jika Akta ini tidak diperbuat.

Penerusan perjanjian perkhidmatan, dsb.

19. Tiap-tiap orang yang sebaik sebelum permulaan kuat kuasa Akta ini telah diambil bekerja oleh Anggota Majlis Perbandaran Kuala Lumpur hendaklah pada permulaan kuat kuasa Akta ini disifatkan ditukarkan kepada perkhidmatan Datuk Bandar atas terma dan syarat perkhidmatan yang sama seperti yang diperoleh sebaik sebelum permulaan kuat kuasa Akta ini.

Kuasa yang berhubungan dengan Ordinan Perbandaran

20. Segala kuasa yang diberikan kepada Raja dalam Mesyuarat Negeri Selangor oleh seksyen 3 Ordinan Perbandaran (Pemakaian Yang Dipeluas) 1948 [P.T.M 3 tahun 1948], hendaklah berhubung dengan Bandaraya, disifatkan diberikan pada dan selepas permulaan kuat kuasa Akta ini, kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pemansuhan

21.

(1)

Pada permulaan kuat kuasa Akta ini, Bahagian I dan II Ordinan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan 1950 [Ord. No. 52 tahun 1950], hendaklah terhenti terpakai bagi Bandaraya, dan apa-apa perintah yang wujud pada masa itu di bawah seksyen 52 Ordinan itu berhubung dengan Bandaraya hendaklah dengan ini tamat [Sel. P.W.194 tahun 1960].

(2)

Perlembagaan Perbandaran Kuala Lumpur [Sel. P.W. 351 tahun 1951], yang diisytiharkan di bawah seksyen 4 Ordinan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan 1950, seperti yang dipinda dari semasa ke semasa, adalah dengan ini dimansuhkan, dan mana- mana orang yang sebaik sebelum permulaan kuat kuasa Akta ini ialah Yang Dipertua atau seorang Anggota Majlis bagi Majlis yang ditubuhkan di bawah Ordinan Perbandaran dan Perlembagaan itu hendaklah pada permulaan kuat kuasa Akta ini terhenti menjadi Yang Dipertua atau Anggota Majlis itu, mengikut mana-mana yang berkenaan.

(3)

Ordinan Ibu Kota Persekutuan (Pilihan Raya Perbandaran) 1958 [Ord. No. 32 tahun 1958], adalah dengan ini dimansuhkan.

UNDANG-UNDANG MALAYSIA Akta 190 AKTA IBU KOTA PERSEKUTUAN 1960

SENARAI PINDAAN Undang-undang yang meminda Tajuk ringkas Berkuat kuasa dari Akta 5/1968 Akta Ibu Kota Persekutuan (Pindaan) 1968 Akta 59 Akta Bandaraya Kuala Lumpur 1971 Akta A206 Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1973 P.U. (A) 42/1974 Perintah Ibu Kota Persekutuan (Kawasan Bandaraya) 1974 Akta A535 Akta Ibu Kota Persekutuan (Pindaan) 1982

UNDANG-UNDANG MALAYSIA Akta 190 AKTA IBU KOTA PERSEKUTUAN 1960

SENARAI SEKSYEN YANG DIPINDA Seksyen Kuasa meminda Berkuat kuasa dari Akta A206 Akta A535 Akta A206 Akta A535 Akta 5/1968